Friday, 13 August 2010

Zahir dan Batin @ Syariat dan Hakikat-2

An-Nasai telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Al-Harith bin Hatib berkenaan dengan peristiwa seorang pencuri yang dibawa ke hadapan baginda Rasulullah.

"Bunuhlah akan dia," perintah Nabi.

Apabila mendengar demikian, para sahabat lalu berkata kepada baginda Rasulullah, "Ya Rasulullah, dia hanya mencuri."

Jawab baginda lagi, "Bunuh akan dia."

Maka sahabat-sahabat mengulanginya, "Dia hanya mencuri, ya Rasulullah."

Lalu berkata Nabi, "Potonglah akan tangannya."

Dan tangan pencuri itu dipotong oleh para sahabat.

Kemudian tidak lama kemudian, pencuri itu mencuri lagi, lalu dipotong kakinya.

Apabila tiba ke zaman Abu Bakar, si pencuri itu masih juga mencuri maka dipotonglah kakinya yang terakhir. Kemudian dia mencuri lagi buat kali yang kelima.

"Yeah... Rasulullah telah lebih mengetahui akan orang ini, maka dengan sebab itu baginda perintahkan agar orang itu dibunuh," jelas Abu Bakar. Dia pun menyerahkan tugas itu kepada beberapa orang pemuda Quraisy lalu si pencuri itupun dibunuh.

Jadi, jika dilihat hukum yang pertama itu adalah hukum batin sebagai tanda di mana baginda diberikan Allah ilmu batini. Namun oleh kerana para sahabat meminta agar tidak dikenakan hukum ilmu batinnya, Rasulullah tidak pula memberitahu apa yang telah diketahuinya kepada sahabat. Sedangkan baginda tahu bahawa si pencuri itu akan terus mencuri sehingga dia dibunuh kerana mencuri.

Dasar ilmu ini ada disebut dalam Surah An-Nisa': 58 yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah menyuruhmu supaya kamu membayarkan amanat kepada yang empunya, dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu hukum dengan keadilan. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik mengajar kepada kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Ia menujukkan bahawa di kalangan sahabat itu yang yang memiliki ilmu batini yang dikurniakan Allah. Mereka menghukum dengan hukuman yang sebenarnya.

Ilmu yang diistinbatkan seperti yang disebut dalam ayat berkenaan menurut istilah orang-orang sufi, itulah ilmu batin - yang disebut sebagai Nur yang menerangi hati; yang dapat diterima sekelian anggota dengan senang dan tenang serta menambahkan keyakinan.

Abu Yazid Al-Bistami berkata kepada ulama-ulama di zamannya, "Tuan-tuan mengambil ilmu dari ulama rasmi, orang mati dari orang mati; kami mengambil ilmu kami dari Yang Hidup dan tidak akan mati."

Demikian juga dengan Muhyiddin Ibnu Arabi, seorang ketua kepada imam-imam sufi yang besar. Dia pernah menulis kepada Imam Fakhrul Razi, penafsir besar yang terkenal, "Lelaki itu belum menjadi sempurna pada kami dalam darjat ilmu sampai ilmu itu diperolehinya dari Allah azza-wajalla tanpa perantaraan  naqal atau syeikh."

Kata orang-orang sufi, "Nikmat yang lahir, misalnya taat, nikmat yang batin iaitu gerak hati dan kasyaf batin." Ulama-ulama yang 'abid - mereka itu adalah pewaris Nabi. Apa yang diwarisi itu bukan harta-benda, tetapi ilmu dan kasyafnya, limpahan-limpahan ilham Tuhan kepadanya."

Orang-orang sufi tidak pernah mengatakan bahawa walaupun mereka mendapat gerak hati, kasyaf ruhani tidak pula pernah mematikan (tidak melaksanakan) sesuatu had daripada patukan yang dihadkan Allah atau menyalahi sesuatu hukum syariat. Apa yang dikatakan oleh ulama tasauf, ibadat dan kebersihan jiwa, kedua-duanya sejalan secara syariat Islam untuk membukakan pelbagai hakikat ilmiah, dan dua jalan secara syariat untuk mengetahui hal-hal yang ghaib atau mengetahui sebahagian hal yang ghaib, dengan ketentuan yang semuanya tidak akan bertentangan dengan hukum syariat Islam yang zahir.

Imam Al-Ghazali ada menulis dalam kitabnya, 'Bidayatul Hidayah' (permulaan hidayah), sebagai menceritakan berita jiwanya: "Saya telah memerhatikan diri saya sendiri. Saya melihat ada banyak sekali hijab dalam diri. Lalu saya masuk kahlwat dan melakukan latihan-latihan ruhani dengan mujahadah selama 40 hari. Maka terbukalah bagi saya sebahagian daripada ilmu yang belum pernah saya ada pada saya dengan lebih bersih dan jernih daripada yang pernah saya kenal. Saya lihat dalam pengetahuan yang baru itu terdapat kekuatan fiqiyah (memahami agama). Lalu saya kembali lagi berkhalwat dan melakukan ibadat dengan segala kesanggupan selama 40 hari pula.

Maka terbuka kepada saya ilmu yang lain pula - lebih jernih dan lebih bersih daripada yang pernah saya terima pada khalwat yang pertama. Maka saya pun berasa cukup senang hati. Saya dapati dalam khalwat yang kedua, ilmu lain iaitu kekuatan fikiran dan tilikan. Kemudian saya berkhalwat sekali lagi 40 hari lalu terbuka bagi saya ilmu lain yang lebih jernih dan lebih bersih daripada yang sudah-sudah. Saya dapati dalam ilmu ini, terdapat kekuatan yang bercampur dengan ilmu, sedangkan pada waktu itu saya belum pun berhubungan dengan ahli-ahli ilmu Ladunyah.

Kata mereka, "Menulis di atas bekas hapusan tidaklah sama dengan menulis di atas kertas yang suci dan bersih."

Inilah apa yang difirmankan Allah, Surah Al-Hadid: 28;
"Hai orang-orang yang beriman (di antara ahli kitab), takutlah kepada Allah dan berimanlah kepada rasulNya (Muhammad), nanti Dia memberikan kepadamu dua bahagian dari rahmat-Nya, dan mengadakan untukmu cahaya, sehingga dapat kamu berjalan padanya, dan Dia mengampunimu, dan Allah Pengampun lagi Penyayang."

Apakah erti DUA bahagian dari rahmat Allah itu? Inilah yang ditujui oleh orang-orang sufi.

No comments:

Post a Comment