Friday, 24 December 2010

Tariqat: Melazimkan Tafakkur & Malas Untuk Ta'at

Kepada sekelian pengikut dan murid yang budiman, kita hendaklah memperbanyakkan tafakkur - merenungi diri, yang terbahagia kepada tiga aspek;

i)  Tafakkur dalam keajaiban akan qudrat Tuhan Yang Maha Berkuasa, dan keindahan kerajaan langit dan bumi. Buah tafakkur ini adalah untuk mencapai ma'rifat (pengenalan) kepada Allah swt;

ii)  Tafakkur dalam anugerah Tuhan dan nikmatNya yang begitu banyak diberikan kepada sang makhluk. Buah tafakkur ini adalah untuk mencetuskan perasaan cinta terhadap Allah swt;

iii) Tafakkur dalam urusan dunia dan urusan akhirat serta hal semua makhlukNya yang berkecimpung di kedua-dua kehidupan berkenaan. Buah tafakkur ini adalah untuk menimbulkan sifat membelakangkan dunia, tetapi cenderung kepada akhirat.

Melazimkan zikir, "Laa ilaha illallah...."

Cara Menolak Sifat Malas untuk Ta'at

Jika mendapati diri dalam keadaan yang amat malas mengerjakan ketaatan dan berat sekali untuk melakukan kebajikan, maka hendaklah kita memimpin diri itu ke alam cita-cita dan harapan. Ingatlah akan apa yang Allah janjikan terhadap orang-orang yang beramal dalam ketaatan kepadaNya - bahawa mereka akan memperoleh kemenangan yang besar dengan mengecap nikmat yang kekal, mendapat keredhaan Allah swt sehingga dibenarkan tinggal dalam syurgaNya yang amat luas itu.

Di samping itu mereka akan diberikan kemuliaan, penghormatan, pangkat dan darjat di sisi Allah swt serta di sisi sekelian hambaNya yang dimuliakan.

Namun sekiranya kita berasakan terlalu amat cenderung untuk mengerjakan perkara yang salah di sisi syara', dan suka melakukan maksiat, dan dosa maka hendaklah kita meluruskannya dengan cemeti/cabuk yang menakutkan; iaitu kita harus ingat akan segala ancaman Allah swt terhadap sekelian hamba yang menderhaka terhadapNya. Kita akan dihina dan dikeji, disiksan dan diazab serta dihalang dari segala kenikmatan akhirat sehingga dipandang terlalu hina dan dalam keadaan merugi.

Jadi, ingatlah jangan sampai sekali-kali kita terjerumus ke dalam golongan orang-orang yang terlalu memandang ringan terhadap hal yang berkait dengan syurga dan neraka. Sebaliknya, kita hendaklah memandang berat sebagai apa yang paling dititik-beratkan oleh Allah swt dan rasulNya. Beramallah semata-mata kerana Allah swt. Hendaklah kita sentiasa memohon agar Dia memasukkan kita ke dalam syurgaNya, dan melindungi kita daripada neraka dengan rahmat dan belas kasihanNya.

Jika syaitan terkutuk itu membisikkan, "Sesungguhnya Allah swt itu Maha Kaya... Dia tidak berhajat kepada amalmu, dan segala ketaatanmu tidak mendatangkan apa-apa munafaat bagiNya. Ia sama seperti kemaksiatanmu yang tidak akan menyebabkan sesuatu yang mudarat pula."

Jawapannya, memang benar, katamu itu wahai syaitan. Akan tetapi aku ini fakir, yang sangat berhajat akan rahmat Tuhanku, dan berhajat kepada amal soleh dan ketaatanku kerana kedua-duanya itu akan menyebabkan aku memperoleh munafaat yang banyak. Sedangkan maksiat itu pula hanya akan membahayakan diriku. Maka inilah yang diberitakan oleh Allah swt dalam kitabNya yang mulia menerusi lisan rasulNya.

Jika syaitan itu berkata lagi, "Sekiranya engkau tercatat sebagai seorang yang bahagia di sisi Allah, maka bukankah engkau tidak syak lagi akan masuk syurga - tidak kira sama ada engkau seorang yang banyak membuat ketaatan ataupun banyak membuat maksiat.

Jika engkau tercatat sebagai seorang yang celaka di sisiNya, maka engkau akan dimasukkanNya ke dalam neraka jua meskipun engkau seorang yang taat. Bukankah itu semua telah tercatat di azali?"

Di ketika itu jangan sekali-kali kita terpengaruh memandangkan segala perkara mendatang itu adalah perkara ghaib - tiada sesiapa pun yang tahu melainkan Allah swt semata-mata. Malah tiada sesiapa pun yang boleh masuk campur dalam urusan ini! Namun ketaatan itu adalah bukti dan dalil yang menunjukkan masadepan yang bahagia - di mana antara syurga dan orang yang taat itu hanya sekadar memastikan dia harus mati dalam ketaatannya.

Sama halnya dengan maksiat yang merupakan bukti dan dalil yang menunjukkan masadepan yang celaka - di mana garis pemisah di antara neraka dengan orang yang menderhaka itu hanya sekadar memastikan dia harus mati dalam kemaksiatannya.

Jelasnya, ahli syurga adalah mereka yang beramal dengan amalan ahli syurga, demikian sebaliknya ahli neraka adalah mereka yang beramal dengan amalan ahli neraka. Jika diikutkan perbidalan Melayu; tepuk dada tanyalah selera lantaran sekian banyak utusan dan peringatan telah pun Allah swt sampaikan melalui para nabi dan kitab-kitabNya.

Samalah seperti anjing dengan bayang-bayang, terlepas tulang sesal tak hilang. Dengar kata enggang, makan buah belolok; dengar kata orang nanti sendiri yang terjun masuk lubuk.

No comments:

Post a Comment