Apabila sahaja tercampak ke dalam hati itu satu-satu nur atau warid, maka pada masa itu terasa dirinya terkikis daripada segala sifat buruk, iaitu tabiat nafsu syaitaniah berganti dengan sifat hati yang terpuji (akhlak mahmudah).
Perlu diingat, agar tidak tersilap faham tentang nur atau warid ini. Ia bukan seperti cahaya lampu suluh. Nur itu maknanya ialah suatu 'kedapatan' rasa di hati orang suluk dalam perjalanannya untuk mencapai makrifat pada Allah swt.
Mengaji dengan panduan sang guru
Demikian juga dengan segala sifat budi (keruhanian) yang mulia dan tinggi yang dibicarakan dalam tasauf adalah hasil daripada warid yang membersihkan hati. Ia bukan dari hasil pendidikan jasmani atau pengajaran lahir sejak kecil seperti pelajaran biasa di sekolah atau madrasah. Ia adalah hasil daripada latihan rohani (dari sekolah-sekolah tariqat).
Tariqat sufiah dan perkembangannya
Mengikut sejarah, perkembangan ilmu tasauf dan tariqat pada zaman silam tersangat pesat dan telah berjasa besar dalam mengukuhkan tahap keimanan dan penglahiran kesusilaan budi yang luhur. Sedangkan, dari sudut pandangan dunia Islam moden hari ini beranggapan tariqat adalah suatu perkara khurafat dan bid'ah belaka. Umat Islam telah tersilap mengambil pengertian terhadap ilmu tasauf dan tariqat sufiah. Lebih parah apabila umat Islam zaman moden ini telah banyak kehilangan moral sifat-sifat kerohanian angkara terlalu meniru peribadi kebudayaan barat (maksiat) yang begitu cepat meluas di segenap ceruk rantau. Puncanya, ia amat bersesuaian dengan peribadi manusia bernafsu 'ammarah sehingga budaya Islam itu tertelan oleh serangan budaya barat.
Maka pada zaman sebegini, dapatkah diharapkan terbentuk sebuah masyarakat Islam yang makmur dalam erti kata sebenar - serba maju dari segi kebendaan dan pada masa yang sama dalam hal kerohanian?
Jawapannya adalah MUSTAHIL melainkan jika ada pemimpin yang benar-benar ikhlals dan bertanggungjawab terhadap agama Allah dengan azam yang tinggi memupuk polisi politik agar roh Islamiah dan keimanan itu dapat hidup berkembang dalam setiap anggota masyarakat. Kebenaran dan keikhlasan terhadap agama Allah sukar hendak dicari kecuali jika seseorang pemimpin itu benar-benar kaya dengan sifat kerohanian sufiah yang waja.
Ia dapat dilihat di kalangan pemimpin besar zaman lalu seperti Nabi Besar Muhammad saw, para sahabat yang terdiri daripad manusia yang kaya dengan sifat kerohanian sufiah. Jadi tidak hairanlah maka negara iman dapat ditegakkan di atas muka bumi ini.
Hati yang mati...
Agak malang apabila timbul satu kecenderungan lain, apabila ada kalangan orang atau puak-puak sufiah yang berasakan diri mereka sudah layak menjadi syeikh sebelum dia mempunyai kelayakan yang sebenar. Maka timbullah bentuk-bentuk tariqat corak baru hasil rekaan syeikh yang belum matang itu. Tariqat seumpama ini tidak diktirafkan (tak diakui sah) oleh syeikh-syeikh yang masyhur. Maka terhasillah golongan tariqat palsu yang pesat berkembang.
