Monday, 20 December 2010

Luka Hati Siapa? - 11

Kenapa masyarakat Melayu tidak begitu mengambil berat
dalam soal aurat apabila menghiaskan pengantin?

Mahu atau tidak sudah dua hari Nur Anita dipersiapkan. Kemudian pada Sabtu dia disolekkan dengan begitu rupawan. Kening, mata, pipi, hidung serta bibir yang selama ini memang telah cantik itu dibuat tambah berseri-seri lagi. Ada tukang solek khas yang ditugaskan. Mak andam pula lain kerjanya.


Benaknya sering berlegar. Bersimpang-siur ingatan dan impian dan Nur Anita asyik teringatkan kehidupan apabila bersama dengan Kamarul Izzat nanti. Ia datang silih berganti dengan kenangan dan lamunan terhadap Roy yang telah dia kenali sejak di sekolah lagi. Kemudian datang pula Jeff dengn wajah sedih menagih kesetiaannya. Hanya beberapa jam sahaja lagi Nur Anita pasti akan menjadi milik orang. Kamarul Izzat bukan pilihannya, tetapi dia sedang berusaha keras untuk menerimanya jua.

Kemudian, Nur Anita mula teringatkan kepada fitrah serta sifat semulajadi wanita sepertinya. Corak fikiran, memang mudah berubah dan akan dapat menerima sesuatu keadaan dengan seada-adanya. Itu sebab dalam banyak keadaan, wanita masih dapat berkorban - harta, cinta dan kasih sayang juga. Mereka sedia menerima sebarang jodoh walaupun buruk apabila ia ditetapkan oleh orang tua mereka sendiri. Mereka boleh hidup kekal beranak cucu, bahagia dan gembira juga sampai ke mati.

Jadi, siapa kata wanita boleh dipertaruhkan cinta mereka?

“Bertuah kau dapat kahwin dengan dia,” bisik Kak Bedah ketika menghantarkan kain tudung yang diperbaikinya pada petang itu.

“Bila dah jadi isteri tu... jadi la isteri yang baik,” pesan pula Maheran, ibu tunggal yang masih bercinta dengan Pak Talib jaga.

Seperti biasa, Leita adiknya itu tetap dengan muncungnya. Ada sahaja yang tidak kena dengannya sejak lama. Ada-ada sahaja yang tidak kena pada hatinya selagi ia berkait dengan diri kakaknya yang seorang itu. Memang mereka sering tidak sekata dalam banyak perkara. Di hari bahagian Nur Anita itupun dia masih boleh memasamkan mukanya - bermuncung bagaikan tikus mondok menghidu belacan. Di sana dia bermuncung. Ke mana-mana pun dia tetap dengan wajah yang mencuka. Pantang silap tanya, bengkengnya akan memecah dan termuntah.

Kata orang tua-tua, itulah tanda wanita yang sakit meroyan. Nur Anita tidak pasti, tetapi apabila melihat pada keadaannya itu memang teruk. Orang sakit meroyan boleh jadi gila, kata makcik Siah yang selalu datang mencuci pakaian dan mengemas rumah. Bagaimanalah agaknya, apabila si Midon beristerikan orang sakit meroyan? Peliknya, Leita masih belum pun bernikah lagi.

“Kalau la Nita yang jadi kau...,” Sarah membisik. Dia tidak meneruskan maksudnya.

Nur Anita menjeling sambil memastikan tiada air mata yang bergenang. “Kenapa?”

Sarah sekadar tersenyum. Penuh makna.

Ibu menangis pagi itu. Mungkin ibu dapat merasakan apa yang bersarang di lubuk hati anaknya itu. Dia menangis kerana melihat Nur Anita gembira. Dia merestui kegembiraan anaknya itu, sedangkan dia tidak pasti isi di dalam. Sementelah Nur Anita pun tidaklah begitu rapat dengannya. Bukan mereka tidak rapat dari segi hubungan, atau Nur Anita tidak sayangkannya, tetapi dia yang banyak berahsia. Jadi, setiap yang boleh menggembirakan Nur Anita mereka tetap akan merestuinya.

Dengar-dengar mereka juga telah punya pilihan sendiri, namun ibu dan ayah masih bersedia untuk menerima Kamarul Izzat, anak muda dari Ipoh itu. Mereka tetap menyangkakan bahawa Kamarul Izzat adalah pilihan muktamad anak mereka yang satu itu. Dalam masa yang sama mereka pun mungkin terkeliru. Mereka pun kenal juga dengan Roy. Mereka sedar akan kehadiran Jeff dalam hidup gadis itu juga. Nur Anita benar-benar berada dalam dilema. Setiap kali ibu bertanya mengenai mereka selepas pertunangannya tempohari, Nur Anita hanya mendiamkan diri.

“Siapa lagi yang dijemput lagi hari ni?” bisik Nurul Asyira pada Rosmaniza yang sedang menampal-nampalkan ‘foundation’ pada mukanya sendiri. Sementara itu Nurul Asyira pula sedang mengenakan gincu pada bibir yang nipis dan mengemamnya untuk tujuan meratakan.

“Kawan kita semua tentu terperanjat malam ni,” kata Nurul Asyira sambil mencapai sikat untuk membetulkan rambutnya yang juga baru disetkan pada petang sebelumnya.

“Kenapa pula?” tanya Sarah sambil menjeling Rosmaniza melalui cermin muka yang besar di penjuru bilik.

Nur Anita tidak bersuara. Dia masih asyik dengan keletah jurusolek yang sedang mengenakan gincu.

“You all tengok la sendiri nanti,” Nurul Asyira keberatan memberitahu.

“Apa kau dah ada boyfriend ke?” tanya Sarah beralih dan menghadap sambil memegang tangannya. “Betul ke Nurul?”

Nur Anita memegang tangan jurusolek sehingga make artist itu terhenti daripada membetulkan garis gincu di bibir dengan kertas tisu. Dia turut beralih memandang kepada Nurul Asyira.

“Ada orang baru ye, Nurul?” Nur Anita bertanya Nurul Asyira sambil berdiri.

“Tak ada la,” jawab Nurul Asyira pendek. Dia buat endah tak endah.

No comments:

Post a Comment