Tuesday 6 April 2010

Kerja Rasulullah saw dalam Gua Hira'

Apabila berada di Gua Hira', baginda Nabi tidak tinggal di luar. Ada satu gua yang untuk memasukinya kena merangkak dan untuk tinggal di dalamnya tidak sesiapa pun bisa berdiri. Ia muat hanya untuk baginda duduk. Untuk berbaring jauh sekali. Pada orang yang biasa tinggal di gunung atau bukit mungkin akan arif akan apa itu erti gunung dan bukit? Tidak ada kesenangan dan keselesaan apa-apa di sana.

Di kejauhan nampak bukit-bukit batu yang tidak mendamaikan. Jadi, Nabi Muhammad saw bukan duduk bersenang-senang di dalam gua tersebut. Entah apa yang dikerjakan baginda tiada siapa yang tahu? Hanya apa yang dapat disimpulkan bahawa baginda nabi menahan nafsunya (beribadat) di sana. Baginda tidak memuja tempat itu, tetapi baginda memuja Allah swt. Cara dan ucapan baginda tiada riwayat yang menyatakan.

Sejak kecil lagi Nabi saw sudah bencikan berhala dan segala yang ada hubung kait dengan berhala. Baginda ingin sekali mengetahui yang hak dan baginda mencari jalan untuk ke sana. Menurut kata Dr Hussein Heykal lagi, beliau telah mendaki dan berdiri di banyak gunung yang indah dan besar. Beliau juga pernah berdiri di corong pengkaji bintang sambil menyaksikan kebesaran Allah saw di sana. Akan tetapi apabila dia berdiri di depan Gua Hira', lain sekali rasanya.

Dari tempat itu Nabi Muhammad saw mengikuti perjalanan ruh yang suci, yang maha kuat dan akan turun buat merobah sejarah umat buat selama-lamanya, di samping menyelamatkan sejumlah besar umat manusia yang tidak diketahui jumlahnya, selain daripada Allah swt.

Dari sana kelihatan besarnya alam Tuhan ini. Ayat-ayat Allah swt kelihatan lebih hebat, dahsyat dan lebih cantik daripada yang disangkakan sewaktu berada di bawah. Dari Gunung Hira' itu kelihatan Baitullah yang suci didirikan oleh Nabi Ibrahim dan Ismail, tempat orang melakukan tawaf, ruku' dan sujud. Semakin besarlah Allah swt dalam iman dan pemandangan mata kita melihat kekayaan dan keindahan alam yang dicipta-Nya.

Untuk masuk ke dalam, kena merangkak dan ada dua batu besar penghalang. Apabila melepasinya ia akan mendinding segala pemandangan yang di luar. Tiada apa yang kelihatan selain daripada gelap biarpun siang atau malam, dengan batu-batu besar di sekeliling; diulit suasana sunyi dan menyeramkan. Tiada satu pun yang menarik di situ, tetapi itulah tempat yang paling dicintai baginda Nabi sepanjang lima tahun sebelum kenabian baginda.

Keadaan di sana menyerlahkan jiwa besar baginda tanpa sebarang rasa takut. Suasana gelap itu menunjukkan sinar matahari dan gelap malam itu sama sahaja baginya. Malah bagi orang yang punya cahaya hati, cahaya malam gelap gelita itu terlebih baik daripada sinar terang cahaya siang yang banyak membawa manusia terpedaya olehnya.

Itulah tanda kekuatan jiwa baginda.

No comments:

Post a Comment