Sunday, 27 February 2011

Kedegilan Dunia Arab Bermula di Tunisia

Tunisia telah menghantar mesejnya kepada dunia Arab - bahawa pemimpin mereka sudah tidak kebal lagi


Kereta kebal Libya yang ditinggalkan

Di bandar-bandar seluruh negara Arab mula mendapat kekuatan selepas kebangkitan di Tunisia. Kebangkitan itu telah berjaya menjatuhkan presiden Zine El Abidine Ben Ali di samping telah melenyapkan ketakutan, tertegak kembali kekuatan yang telah mengembalikan harapan dan kemampuan menuntut keadilan sosial dan menamatkan kekejaman.

Ia merupakan satu amaran kepada semua pemimpin, sama ada mereka disokong oleh kuasa luar atau dari daerah berdekatan, mereka sudah tidak kebal untuk menghalang kemarahan rakyat. Adalah benar, pemergian Ben Ali dari negara itu merupakan permulaan kepada satu perjalanan yang sukar terhadap kebebasan. Pencapaian rakyat Tunisia itu masih terikat dan dirampas oleh elit pemerintah, yang masih bergantung kepada kuasa yang ada.

Walau apa pun intifada rakyat Tunisia itu telah meletakkan dunia Arab di persimpangan. Jika ia berjaya membawa perubahan sebenar bererti ia bakal membuka pintu yang luas kepada kebebasan dunia Arab seluruhnya. Jika aralnya tidak sampai kita bakal menyaksikan penindasan lama oleh pemerintah yang cuba bertahan dengan cengkaman kekuasaaan yang masih di tangan.

Walau apapun, sistem yang menyatukan agihan kekayaan yang tidak adil dengan penafian kebebasan telah runtuh sebenarnya.

Satu contoh kekejaman
2 jet MIG-29 Libya yang lari ke Malta
 
Rakyat Tunisia mungkin satu contoh yang melampau, tetapi semua regim Arab cuma ada sedikit perbezaan dalam model yang sama; yang secara taat membuta hanya menurut arahan Barat dalam kesederhanaan ekonomi sementara bergelut dengan hak asasi dan kebebasan awam.

Sejak lama Barat memang tertarik dengan sistem Tunisia, mengkagumi sekularisme dan polisi ekonomi liberal mereka dalam pencarian pasaran terbuka dunia dan memaksimumkan keuntungan dengan menidakkan hak asasi dan mengawal media - dua bidang yang Ben Ali berjaya sepenuhnya.

Namun rakyat Tunisia di bawah Ben Ali, bukan contoh sekularisme, tetapi model kekejaman yang memalukan. Ia meletakkan sekularisme menjadi satu ideologi yang menggerunkan - bukan setakat dalam menghadapi Islam, tetapi dalam usaha melenyapkan semangat penentangan - Islam, sekular, liberal malah sosialis sekalipun.

Sebagai mengambil contoh negara-negara yang berjaya dalam model ekonomi seperti Chile di bawah diktator Augustino Pinochet, Barat khasnya Amerika dan Perancis mendokong regim Ben Ali dalam mengekalkan kestabilan di atas demokrasi.

Namun walaupun kerajaan sedemikian memegang kuasa terlalu lama, dengan sokongan Barat alat keselamatan yang menekan rakyat dengan kekebalan; ia sekadar menunggu masa sebelum menempuh saat akhir yang memalukan. Barat, khasnya Amerika sentiasa membendung rakan sekutu - satu contoh bagaimana Amerika mengenepikan Shah Mohammad Reza Pahlavi, bekas Shah Iran apabila kemarahan ramai menggugat kestabilan negara.

Feri yang mengangkut keluar rakyat Amerika berlabuh di Malta

Dunia Arab yang sedia mendengar!

Rakyat Tunisia telah menunjukkan jalannya, jadi orang Arab lain pun sedia mendengarkan. Protes di Tunisia telah mendorong demonstrasi aman di Jordan, di mana rakyat membantah akan keadaan inflasi dan usaha kerajaan menafikan hak politik dan kebebasan akhbar sehingga menuntut Samir al-Rifai, Perdana Menterinya disingkirkan.

Kerajaan nampak prihatin dengan pembangunan yang lembab, mencari jalan menyabarkan kebangkitan, sedangkan kenaikan harga barang makanan melonjak, dan rakyat Jordan dijangka akan meneruskan demonstrasi mereka dalam minggu-minggu mendatang.

Kerajaan patut belajar daripada keadaan di Tunisia di mana pasukan keselamatan bukan lagi cara untuk menyelesaikan masalah dan menjamin kerelaan penduduknya.

Di Mesir, penetangan Gerakan Perubahan nampak terkesan daripada apa yang berlaku di Tunisia. Dan di ibu kota negara-negara Arab - dari Sana'a ke Kaherah rakyat menghantar mesej kepada kerajaan masing-masing, di samping menyatakan sokongan terhadap rakyat Tunisia dengan mengadakan tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Tunisia.

Arab di segenap peringkat, bukan setakat menyatakan sokongan tetapi menggerakkan keadaan yang sama di negara mereka. Malah di rangkaian facebook mereka menukar gambar profil dengan imej bendera Tunisia, meletakkan diri mereka dalam warna revolusi.

Libya ikut terkesan, membawa kebangkitan

Ketakutan dan Sorak-sorai

Kegagalan sebuah pasukan keselamatan dunia Arab paling menekan kuasa rakyat telah membangkitkan sorak-sorai. Para blogger telah membandingkan keadaan tersebut seperti tumbangnya tembok Berlin dengan mendakwa bahawa orang Arab akan punya suara dalam menentukan masa depan mereka.

Mohamed Bouazizi, seorang pemuda Tunisia yang membakar dirinya kerana memprotes pengangguran dan kemiskinan, telah menjadi simbol pengorbanan bagi menuntut kebebasan. Para aktivis di seluruh rantau berkenaan telah menyeru Arab yang sejiwa dengan kebangkitan Tunisia itu mengambilnya sebagai model dalam menentukan kuasa rakyat dalam aspirasi kepada keadilan sosial, melenyapkan rasuah dan meningkatkan demokrasi.

Namun kebangkitan yang dirayakan itu masih terikat dengan ketidak-tentuan yang masih menyelubung. Mereka berhati-hati di mana keadaan di Tunis masih belum jelas dan ketakutan terhadap rampasan kuasa, di mana kuat kuasa keselamatan dikenakan, tetapi menekan aspirasi ramai.

Sama ada kebangkitan rakyat Tunisia itu akan berjaya membawa kepada perubahan drastik atau sebahagiannya terbantut masih belum dapat dilihat dengan jelas. Namun ia telah berjaya menarik dunia Arab untuk bangkit menentang regim yang membawa dogma Barat yang hanya memperbodohkan rakyat dan menyelamatkan kuasa untuk lebih lama.

Sejarah telah menunjukkan bahawa pasukan keselamatan boleh menutup mulut rakyat, tetapi mereka tidak mampu memadamkan api yang membara di dalam sekam.

No comments:

Post a Comment