Thursday, 23 September 2010

Memperaga Kecantikan Diri - Tabarruj

Oleh: biji_getah (TKO)

Tabarruj ialah menampakkan kecantikan wajah, baik pada bahagian wajah atau pada anggota-anggota badan yang lain. Al-Bukhari Rahimatullahi Alaihi pernah berkata, “Tabarruj, iaitu seorang wanita yang memperlihatkan kecantikan wajahnya.”

Untuk menjaga masyarakat dari bahaya pendedahan aurat di samping menjaga kehormatan wanita dari suatu pencemaran maka dengan yang demikian, Allah melarang wanita yang telah berakal lagi baligh daripada make-up (tabarruj).

Sesuatu corak perhiasan pada anggota badan dan pakaian, dapat membawa kepada fitnah. Disebabkan itu Allah melarang bermake-up. Larangan seperti ini biasanya akan ditaati oleh wanita-wanita yang beriman kerna takut kepada kemurkaan Allah dan siksaan daripada-Nya.

Pengertian perhiasan bukanlah terbatas pada alat-alat hias sahaja atau fesyen-fesyen pakaian semata-mata, malahan perhiasan paling istimewa adalah terletak pada tubuh setiap wanita. Sekiranya kecantikan wajah seperti ini dipertontonkan kepada lelaki, maka perbuatan ini juga disebut sebagai “TABARRUJ”.

Ada pula di kalangan wanita yang bertudung, di samping tudung diletakkan pula di atasnya untaian bunga dan hiasan yang menarik, manakala rambut di bahagian depan sengaja dibiarkan keluar . Ada juga fesyen rambut yang disanggul dan dihias pula seperti mahkota kemudian dilekatkan selendang supaya jelas bentuk keindahan mahkotanya.
Ini adalah di antara contoh peragaan (ayam togel) yang dilarang

... berbanding dengan yang ini;

Maka di sinilah letaknya keindahan Islam!

Idea dan usaha ini dilakukan supaya tampak tambah menarik pada setiap mata yang memandang dan konon supaya dianggap orang bahawa dia juga seorang yang mentaati Allah di samping pandai pula menyesuaikan diri dengan pelbagai fesyen pakaian menurut keadaan dan peredaran zaman.

Sebenarnya maksud dan usaha sedemikian adalah salah! Allah Subhanahu Wata’ala lebih mengetahui segala persoalan yang tersirat di dalam pemikiran kita. Penampilan sebegitu bererti kita menipu diri sendiri. Akhirnya kita juga tergolong ke dalam golongan wanita-wanita yang bermake-up seperti dalam firman Allah dalam ayat Al-Qur’an yang maksudnya ;

"Dan jangan mereka menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.”

Dari kandungan ayat itu, Allah juga melarang sebahagian golongan wanita yang mana tradisi mereka memakai gelang kaki, menghulurkan kaki hingga terlihat perhiasan tersebut. Seandainya baju yang dipakai menutupi aurat, tetapi oleh kerana lenggang badan berjalan, pakaian itu turut bergoyang hingga kadang-kadang ternampakkan bentuk badan di bahagian anggota, keadaan seperti ini boleh dimaafkan.

Firman Allah yang bermaksud;

“Hai isteri-isteri Nabi a.s kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Kerana itu janganlah kamu semua lunak dalam bicara hingga berkeinginanlah orang yang ada perasaan serong di dalam hatinya , tetapi ucapkanlah perkataan yang baik." -  al-Ahzab: 32

Dari ayat tersebut dapatlah difahami bahawa suara lemah-lembut adalah sebahagian daripada aurat wanita juga. Rasulullah SAW bersabda;

“Seandainya wanita keluar dari rumah serta memakai bau-bauan, maka dia sudah dianggap melakukan perzinaan.”

Penggunaan wangi-wangian atau jenis bau-bauan bagi kaum wanita waktu keluar dari rumah adalah dilarang, kerana syari’at Islam apabila melarang perzinaan, maka segala sumber dan ciri-ciri yang membawa kepada perbuatan keji tadi semuanya juga dilarang.

Ummu Salamah pernah menceritakan, katanya; Asma binti Abu Bakar telah menziarahi Rasulullah SAW pada suatu hari dengan berpakaian tipis. Lalu Rasulullah menasihatinya dengan bersabda;

“Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah haid #baligh#, tidak harus baginya menampakkan anggota badan, kecuali ini dan ini.” Di samping itu Rasulullah mengisyaratkan kepada wajah dan kedua tapak tangannya.

Alangkah bahagianya seorang wanita seandainya bersederhana apabila berada di luar rumah, tetapi menjadi peragawati di dalam rumahnya sendiri. Sudah tentu dia tidak mendapat teguran, kerana tidak berlaku terlalu kemurahan untuk melayani selera orang ramai, tetapi sebaliknya suami di rumah yang senantiasa dilayani.

Jika masih ada teguran dari suami, itulah tandanya suami menyayangi isterinya. Kesimpulan daripada hadis tersebut dapat difahami bahawa Allah membenarkan wanita membuka wajah dan dua tangan jika anggota-anggota tersebut tidak dimake-up. Seandainya anggota-anggota tersebut dihiasi, umpamanya wajah berbedak, kening bercelak, bibir bergincu dan sebagainya, maka kawasan wajah seperti itu wajib dilindungi dengan penutup lain.

Begitu juga dua tapak tangan hingga pergelangan. Seandainya dihiasi pewarna kuku atau seumpamanya maka wajiblah ditutupi seperti bersarung tangan. Tujuan seruan ini adalah untuk menghindarkan diri daripada terjadinya suatu kemungkaran. Apabila seorang wanita tidak lagi bermake-up kecuali untuk pandangan suaminya maka dapat mengelakkan dirinya daripada kerlingan mata keranjang.

Penyingkapan perhiasan yang dilakukan oleh wanita dengan mempamerkan kejelitaan tubuh mereka dianggap sebagai suatu tipuan angin nafsu yang besar terhadap pihak lelaki. Penyingkapan tersebut dapat merangsang berahi setiap lelaki, khasnya bagi mereka yang mempunyai syahwat haiwaniyah. Perbuatan tersebut seolah-olah menyuakan makanan di hadapan mereka. Seandainya makanan yang enak dihidangkan di depan mata, siapakah gerangan yang tidak berselera?

Oleh itu Allah SWT tidak ketinggalan memerintahkan kaum lelaki seupaya memelihara penglihatan mereka daripada melihat hal-hal yang diharamkan. Larangan tersebut terdapat dalam firman-Nya yang bermaksud;

“Katakanlah kepada lelaki yang beriman, hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluannya.”  -  An-Nur ayat: 30

Demikian pula Allah menyuruh perempuan supaya menahan pandangan mereka dengan firmanNya; “Hendaklah mereka menahan pandangannya….....”

Daripada analisa semua ini ialah jelas bahawa pandangan dapat membawa kepada perzinaan.

Rujukan : Al-Tabarruj #Make-Up Dalam Sorotan Islam) oleh Ni'mat Sidqi.
Diedit pada sebahagian ejaan asal, istilah Indonesia.
http://okgc.blogspot.com/2010/07/make-up-dalam-sorotan-islam-al-tabarruj.html

wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment