Wednesday, 9 February 2011

Jibril Temui Nabi saw: Cara Allah Mendidik

Dari Umar radhiallahuanhu juga dia berkata;

 Ketika kami duduk-duduk di sisi Rasulullah saw pada suatu hari tiba-tiba datanglah seorang laki-laki yang mengenakan baju sangat putih dan berambut sangat hitam, tidak tampak padanya bekas-bekas perjalanan jauh dan tidak ada seorangpun di antara kami yang mengenalinya. Hingga kemudian dia duduk di hadapan Nabi lalu menempelkan kedua lututnya ke kepala lutut (Rasulullah saw) seraya berkata;


"Ya Muhammad, beritahukan aku tentang Islam?”

Maka bersabda Rasulullah saw, “Islam adalah engkau bersaksi bahwa tidak ada Ilah (Tuhan yang disembah) selain Allah, dan bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah, engkau mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa Ramadhan dan pergi haji jika mampu'.

Kemudian dia berkata; "Anda benar".

Kami semua hairan, dia yang bertanya kemudian dia pula yang membenarkan. Kemudian dia bertanya lagi;

“Beritahukan aku tentang Iman."

Lalu Baginda saw bersabda: “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya dan hari akhirat dan engkau beriman kepada takdir yang baik maupun yang buruk."

Kemudian dia berkata:  "Anda benar".

Kemudian dia berkata lagi: “ Beritahukan aku tentang ihsan."

Lalu Baginda saw bersabda; "Ihsan adalah engkau beribadah kepada Allah seakan-akan engkau melihatnya, jika engkau tidak melihatnya maka Dia melihat engkau”.

Kemudian dia berkata; "Beritahukan aku tentang hari kiamat (bilakah waktu kejadiannya?)”.

Baginda saw bersabda; "Yang ditanya tidak lebih tahu dari yang bertanya."

Dia berkata; “Beritahukan aku tentang tanda-tandanya,"

Baginda saw bersabda: “Jika seorang hamba melahirkan tuannya dan jika engkau melihat seorang bertelanjang kaki dan dada, miskin dan penggembala domba, (kemudian) berlumba-lumba meninggikan bangunannya “, kemudian orang itupun berlalu dan aku berdiam sebentar.

Kemudian Baginda (Rasulullah) bertanya; “Tahukah engkau siapa yang bertanya?”

Aku berkata; "Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui."

Baginda saw bersabda; "Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian (bermaksud) mengajarkan agama kalian."  -  hadis riwayat Muslim

Demikian cara Allah swt mendidik hamba Dan RasulNya, Muhammad saw.

Gaya rangginya begini... raut wajah, lain sekali!
Nota:

Teman pernah melalui saat seakan ini, di mana selepas solat waktu maghrib di kawasan lapang menghadap Baitullah di laluan menghala ke Bab-ussalam. Dengan tidak semena-mena datang dari arah Baitullah seorang wanita muda, lawa bertelekung gaya ranggi menggalas sebuah beg agak besar berjenama Calvin Klien, Dior atau LV. Ada sejadah di dalamnya. Dia duduk di sebelah kanan (sedangkan ada banyak ruang lagi di kalangan wanita) sambil duduk bersimpuh - kemudian mengeluarkan sebuah buku terjemahan Al-Quran bahasa Melayu.

Kain telekungnya putih bersih tanpa tulisan pengenalan (kalau orang Malaysia ada tulisan di atas kepalanya). Dia tidak memakai gelang atau apa-apa tanda. Teman tidak pasti dia orang Malaysia atau Indonesia; seorang saja. Kurus, putih kulitnya ada gaya seorang model.

Teman jadi tidak tentu hala - gabrah pun ada sambil sesekali menjeling juga melihat gelagatnya yang langsung tidak mengubah tempat bacaannya. Jari-jemarinya bergerak-gerak seakan tidak kusyuk - bagai menunggukan sesuatu. Lama kemudian ternampak beberapa helai rambutnya berjuntaian.

"Err... your hair!" teman menegur perlahan sambil menunjuk ke arah rambutnya itu. Cam tidak pasti.

