Dalam hati itu, saya berasa teramat lega walaupun masih belum diketahui keadaan di tempat baru itu. Apa yang penting saya dapat keluar daripada 'neraka' ciptaan daripada mulut yang suka bermain dengan andaian; kata orang sekarang - gosip. Liar pula tu sehingga Jamilah sendiri menjadi mangsa. Betapa tidak, setiap kali saya masuk kelas - dia seakan tidak selesa. Kenapa?
Rakan sekelas dok asyik menoleh kepadanya yang duduk di baris tepi nombor tiga dari depan - di tepi tingkap. Setiap mata yang beralih kepadanya pasti hala tumpuan seterusnya ialah kepada cikgu muda ini. Kesannya, saya pun selalu tersasar akibat tiada 'concentration'. Keadaan bisa menjadi lebih ketara.
"Aii... gapo, cikgu?" suara nakal yang mengusik. "Debar-debar dalam dada tu weh...."
Apa nak kata? Malu, tak juga - tapi sakit hati yang dok ada.
Kenapa masyarakat terlalu zalim terhadap kami? Mereka yang mencipta andaian kemudian ia dihebahkan tanpa tuan punya diri dapat membela diri. Jadi, apabila berpindah saya berasakan beban ketul batu besar yang menghempas di kepala telah dapat dielakkan. Memang saya akan tetap ke sekolah itu juga, tetapi sekurang-kurangnya dengan kesibukan masuk kelas dan pulang ke Kota Baru pada sebelah tengahari, banyak kelegaan yang dapat dirasakan.
Apa yang orang nak kata di belakang; lantak! Kesannya, hati ini serasa semakin renggang dengan sekolah dan penghuninya. Ia lebih menjurus kepada tugas semata-mata tanpa 'social obligation' yang mendesak. Itupun bukan dengan kehendak sendiri; masyarakat juga yang menetapkan. Jurusnya ke sana.
Saya termangu-mangu di luar sambil mengeluarkan beg hitam pakaian itu dari dalam kereta. Angkat dari atas sahaja sebab 'hood'nya memang tidak dipasang. Kami makan angin di sepanjang perjalanan sejauh 20 batu itu - macam mat saleh makan angin petang di tepi pantai. Hebat bagi guru Melayu yang memiliki sebuah kereta sport - MG pula tu warna hijau. Kemudian dalam 'porch' ada sebuah kereta Mini Cooper warna kuning air.
Ni bukan kereta MG... tapi bumbung terbuka juga.
Ada dua pemuda yang datang menjenguk ke beranda. Handsome siap dengan baju masuk ke dalam. Seorang dengan misai melintang macam Rahmat Kartolo, pelakon Indonesia yang terkenal itu. Seorang lagi sentiasa dengan muka manis berambut keriting serta jambul jarang-jarang.
"Err... sape tu?" kedengaran Fatah yang mengekori Azra'ei masuk ke dalam.
"Kawan kita orang... dari Sekolah Seri Gunung," jelas Azra'ei tanpa ambil endah.
"Sekolah rendah ke menengah?" Fatah bertanya lagi.
"Sekolah menengah...," jelas Azra'ei sambil menanggalkan bajunya lalu diletakkan di kerusi dekat meja makan. "Orang Gunung dok sibuk nak kenakan dia...."
"Macam kau la...."
"Haa... yang ni dah riuh satu kampung. Kami kat Jelawat pun dah tau... heboh!" jelas Azra'ei sambil duduk di kerusi meja makan itu. "Kalu dibiarkan mau dia ni kahwin jadi oroang Kelantan."
"Hoiii... kau biar betul!" Fatah masih tidak puas hati.
Saya ikut masuk ke dalam, meletakkan beg besar itu di ruang tamu sambil bersalam dengan mereka; Rahmat Kartolo itu adalah Fatah dari Batu Kurau, Perak. Kemudian diikuti Hassan Sulaiman, cikgu berambut keriting dari Teluk Intan dengan bibir yang sentiasa basah - senyum aje tanda tidak suka fikirkan masalah.
Di sebelah sana meja makan Shuhaili - siap dengan baju Arrow masuk ke dalam. Dia duduk makan roti dengan mentega walaupun jam sudah menunjukkan pukul 7.00 petang. Masing-masing siap bergaya untuk keluar. Makan agaknya.
"Kau duduk la mana-mana bilik yang kau suka," jelas Azra'ei kepada saya.
Kemudian jauh di hujung telinga kedengaran seakan-akan suara perempuan sedang bercakap sesama sendiri sambil bergurau dari dalam bilik - tak pasti pula dari bilik yang mana? Loghatnya, loghat orang tempatan. Saya tidak begitu ambil hirau, sebab itupun pengalaman baru juga. Sementelah, ia rumah orang - rumah kawan baru sesama bujang... atau suara yang kedengaran itu suara isteri mana-mana di antara mereka di situ.
Ada 'short interview' juga - Fatah bertanya, sementara Hassan tetap dengan lagak lawaknya cakap merapu... yang saya tidak faham buah butir percakapannya. Shuhaili tetap serius dengan menikmati roti menteganya itu. Samad sudah hilang ke dalam bilik - mandi.
"Kau tak mandi lagi?" Fatah bersuara - ditujukan kepada Azra'ei yang masih selesa berlenggeng; tayang body di meja makan. "Tu samad tengah mandi takkan aku nak masuk juga."
"Aiii... rumah ni kan ada dua bilik mandi...,' sahut Hassan dengan wajah kelakarnya. "Kau celup-celup aje buat macam P. Ramlee tu...."
"Satgi la... aku panas lagi ni. Bagi dia mandi dulu," tudingnya pada saya - menyeringai.
Kemudian keluar dari bilik belakang dua wanita muda penuh bergaya. Pipi sedikit merah siap dengan gincu di bibir. Mereka senyum sambil berlalu ke ruang tamu. Fatah, Hassan, Shuhali dan Azra'ei tidak berkata apa-apa. Biasa. Cuma saya saja yang agak tertanya-tanya; siapa mereka?
"Jom la... kita pekena," Hassan sudah tidak sabar.
"Nak pi mana malam ni?" Fatah bersuara.
"Tempat biasa la...," Shuhaili membuat kata putus.
Azra'ei sekadar mendengarkan.
"Takpe la... kita orang pegi dulu la... korang ikut la, kat tempat tu," sahut Hassan bagaikan kucing jatuh anak. Dia terus keluar bersama Shuhaili, kemudian diikuti oleh dua perempuan yang baru keluar dari dalam bilik belakang. Fatah pun ikut sama sambil menoleh kepada kami kemudian menyengih.
Hati di dalam masih tertanya-tanya. Siapakah mereka? Lawa dan bergaya juga.
Azra'ei terus bangun lalu mengangkat beg lalu diletakkan di bilik tengah.
"Ni bilik Samad... kau duduk dengan dia pun takpe," jelas Azra'ei lalu keluar menuju dapur. "Ada sorang lagi kawan, tapi err... dia jarang-jarang datang sini. Dia ada asrama; warden."
Aku sekadar mengangguk, sementara Samad masih lagi di dalam bilik air. Mandi sakan dia sambil nyanyi-nyanyi lagu 60an.
Apa pun saya cukup bersyukur dan berasa sungguh lega. Lepas satu bala.
No comments:
Post a Comment