Bid'ah dalam tariqat
Dalam masalah bid'ah ini, kaum sufi akur bahawa sesetengah bid'ah sufiah itu wajar dengan sebab ada tujuan yang hasanah (baik). Jelasnya, segala masalah dalam dunia ini memang tidak terlepas daripada perkara bid'ah dalam erti kata yang luas. Ulama feqah, usuluddin, ulama tasauf dan ulama lain juga turut mengadakan perkara bid'ah. Contoh, kaum feqah mensunatkan pembinaan mesjid yang cantik, sedangkan di waktu Rasulullah saw tidak begitu. Kaum usuluddin pula mentakwilkan ayat-ayat mutasyabihah supaya orang-orang awam tidak tersalah faham, sedangkan pada zaman baginda - ia didiamkan sahaja. Begitu juga dengan perayaan maulud dsb - kesemuanya dalah bid'ah belaka.
Ada banyak lagi perkara bid'ah yang dilakukan oleh pakar-pakar ilmu lain dalam masyarakat yang berlainan pula. Ia memang tidak dapat dipisahkan dengan kehidupan dan hukum tabii ini. Apa yang perlu diingat, "Setiap perkara bid'ah itu sesat dan setiap yang sesat itu adalah habuan api neraka" sebagaimana sabda baginda.
Pun begitu, kita tidaklah pula boleh berpegang kepada kaedah yang telalu umum. Jika tidak, setiap orang yang membina mesjid cantik dan mengadakan perarakan maulud sahaja pasti akan masuk neraka belaka.
Sebenarnya, kaedah dalam penentuan bid'ah ini berkisar tentang masalah tauhid sahaja. Apabila berlaku bid'ah dalam soal iktiqad/kepercayaan yang salah maka ia adalah sesat. Apabila sesat tentulah tempatnya di dalam neraka.
Suluk
Suluk ertinya segala usaha ikhtiar yang sedang berjalan untuk mencapai maqam makrifat pada Allah di bawah pimpinan seorang guru tasauf yang arif lagi mursyid.
Orang suluk yang dikatakan 'salik', iaitu orang-orang yang menjalani segala daya-usaha untuk memerangi hawa-nafsu dan syaitan dengan mengekalkan amalan wirid tariqat yang diberi oleh guru bagi mencpai matlamat akhir, iaitu makrifat pada Allah swt.
Untuk mencapai makrifat ini bukanlah satu perkara mudah. Malah ia takkan tercium baunya di kalangan orang awam - dari kalangan kita yang pengecut pada mujahadah dan ibadat ini di mana makrifat itu adalah pakaian bagi orang-orang wali, para anbiya' dan sekelian rasul. Makrifat mengikut istilah tasauf ini amat jauh berbeza dengan makrifat usuluddin yang hanya membicarakan tentang dalil kewujudan Allah swt atau proses mengenal Allah dengan dalil adanya makhluk. Ia termasuk dalam hal mengenal segala sifat-Nya yang wajib, mustahil dan harus.
Makrifat di sisi tasauf ialah mengenal Allah dengan jalan kehadiran suatu rasa dzauk yang dinamakan 'syuhud'. Perasaan ini hanya dicampakkan Allah ke dlam hati seseorang wali atau seumpamanya setelah hatinya itu bersih daripada karat hawa-nafsu syaitan dan keduniaan. Perasaan dzauk (syuhud) yang menghasilkan makrifat sufiah seperti ini tidak akan tercapai melainkan oleh seorang wali.
Ia pula tidak akan dinamakan makrifat melainkan orang arif-billah (wali), iaitu orang yang mengenal Allah dengan jalan hadir suatu 'kedapatan' dzauk (syuhud). Pada waktu itu terhasil kepadanya fikiran-fikiran bernas, ilmu pengetahuan yang indah-indah dan ilmu ilham atau rahsia yang luar di luar batas kekuasaan otak manusia.
Bertapa di Gunung Reng
Ada juga suluk khadam, iaitu upacara amalan yang dibuat pada masa-masa tertentu kerana menuntut penemuan khadam. Apabila berjaya dapat bersahabat dengan khadam maka segala hajat tuannya dapat ditunaikan oleh si khadam berkenaan. Namun mengikut perbicaraan tasauf, ia sudah dikira terkeluar daripada kehendak tasauf. Jadi, ia perlu diberikan perhatian serius agar tidak terkeluar daripa lunas-lunas suluk cara tasauf sebenar.
