Monday 5 April 2010

Mesjid di Atas Laluan Air

 Masjid Beruas sekarang.

Bagi menunjukkan kawasan Beruas ini bekas sebuah pelabuhan ternama di suatu masa dahulu, kulit kerang dapat ditemui di mana-mana sahaja kawasan rendah dan berpaya. Ia adalah laluan air laut dari Kuala Muda (maka di sana terbentuk kerajaan Lembah Bujang dan Batu Pahat di Merbok) menuju Krian terus ke Beruas dan masuk ke Selat Melaka melalui Bagan Datuk.

Satu daripada tinggalan klasik yang masih ada ialah kolam 'Mani Dendang' yang sekarang terletak di hadapan Sekolah Kebangsaan Gangga. Seingat saya sejak kami bersekolah di sana, majlis bandaran cuba menimbusnya dengan menuangkan segala sampah dan bahan buangan. Ia tetap kekal begitu dan airnya tidak pernah kering (susut pun tidak) walaupun di musim kemarau yang panjang. Itulah pelabuhannya.


 Masjid lama yang hilang.

Apa yang lebih menarik ialah tapak mesjid pekan Beruas yang ada sekarang. Dulu di sini ada satu laluan air dari bukit. Sebahagian kawasan telah dijadikan kampung tersusun, sementara satu kawasan di tepi jalan dibina sebuah mesjid. Ketika dalam pembinaan lagi sesuatu yang agak ganjil telah berlaku. Ketika penggerudian dibuat, hanya pecahan kulit kerang dan selut laut sahaja yang dapat dibawa naik. Kemudian setiap 'piling' menerobos terus ke bawah dengan sekali hentak sahaja. Dua lapis batang 'piling' pun masih belum cukup.

Ada pihak yang mengingatkan bahawa pembinaan mesjid akan menjadi masalah dengan keadaan tersebut. Namun disebabkan rasuah, pihak jurutera berkeras untuk meneruskan juga projek pembinaan mesjid berkenaan walaupun 'piling' masih tidak sempurna. Maka sebuah mesjid baru dan tersergam indah pun dibina, meninggalkan mesjid lama tidak berjemaah lagi. Itupun tidak lama apabila dua tahun kemudian mesjid baru itu mulai retak.

Masjid lama Beruas

Enam bulan kemudian, mesjid yang baru dibina itu langsung tidak boleh digunakan apabila lantai dan tiang dindingnya mulai terbenam; bahagian kubah sudah menyembah ke lantai dan keseluruhan bangunan mesjid mula membenam. Anehnya, tiada siasatan dibuat, tiada laporan, tiada tindakan dan mesjid itu pergi seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku; tanpa pertanggungjawaban sedikit pun.

Dan mesjid yang ada sekarang adalah mesjid baru dibina atas runtuhan bangunan mesjid lama yang menyembah bumi itu. Mesjid yang dibina atas laluan air laut.

No comments:

Post a Comment