Kunjungan Nabi saw pada setiap Ramadhan di lima tahun sebelum kerasulan baginda ke Gua Hira' merupakan satu latihan ruhani dan latihan jiwa untuk menghadapi agenda yang lebih besar selepas itu. Antara latihannya ialah membiasakan hidup tanpa rasa takut kepada makhluk atau apa pun jua. Baginda membiasakan diri hidup dalam keadaan kasar - hidup secara sederhana di mana saban waktu mesti dihabiskan dengan berzikir dan mengingat akan Allah swt.
Latihan intensif ini mengingatkan kita bahawa ruh Islam itu tidak datang dengan sendiri sebaik sahaja beriman. Ia kena diusahakan dengan kekuatan fikiran, kekuatan iman dan tanpa rasa takut selagi berkait dengan agama. Itulah yang diperoleh baginda sepanjang bertahannuth di gua itu. Maka latihan mesti secara tetap dan itulah amal-amal sufi yang telah memilih hidup sederhana, tetapi penuh dek daftar kerja dengan ibadat.
Umat muslim hari ini pun telah jauh tersasar apabila melupai peristiwa Gua Hira' itu kesan dambakan pengaruh kebendaan dan keduniaan. Mereka sudah tidak terfikirkan soal ruhaniah. Mereka sudah tidak sampai ke tahap apabila takut akan Allah swt dalam erti sebenar-benar takut. Ada la mungkin 1%! Mereka masih terikat dengan sikap berjiwa hamba - menakuti sesama makhluk atas kepentingan tertentu; tanpa penyerahan diri yang tuntas kepada Khaliq, Penciptanya.
Memang ia bukan perkara wajib. Namun kebanjiran faham kebendaan/materelaisme itu telah menghakis segala nilai murni agama dalam diri sekelian umat. Sedangkan satu hadis baginda ada menyatakan; "Jika benar kamu cinta akan Allah, maka ikutlah akan aku, nanti Allah akan menyintai kamu." Mengikut Nabi itu bererti meniru segala hal-ehwal baginda termasuklah dengan peristiwa berkhalwat ini.
Untuk mencapai segala yang hakiki dalam hidup bagi menyelamatkan kita di alam ini tidak memadai sekadar omong-omong dan agak-agak saja. Ia perlu datang dengan yang hak daripada Allah swt. Apabila Nabi saw memimpin umatnya, penderitaan mereka itu tidak kekal lama - ia menjadi semakin mudah. Nabi saw pernah berkata bahawa musuh-musuh tidak akan berani memukul-mukul kamu lagi selepas itu; dan ia didapati benar.
Ilham ruhaniah ini cuma datang kepada kaum mukmin yang sempurna imannya. Sempurna di sini bermakna dia mesti menyintai saudaranya sama seperti dia menyintai dirinya. Manakan ada lagi? Ia sudah terlalu sukar kerana pengaruh kebendaan yang memecah-belahkan. Lihat saja, sekarang jika seseorang itu menuntut ilmu hanya untuk kepentingan dirinya seorang. Kalau dia mencari harta, maka kesenangan itu hanya untuk dirinya juga malah jadi semakin berkira dan tamak pula.
Malah kalau ada kuasa, kuasa itu digunakan untuk mengepung segala kepentingan buat dirinya jua. Ia dibuat sudah bukan atas kepentingan ummah; tetapi menjadi enau di dalam belukar!
Jarang dapat ditemui seorang muslimin yang mengorbankan segala kesenangan dan fikirannya untuk kepentingan umat. Kalau ada pun ia sudah dikira pelik. Sama dengan peristiwa nabi-nabi terdahulu yang dituduh gila, terkena sihir dsb kerana menyeru tauhid dan kebaikan. Pada hal semua umat tahu bahawa seruan mereka itu adalah benar, tetapi untuk mengamalkannya ramai yang keberatan.
Kaum muslimin tahukan rahsia besar ini, tetapi tidak cukup kuat untuk ikut mengerjakannya. Dengan berseorangan diri di tempat sunyi, penuh bahaya dan menakutkan dalam hutan tebal, di pulau-pulau yang terrpencil dsb untuk mencari hakikat; untuk berhubungan dengan Tuhan al-Khaliq semoga Dia mengurniakan ruhaniah yang kuat dan benar kepada kita hanya dapat dilakukan oleh mereka yang empunya jiwa nan besar dan ruh yang kuat.
Sudah timbul kecenderungan pada hari ini suara rakyat yang mengatasi segalanya. Ia demokrasi kononnya walaupun ia bertentangan dengan yang hak - menjadikan umat Islam semakin menderita dan terhimpit. Ia sudah bukan suara yang timbul daripada munajat atau ilham ruhaniah yang hanya boleh didapati melalui khalwat dan ibadat kepada Allah swt. Ia adalah suara yang dirancang oleh satu golongan untuk kepentingan mereka sendiri. Itu sebab demokrasi merupakan penghancur jemaah.
Kehadiran baginda di Gua Hira' pada setiap Ramadhan untuk menunjukkan kepada kita bahawa untuk mencari kebenaran, jangan dicari orang lain. Carilah ia ke dalam diri sendiri, gali dalam iman dan ibadat dengan mengadakan hubungan tulus ke hadrat Ilahi. Hubungi Tuhan al-Khaliq, Yang Maha Kaya dan berkuasa lagi Maha Mengetahui dan dituntut keredhaan-Nya. InsyaAllah, Dia akan mendengar sejauh mana kesungguhan kita terhadap-Nya. Dan apabila telah berjaya maka laksanakan ia dengan sebaik-baiknya, bukan dijadikan modal duniawi yang mengalpakan.
... biar sehingga keletihan begini!
Bersambung...
No comments:
Post a Comment