Saya tamat SPM 1968. Sementara menunggu keputusan tu dok melahu la kat kampung. Masa itu saya sudah mulai alim. Setengah jam sebelum masuk waktu saya sudah bersedia dengan wudhu' ternanti-nantikan waktu solat diumumkan di radio; macam hebahan waktu berbuka puasa - ikut zon. Dulu takde azan pun.
Tu la... nak jadi alim dengan ilmu dan fahaman sendiri. Nak cari tuk guru manakan ada? Kat sekolah cuma yang ada ustaz yang tak pernah pakai songkok. Ustaz pun cuma mengajar bab feqah, tauhid tak pernah sampai separuh tiap tahun. Pemahaman ayat ada le 5-6 termasuk ayat tentang 7 dosa besar dan ayat perihal puasa.
Bagusnya, sebab pernah tinggal di asrama di dua tahun yang akhir. Jadi, saya berpeluang temui rakan yang sebaik-baik pekerti hingga ke peringkat 'malaun'. Saya tidak nakal. Jadi, pembelajaran dalam kelas dapat dihayati (klu tak takkan dalam practical exam dapat top student!). Dan mereka yang baik-baik itu menjadi sumber inspirasi.
Daripada keluarga, rasanya jauh la. Cuma dari segi keturunan tu ada le. Siapa yang tidak kenal tuk guru Saad Beruas di kalangan orang tua-tua di Kedah? Dia tuk guru yang cukup dikenali dan hebat di sana. Di sebelah ibu pun datang dari kalangan tuk alim. Kemudian, tuk sedara di Perak itu pula jadi tuk guru agama yang cukup dikenali juga. Tukwan (lelaki) pun alim dan lurus orangnya. Jadi, sesuai dengan kifarah balasan - saya mungkin mendapat sedikit daripada tempiasnya (takde le niat nak tinggikan diri!).
Nak diharapkan ayah, tiap malam dia keluar dengan motosikal besarnya - AJS, Triump, BSA, Norton. Dia dengan geng memudanya. Dia akan hanya pulang pada jam 1.00 malam.
Cuma saya tabik dengan arwah ibu. Kerjanya teruk - menoreh getah (sayalah orang yang biasa menolongnya apabila cuti sekolah - anak yang setia) dan menanam padi. Dia juga menjaga kami adik-beradik 9 orang. Jadi, malam-malam kami pergi mengaji al-Quran dengan tuk guru - jauh juga dari rumah, pakai lampu minyak tanah. Bila angin kuat terus lampu padam dan merabalah kami di dalam gelap! Pastu masing-masing berkelahi sebab adik-adik saya yang lain (ada tiga adik perempuan di bawah) penakut belaka. Semua nak pegang lengan tangan atau baju saya pun jadi la. Si abang ni pulak nakal - jadi saya lari dalam gelap tu tinggalkan mereka biar terjerit-pekik!
Apabila kami mengulangi bacaan di rumah, ibu yang sedang mengasah pisau toreh itu di dapur boleh menegur setiap bacaan yang salah. Dia tegur penuh satu ayat untuk kami ikuti/fahami. Selalunya, ayah pun kena tegur juga sebab bacaannya merangkak dan main langgar (Ari ni kalau disebut, ayah tak mengaku dia pernah kena tegur. Heh... jatuh 'standard' tuk guru, kan!). Namun, alhamdulillah sebaik ayah pencen mata hatinya terang; dia boleh mengaji dengan lancar dan mampu mengajar anak-anak kampung pula sampai 15-20 orang.
Jadi, apabila berlaku peristiwa 13 Mei, 1969 orang Melayu mula kelam-kabut mencari ilmu. Segala macam mak-nenek ilmu yang dituntut, termasuk yang top masa tu dari Sheikh Osman di Lenggong. Timbullah kisah di Sungai Manek, Batu Pahat dan sebagainya. Pada masa yang sama ayah pula mula menggiatkan ilmu jabatnya yang dituntut pada usia 19 tahun (saya menuntut lagi muda - 17 tahun! Heh...).
Maka penuhlah rumah kami dengan penuntut ilmu jabat, sedangkan tuk gurunya takde di situ. Cuma ayah saya jadi anak murid yang lebih dipercayai (bukan murid tua). Apabila sudah mahir baru mereka itu serah bekas sirih (ambil tauliah) daripada tuk guru yang tinggal di Temerluk, jalan ke Taiping. Malah ketika kejadian berdarah itupun ada entah siapa yang datang untuk membawa tuk guru ke KL. Dia enggan, tetapi dia buatkan 25 azimat (yang terdiri daripada wafak tertentu) untuk mereka.
Sebagai anak muda, saya kagum dengan kebesaran ilmu Allah swt. Pada adat dan pada orang yang tidak mengaji di banyak bidang akan secara mudah mencebik fadilat di sebalik amalan ilmu ini. Masakan tidak, apabila secara terang-terangan ilmu ini menafikan kuasa iblis dalam usahanya berdoa akan kebinasaan! Yakni kita berusaha biar iblis gagal dalam permohonan untuk mencedera dan merosakkan anak-cucu Adam a.s ini.
Nanti kan ada yang kata di zaman Nabi kenapa sekelian para sahabat dan panglima perang tidak dibekalkan dengan segala ilmu yang 'miracle'? Kenapa mereka juga luka dan mati syahid?
Jadi, saya nak tanya pula kamu dah kenal ke iblis dan khoddamnya? Elok belajar dengan menyelak lagi sekelian perbendaharaan Allah swt. Seterusnya sudah ke khatam dengan seluruh ilmu Allah Taala yang bak lautan luasnya itu? Biar jangan nampak 'wajah' sumbing dan hodoh sendiri! (Maaf ler jika terkasar bahasa yeak!).
Paling bebal pun mari belajar la; untuk mengetahui wafak zikir dan amalannya.
Nota: Bebalnya orang muslim kebelakangan ini hinggakan wirid selepas solat pun dikira bid'ah. Biadabnya kerajaan Wahabbi tajaan Barat di Arab Saudi bertindak memadamkan segala tinggalan baginda Nabi Muhammad saw. Tempat lahir baginda pun ditutup. Atas alasan, bid'ah. Hasilnya, lihat sahaja gelagat orang-orang Arab yang berpeleseran di serata tempat sosial dunia dengan kekayaan yang ada. Itu tidak pula dikira maksiat dan bid'ah (bid'ah kekayaan)!
Depa berkira dengan Allah swt, tetapi tamak bila sampai ke bab balasan - nakkan syurga paling atas aje!
No comments:
Post a Comment