Dia membetulkan rambutnya... dijolok masuk ke dalam skaf anak tudungnya, tanpa rasa terganggu dengan teguran itu. Dia terus juga asyik dengan buku terjemahan yang tebal itu - tak berpindah muka surat.

Orang semakin reda, ada yang beredar ke arah belakang - mungkin pulang atau masuk ke bahagian dalam mesjid, mencari air zam-zam. Ada setengahnya yang bergerak ke arah Baitullah untuk tawaf atau bersolat sunat. Namun si wanita muda lawa itu masih di sebelah - dekat sekali (takde ruang untuk seorang kanak-kanak pun untuk duduk di antara kami!). Dari jauh mungkin kami boleh dilihat sebagai berpasangan.

Keadaannya masih begitu - tidak mengubah tempat bacaannya. Dia seakan-akan menunggu mungkin apa yang teman hendak tanyakan? Menyapa atau memulakan perbualan. Mungkin untuk berkenalan juga (tetapi itu semua tidak berlaku). Dari dalam beg kecil Tabung Haji yang dibawa teman keluarkan beberapa khazanah - buku kecil 'Lum'atul-aurad' - doa untuk dunia dan akhirat; sebuah buku panduan untuk bertemu Nabi saw, selawat 149, doa arasy dsb. Ada buku catatan, pen juga.

Dia masih di situ. Duduk dengan tertib bersimpuh dan tidak berubah kedudukannya. Tertib dan cukup bersopan. Peliknya, dia boleh duduk bersimpuh begitu punya lama!

Ayunya seakan Zaskia Adya Mecca,
lebih lawa dan nampak bersahaja; tiada gaya menggoda

Dia masih dengan buku terjemahannya itu - tak juga berubah tempat bacaannya sambil jarinya bergerak-gerak. Teman masih membaca dan berwirid juga. Sesekali melihat keadaan sekeliling... termasuk ke kanan, ke arah wanita muda lawa itu. Debar pun sudah berkurang. Cuma masih tertanya-tanya; kenapa dia duduk dekat-dekat gitu? Kawasan ada luas - pergi la jauh skit! bisik dalam hati. Yeah... waktu senggang antara maghrib-isya itu panjang dan orang semakin menjarang di sekeliling kami. Antara kami masih begitu jua.

Apabila tiba azan Isya dia masih tidak berganjak. Disimpannya buku terjemahan itu, dibentangkan sejadahnya dan kami berhimpit-himpit solat bersebelahan; di kiri teman lelaki - di sebelah kanan, gadis itu dan wanita-wanita bukan Melayu yang lain. Kami berhimpit, dan setiap pergerakan dapat dirasakan bersama. Cuma... takde rasa apa-apa yang menyeleweng. Tetap kusyuk mengikut bait-bait bacaan imam.

Selesai solat Isya, dia masih menunggu di situ; memerhatikan ke arah depan pada jemaah yang beransur ke arah Baitullah. Ada kira-kira 15 minit juga. Menunggu.

Kemudian setelah tiada apa-apa (mungkin sedang menunggu soalan/teguran dari teman kot!), dia pun bangun mencapai begnya dan melangkah pergi. Teman mengangguk dan terlihat dia melangkah dengan keadaan stokin putih bersih di tumit atau bahagian tapak kaki yang langsung tidak terjejas (takde kesan kotor, sedangkan sebelumnya mungkin dia telah berjalan jauh sebelum duduk di sebelah teman). Baru teman tergerak sesuatu... ini bukan sembarangan orang!

Teman segera berkemas barang-barang, masukkan ke dalam beg lalu bangun untuk mengekori wanita berkenaan; tapi malang sekejapan dia telah hilang dari pandangan walaupun berdekatan dengan kawasan itu orangnya tidaklah seberapa ramai. Kalau ada pun masing-masing rendang dan besar orangnya. Teman terus ekori hingga ke kawasan orang yang bersesak-sesak melakukan tawaf - mencari si dia itu. Mungkin dia ikut bertawaf juga.

Berjam-jam di sekitar tempat itu - meninjau dengan harapan akan dapat menemuinya lagi. Namun segalanya hampa. Hingga kini teman masih terbayang-bayangkan wajahnya; siapakah gerangan si gadis itu?

Itulah musim haji, Ogos 1986.

No comments:

Post a Comment