Friday, 31 December 2010

Luka Hati Siapa? - 13

++ Gambar hiasan ++
Entah kenapa, hatinya asyik berdebar-debar?

SELEPAS selesai khatam al-Quran, Nur Anita bersiap-siap dengan pakaian pengantin. Mak Andam yang solekkan dia dengan mengenakan pakaian khas untuk upacara akad nikah yang telah disewa. Rimasnya bila kain tebal itu dipakai. Peluh semakin menjadi-jadi sementara menunggu ketibaan rombongan pengantin lelaki untuk majlis akad nikah.

Rombongan Kamarul Izzat tiba kira-kira jam 12.00 tengah hari dan tok kadi telah pun bersedia untuk menjalankan upacara yang berlangsung di anjung. Riuh-rendah kedengaran perbualan kaum lelaki dari rombongan Kamarul Izzat apabila bertemu dengan ahli keluarga dari pihak tuan rumah. Chor Lanan pun ada sama dengan lawaknya yang bersahaja.

Tidak berapa lama kemudian, Pak Long masuk ke bilik pengantin untuk mendapatkan persetujuannya. Borang nikah Nur Anita ditandatangani dengan tangan yang menggeletar. Nurul Asyira, Rosmaniza, Sharmaine, Sarah dan beberapa orang kawan yang lain tersenyum-simpul melihat gelagatnya. Mereka gembira tanpa mengetahui betapa berdebar hatinya di dalam?

Air matanya sesekali bergenang lagi. Bibirnya asyik bergetar. Hati di dalam berbelah bahagi... Nur Anita jelas berada di persimpangan. Sedangkan, majlis pada tengah hari itulah yang akan memuktamadkan. Nur Anita bakal dirasmikan menjadi hak seseorang yang tidak pernah menjelma di dalam hidupnya selama itu. Satu suasana aneh yang harus dilaluinya. Dalam hatinya, Nur Anita masih kesal - kenapa pinangan lelaki itu yang mesti diterima? Sedangkan dia masih tidak pasti.

“Usah dok murung... dah nak nikah ni!” dengus Nurul Asyira di tepi telinga.

Nur Anita mengangguk sambil mengejitkan mata. Air jernihnya terburai dan menitis di atas belakang tangan yang ditopangkan atas lantai berpermadani tebal ketika duduk bersimpuh.

“Huhh... tengok tu! Orang perasan tau...,” Nurul Asyira berbisik lagi sambil menyerahkan sekotak tisu.

Nur Anita menggeleng. Hatinya benar-benar diamuk sayu.

Setelah selesai, Pak Long keluar, tetapi sempat dia menoleh melihatkan gelagat anak kemanakannya itu. Dia pun menggeleng. Hairan. Kemudian kedengaran di ruang tengah majlis akad nikah bakal dimulakan. Ayah mewakilkan walinya kepada tok kadi. Kemudian kedengaran bait-bait penyerahan yang cukup teratur. Ia bererti, ayah merelakan majlis itu diteruskan dengan berwalikan hakim.

Air matanya masih galak untuk bergenang lagi. Sesekali pandangannya terasa kabur dilindungi air jernih yang suam-suam itu - galak untuk segera menitis. Nur Anita mencapai kertas tisu lalu mengelapkannya.

Nurul Asyira memerhatikan gelagat temannya itu dengan penuh simpati. Demikian juga dengan teman-teman yang lain. Sarah seperti tertanya-tanya. Dia mengangkat kening, sebagai isyarat tanya kepada Sharmaine. Gadis tinggi lampai anak mami itu sekadar mengangkat bahunya. Nur Anita tunduk sambil mengesatkan hidungnya yang juga turut berair.

"Kau masih ada masa... nak lari ke?" Sarah bertanya nakal. "Kalau tak mau usah diteruskan!"

"Kau ni merepak saja la, Sarah," Sharmaine menegur.

Nur Anita tidak bersuara. Dia masih tunduk.

Dia tidak pasti perasaan Kamarul Izzat waktu itu. Tetapi, jelas dia juga kedengaran gugup apabila menyambut akad yang tuan kadi lafazkan. Dua kali Kamarul Izzat melafazkan nikahnya untuk memuaskan hati para saksi.

Selepas memeluk dan mencium anaknya ketika akad nikah sedang berlangsung ibu terus keluar dan menghilang. Mungkin dia melihat pada kelopak mata anaknya yang tergenang air jernih yang mungkin dia tidak pasti. Gembira atau duka. Kak Bedah masih di penjuru bilik, sementara Maheran menjenguk ke luar dari tepi tingkap. Leita pun tidak kelihatan.

Nurul Asyira menggenggam tangan temannya itu. Dia seolah-olah memberi perangsang. Dia memujuk hati sang pengantin agar tidak terus goyah dengan pertimbangan yang tidak pasti. Dia kerap menegur dan memujuk juga.

“Come on, Nita!” dengusnya. “It shouldn’t bethat way, honey....”

Nur Anita hanya mengemamkan bibir sekuat hati. Dia menggeleng, dan dia mula teringatkan Roy lagi. Nur Anita teringatkan Jeff juga. Kemudian keadaan berubah apabila Kamarul Izzat diiringi masuk untuk upacara menyarungkan cincin dan 'membatalkan air sembahyang' ikut cara adat orang Melayu. Debarnya mengencang, sedang Mak Teh dan beberapa anggota rombongan pihak lelaki turut masuk. Penuhlah bilik itu dan bergedup jadinya. Hawa sejuk pendingin pun sudah tidak terasa lagi.

Sekali lagi cincin disarungkan...

