Keempat-empat mereka adalah ulama besar dan imam tasauf pada abad 1 dan awal 2 Hijriah. Hassan al-Bisri mengajar murid-muridnya sekitar khuatir (ragu) hati dan amalan-amalan yang binasa serta tentang was-wasa nafsu manusia. Abas bin Umar ada menyatakan bagaimana Hassan al-Bisri menyeru;
"Ajaklah hati kamu itu berbicara kerana ia cepat binasa dan menghilang. Ia mempunyai sifat tidak malu dan kalau kamu turuti saja akan kemahuannya, ia akan membawa kamu jatuh ke dalam kancah kejahatan yang tidak berkesudahan."
"Pernah engkau melihat seorang faqih dengan mata engkau sendiri? Orang yang sebenarnya faqih, iaitu orang yang zuhud dalam dunia ini, mengetahui agamanya dengan benar dan berkekalan menyembah Tuhannya Azza-wajalla," katanya kepada Imran al-Qasir.
Abu Talib al-Makki pula memberitahu bahawa, "Hassan al-Bisri adalah orang yang pertama sekali membawa jalan ilmu tasauf dan membawa lidah untuk memperkatakannya serta berbicara menghuraikan maksud-maksudnya, dan beliaulah menyiarkan cahaya ilmu ini sehingga terbuka dengan terang.
Orang pernah bertanya beliau bahawa penjelasannya terang berkenaan dengan huraian-huraian yang tidak pernah didengar daripada orang lain. Jawabnya, "Aku mendapatnya daripada Huzaifah bin al-Yaman."
Hassan al-Bisri tidak mendirikan madrasahnya di Madinah, tetapi di Basrah. Di sana sudah timbul golongan-golongan yang berkedudukan dalam Islam bertindak memecah-belahkan umat Islam agar terbahagi kepada mazhab dan fahaman-fahaman yang bertentangan.
Kesannya, maka Saidina Ali Abi Talib bertindak mengunjungi mesjid dan pusat-pusat pengajian untuk mendengar sendiri penyelewengan mereka. Ramai yang telah dihalaunya dan ada di antara pusat-pusat pengajian itu yang dibubarkan. Katanya, "Ini bid'ah mungkar".
Saidina Ali sampai ke pusat pengajian Hassan al-Bisri sambil mendengarnya dengan teliti; bahasa dan perkatannya baik dan indah belaka. Maka Saidina Ali bertanya, "Cuba khabarkan kepadaku apakah yang membaikkan agama Islam dan apa pula yang mungkin merosakkannya?"
Jawabnya, "Yang membaikkannya adalah wara' dan yang merosakkannya adalah tamak."
"Engkau benar, sila teruskan berbicara kerana orang seperti engkau ini baik untuk menerangi manusia yang ramai," kata Saidina Ali.
Hassan al-Bisri adalah seorang yang amat takut akan Allah swt. di mana beliau pernah tidak ketawa sehingga empat tahun lamanya. Apabila berbicara, dia seakan-akan melihat hal-hal akhirat dengan mata kepalanya sendiri. Kemudian apabila diam, seakan-akan neraka itu menjalar di antara kedua-dua matanya, menurut kata Abu Talib al-Makki.
Ada yang sering menegur kerana dia asyik berdukacita. Maka jawabnya, "Apakah yang dapat memberiku rasa aman terhadap Tuhanku, yang telah melihat apa yang tidak disukai-Nya dalam sebahagian perbuatanku lalu Dia marah dan tidak sudi untuk mengampuninya."
Selain Basrah, di Iraq juga terdapat madrasah yang dipimpin oleh Said Ibnu Musayab. Di antara muridnya yang terkenal adalah Abu Hamzah as-Sufi termasuk ulama besar tasauf di Baghdad.
Madrasah yang ketiga diwujudkan di Khurasan dipimpin oleh Ibrahim bin Adham. Madrasah ini telah menjelaskan kepentingan tasauf dalam menepis pelbagai unsur yang mengharu-birukan umat Islam dalam kefahaman terhadap agama. Setelah ia berjaya memperbetulkan keadaan, tumpuan perhatian telah menyebabkan timbul pula musuh-musuh yang iri hati dengan kegemilangan tasauf Islam. Mereka adalah dari kalangan ulama fiqh dan ulama Kalam sendiri yang tidak senang dengan kewujudan madrasah-madrasah ilmu tasauf. Pihak lain juga tidak terkecuali termasuk dari kalangan mazhab dan para ilmuan di Iraq yang tempatnya agak jauh dari Madinah.
Namun perkembangan ilmu tasauf ini terus tidak terhalang sejak di Madinah, kemudian madrasah Hassan al-Bisri di Basrah, diteruskan oleh Sa'ad al-Musayab seorang ulama tafsir, hadis, fiqh dan dikembangkan lagi oleh Hamzah as-Sufi serta Ibrahim Adham.
Lambang Kekayaan Melayu Terkaya di Larut - Ngah Ibrahim
No comments:
Post a Comment