Panduan penting kepada pembaca kitab tasauf
Perlu diingat, segala kitab tasauf ada TIGA peringkat;
1. Tasauf dzawahir, iaitu segala kitab yang isi karangannya merupakan perbicaraan jenis zahir yang tidak mendalam. Ia boleh sahaja dibaca dan difahami secara bersendiri jika seseorang itu menguasai bahsa Arab. Contohnya, adalah kitab Ihya Ulumuddin atau Minhajul-abidiin karya Imam Al-Ghazali. Jika berguru terlebih baiklah lagi.
Kitab Taubat Imam Al-Ghazali
3. Tasauf bawatin, iaitu kitab-kitab jenis karangan berat untuk difahami kandungan isinya. Ia tidak dapat dicapai oleh kemampuan otak biasa. Ia hanya dapat difahami setelah mengalami sendiri dzauk-dzauk sufiah. Kitab seumpama ini dilarang (diharamkan) mengajar oleh sesetengah syeikh sufiah yang arif. Contohnya, Al-Futuhat Al-Makkiyah karya Syeikh Ibn Arbi atau Insan Kamil karya Syeikh Abdul Karim bin Ibrahim al-Jaili atau 'Fahua Min al-Hikaam' karya Ibn Arabi.
Adalah tidak wajar buat kita orang awam ini cuba untuk mengupas dan mengorek isi kandungan kitab jenis tasauf seumpama itu. Kitab tasauf jenis bawatin memang tidak dapat difahami dengan otak akal fikiran, tetapi ia dapat difahami dengan atau setelah mengalami makrifat itu sendiri. Jadi, pada sesiapa yang ingin cuba mengupas hal-hal 'wahdatul-wujud' atau 'al-ittihad' atau seumpamanya dikhuatiri akan menyeleweng dan mengelirukan fahaman orang ramai.
Banyak juga kitab tasauf karangan baru yang keluar dari negeri-negeri di Timur Tengah, tetapi menyeleweng dari kehendak hakikat sebenar. Biasanya, ia dikarang oleh mereka yang bukan ahlinya. Ada juga kitab-kitab yang terhasil dari kalangan mereka yang engkar akan kebenaran tasauf atau yang diambil daripada kitab-kitab terjemahan Arab ke Inggeris.
Kesilapan penulis tasauf
Ramai penulis yang cenderung mengemukakan ilmu tasauf dari segi budi-pekerti dan sifat-sifat aulia Allah sebagai bahan contoh ikutan. Mereka tidak mengemukakan cara untuk mencapai sifat-sifat berkenaan. Pokok dalam ajaran tasauf ialah 'menyuci nafsu atau hati itu terlebih dahulu dengan kaedah mujahadah dan amalan tariqat'.
Apabila kesucian hati telah terbina maka seluruh sifat kerohanian akan dapat dapat dicapai dengan sendiri secara automatik. Bagiaman mungkin seseorang itu dapat menzahidkan dirinya, sedangka hatinya masih kotor dengan sifat tamak dunia? Mana mungkin generasi zaman ini yang terbiasa dengan budaya barat dan sekular dapat menzahidkan diri untuk dijadikan didikan budi-pekerti selagi tidak melalui jalannya.
Jadi, adalah dibimbangi timbul tuduhan atau salah faham bahawa ilmu tasauf sudah tidak sesuai dengan zaman ini. Ia boleh dikira sebaga mustahil untuk dapat dihidu oleh generasi zaman ini - kemudian timbul tuduhan bahawa tasauf itu sebagai khurafat dan bid'ah. Ia tidak dapat diterima oleh akal siuman generasi zaman moden yang sememangnya sudah tidak siuman lagi.
No comments:
Post a Comment