Nur Anita mencium tangan Kamarul Izzat - tanda hormat. Suami yang baru menerima akad itu mencapai lengan Nur Anita lalu mengucup di ubun-ubun isterinya. Tubuh badan yang menggeletar seketika itu juga timbul meremang geli dibuatnya. Gugup di dalam usah dikira. Nur Anita baru sedar, bahawa dia telah bersedia untuk menyerahkan diri dan tubuhnya kepada seseorang yang begitu asing dalam hidupnya. Itulah lelaki yang akan menjadi suami dan bakal mengemudikan bahtera kehidupan mereka di hari muka.

Lelaki itulah yang diharap bakal mengemudikannya ke arah yang lebih terjamin dan selamat; dunia serta di akhirat nanti. Itulah harapannya yang menggunung. Ia pertaruhan lantaran kesediaannya mengorbankan perasaan sendiri dengan tidak memilih Roy ataupun Jeff.

Keadaan ketika itu sunyi sepi dan semua pandangan tertumpu kepada mereka berdua. Kerlipan flash kamera sahaja yang kerap menerangi dan mengganggu suasana. Ketika itu Nur Anita segera teringatkan pesan ibu. Ibu yang berbisik di telinga sebelumnya, memintanya menjaga diri dan rumahtangga dengan baik dan sempurna.

Dan seketika itu juga air matanya mulai tepu kembali. Ia meleleh dan mengalir membelah mekap merah di pipi. Nurul Asyira segera mengelapkannya dengan kertas tisu di tangan. Kemudian Mak Teh dan rombongan pihak lelaki bersalam dengannya sebaik pengantin lelaki beredar keluar. Ada oleh-ole di tangan mereka ketika meraup salam. Berkeping-keping not merah dan biru muda lima puluh ringgit yang bertukar tangan. Semuanya diserahkan kepada Nurul Asyira yang berada di sebelahnya.

Sehingga ke upacara bersanding ibu tidak ada. Dia tetap tidak kelihatan. Pelamin yang terletak di luar bilik pengantin itu memenuhi ruang tengah rumah. Ia dihias indah bersekali dengan gerbang dan bunga-bungaannya. Itu pun ia menjadi pertikaian juga sebelumnya. Sejak mula Nur Anita memang tidak mahu disandingkan. Dia tidak mahu terikut-ikutkan dengan adat dan budaya Hindu yang masih menjadi warisan Melayu itu.

Malang, apabila ada di antara anggota keluarganya pun bukan luas sangat fahaman agama mereka. Pegangan agama pun seada-adanya sahaja seumpama main celup-celup, maka tradisi hedonisme itu masih mahu diteruskan. Budaya dan kebiasaan masih menjadi penentu kehidupan. Sama seperti orang lain, mereka pun terikut-ikutkan budaya fasiq dan jahil itu. Alasannya, peristiwa bersejarah itu tidak akan meriah jika persandingan tidak diadakan.

Akhirnya, Nur Anita terpaksa mengalah. Di hari berbahagia itu dia berdosa kepada Tuhan. Selain daripada percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki-perempuan ketika majlis itu diadakan, pengantin dipamerkan bagai barang dagangan. Adat jahiliah yang masih kemas membelenggu. Amat terasa akan keganjilannya, tetapi apa yang dapat dibuat selain daripada memasamkan muka. Leita, adiknya yang mengajarkan cara-caranya.

“Ala, cantiknya rupa kau, Nitaa...,” bisik Nurul Asyira sambil tunduk ketika mengipas. “Come on la, sayang!”

Nur Anita tersengih, tetapi cerianya tidak. Sementara itu puas juga dia mengerling pada puluhan mata yang asyik memerhatikan. Nur Anita masih mencari-cari ibu sejak pengantin diarak keluar naik ke pelamin lagi. Ibu tetap tidak kelihatan di celah-celah orang ramai yang berhimpit-himpit itu. Hingga ke waktu bergambar dan berlangsung upacara merenjis, ibu tetap tidak kelihatan. Hanya ayah, Kak Bedah serta Mak Teh sahaja yang merenjis.

Kenapa sejak malam berinai lagi ibu asyik mengesatkan air matanya? Adakah dia terlalu gembira atau hatinya sayu kerana melepaskan Nur Anita? Malah bukan ibu tidak pernah mengalami peristiwa begitu. Kakak dan abang-abang yang lain juga sudah pernah dan biasa berkahwin. Ibu nampak gembira sekali. Namun keadaannya agak berlainan buat kali itu. Kenapa?

Selepas bersanding di dalam rumah ada upacara lain pula di halaman. Ada istiadat merenjis dan bersilat pula. Hari panas terik membuatkan kain songket tebal yang dipakai itu serasa tidak selesa. Badannya rasa berbahang di dalam. Nur Anita mulai rimas, apatah pula hatinya memang terasa bungkam dengan upacara persandingan yang tidak menepati citarasanya itu. Dia memasamkan mukanya, sedangkan Nurul Asyira sudah tidak terkata apa-apa lagi. Dia hanya mengipas dan sesekali membetulkan kain tudung yang telah menyembunyikan rambutnya daripada berjuntaian itu.

"Dunia punya la aman-damai, tapi malam karang... ada orang yang nak berperang!" entah suara siapa yang menyindir.

Mereka terus diusik dengan berbagai sindiran oleh suara-suara nakal tentang malam pengantin. Nur Anita tahu suaminya, Kamarul Izzat amat terhibur dengan usikan tersebut. Dia asyik tersengih, sedangkan Nur Anita berasa teramat malu untuk mendengarnya. Di antara yang kedengaran ialah suara Pak Lang, Pak Ngah begitu juga dengan Mak Teh, Mak Cik dan Mak Su Kamarul Izzat yang turut mengusik.

Namun keadaan sungguh memenatkan. Dia serasa mengantuk pula.

No comments:

Post a Comment