Tasauf pada zaman baginda Rasullullah masih bersifat umum. Ia belum dikenali sebagai satu cabang ilmu yang khusus. Ia tidak bernama, tetapi telah ada isi dan pengajarannya yang diamalkan oleh baginda dan sekelian para sahabat yang dibuat atas nama Islam sahaja. Sama halnya dengan ilmu fiqh, tetapi para sahabat telah pun mempelajari fiqh agama dan fiqh ibadat.
Demikian dengan ilmu tafsir, tetapi para sahabat telah mempelajari setiap ayat yang dihafal turut difahami makna dan huraiannya. Malah mereka telah mempelajari hubungan antara satu ayat dengan yang lain, serta bagaimana untuk melaksanakan saranan daripada ayat-ayat tersebut.
Pada masa ini ada ilmu yang dikenali dengan nama sejarah al-Quran, sejarah tasyri' Islam, ada ilmu tafsir al-Quran atau asbabun-nuzul. Semua ini dipelajari oleh para sahabat dalam mempelajari agama Islam. Corak kehidupan mereka seharian juga begitu; masih sama. Tidak ada tasauf, tiada taqasysyuf, dan tiada juga filsafat walaupun mereka tahu hikmat daripada setiap ayat al-Quran menurut yang diajarkan Nabi saw.
Huzaifah bin al-Yaman; sahabat dan imam tasauf pertama
Beliau adalah orang yang pertama memfilsafatkan ibadat dan menjadikan ibadat dengan cara tariqat yang khusus. Beliau telah menyampaikan ilmu-ilmu, membuka jalan dan mencipta teori yang kemudian dikenali dengan nama tasauf.
"Tuan sering mengeluarkan kata-kata yang tidak pernah kami dengar daripada para sahabat, dari mana tuan peroleh?" dia ditanya oleh para sahabat yang lain.
"Rasulullah telah menentukannya. Orang banyak bertanya baginda akan segala yang baik-baik, sedangkan saya tanyai baginda dengan yang jahat-jahat," jawabnya. "Apakah yang jahat itu; dengan tujuan untuk mengetahui agar dapat dijauhkan diri daripadanya. Sesiapa yang tidak mengenal kejahatan pasti tidak akan mengenal apa itu kebaikan."
"Banyak orang bertanyakan Rasulullah tentang pahala mengerjakan sesuatu. Mereka bertanya tentang fadilat-fadilat amalan - apakah yang merosakkan amalan?"
Kata seorang ulama tasauf, Abu Talib al-Makki; "Huzaifah bin al-Yaman telah ditentukan mempunyai ilmu mengenai orang munafiqin. Dia mengetahui sifat-sifat munafiq, rahsia ilmu dan segala fahaman yang halus, dengan mempunyai ilmu tentang keyakinan-keyakinan tersembunyi di antara para sahabat."
Khalifah Umar al-Khattab tidakkan mahu menyembahyangkan seseorang yang mati kalau dilihatnya Huzaifah tidak berbuat demikian. Ia disebabkan Huzaifah mempunyai pengetahuan tentang ilmu batin. Dia tahu siapa yang munafiq ataupun tidak.
Di sekeliling Huzaifah juga telah wujud satu madrasah kecil yang terdiri daripada sahabat-sahabat seperti Wasibah. Dia terkenal dengan ungkapan ini; "Aku mendatangi Rasulullah sebab aku tidak akan biar sesuatu kebaikan dan kejahatan melainkan akan bertanya Nabi saw. Aku langkahi orang lain untuk sampai kepada baginda."
Para sahabat menegur, "Jauhlah engkau hai Wasibah daripada Rasulullah."
"Biarkan aku mendekati baginda kerana beliaulah manusia yang paling aku cintai," sahut Wasibah.
Kemudian kata Rasulullah, "Hai Wasibah, akukah yang patut mengkhabarkan maksud kedatangan kamu atau kamu yang akan bertanya sendiri?"
"Tuanlah yang mengkhabarkan kepadaku," jawab Wasibah.
"Engkau datang untuk bertanyakan tentang kebaikan dan dosa," kata baginda.
"Benar, ya Rasulullah," jawab Wasibah.
Rasulullah menjemputkan jari-jari baginda seraya menggaru ke dada Wasibah sambil berkata, "Tanyalah hatimu hai Wasibah kerana setiap yang baik itu (al-birru) ialah yang tenang dalam hati dan yang dosa itu selalunya bolak-balik dalam dada manusia, walaupun orang banyak memberikan fatwa kepada engkau dan engkau pun begitu juga."
Hadis ini termasuk satu daripada tiang utama ilmu tasauf - sebab tasauf itu sebahagian besarnya berkait dengan soal perasaan hati manusia. Namun begitu madrasah yang didirikan oleh Huzaifah al-Yaman itu belum dikenali dengan tasauf kerana ia masih terlalu sederhana - tidak seperti apa yang berlaku di abad kedua Hijriah apabila ilmu mengenai tasauf sudah mulai tersebar.
Namun al-Hassanul Bisri seorang ulama besar tabi'in itu adalah murid beliau hasil keluaran daripada madrasah tersebut.
No comments:
Post a Comment