Tuesday, 31 August 2010

Takde Perselisihan Antara Kaum Fuqaha & Sufi

Pada dasarnya, memang tidak ada apa-apa perselisihan antara kedua-dua golongan berkenaan. Hanya taksub dan sifat fanatik yang timbul di kalangan mereka sahaja yang sering mencetuskan api perselisihan. Khilaf yang timbul berpunca daripada corak dan cara mereka berfikir.

Contohnya, ahli tasauf menilai hukum dengan zauq (perasaan halus), mereka mengetahui akan sesuatu itu dengan mata hati bukan dengan mata zahir. Mereka menjadikan sifat taqwa dan taat akan Allah itu sebagai satu syarat mutlak untuk mendapatkan ilmu Rabbani. Sedangkan kaum fuqaha berkeras atas landasan ilmu-ilmu mereka yang zahir. Mereka jelas tidak mahu menerima takwil. Mereka hanya berpegang dengan nas-nas secara harfiah - sama seperti kebiasaaan di kalangan ulama-ulama sepanjang zaman.

Ahli sufi adalah seorang yang faqih dan memahami ilmu fiqh dan ilmu kalam

Perlu diingat, orang sufi sebelum dia menjadi sufi telah terlebih dahulu menjadi faqih - bahkan menjadi imam dalam pelbagai ilmu fiqh dan ilmu kalam. Akan tetapi tasauf telah memberikan pengetahuan yang lebih jernih dan zauk yang mendalam kepada jiwa mereka. Malah perasaan pancaindera mereka menjadi lebih sempurna.

Contohnya, syeikh-ul Islam Abu Zakaria Al-Ansari, seorang ulama faqih yang besar dalam bidang ini berkata; "Apabila orang faqih itu tidak mempunyai ilmu mengenai hal-ehwal kaum sufi dan istilah-istilah mereka maka dialah seorang faqih yang kering."

Dengan huraiannya sebagai sorang syeikh-ul yang amat faqih itu jelas menunjukkan bahawa hubungan di antara ahli-ahli tasauf dan fiqh teramat erat sekali. Malah hingga ada yang mengatakan; "Sesiapa yang melakukan tasauf sebelum dia mengerti syariat Islam dengan benar, maka dia menjadi zindiq; dan sesiapa pula yang mempelajari syariat Islam tanpa melakukan tasauf maka dia bakal menjadi fasiq."

Hikmat ini merupakan timbangan yang teramat halus. Orang sufi, apabila tidak mempunyai pengertian (tidak faham apa-apa) yang cukup kuat dan mendalam dalam bidang fiqh, dia tidak akan sampai ke mertabat memperoleh kasyaf hati dan tidak akan beroleh hidayah - dengan mengetahui mana yang benar dan mana yang batil dan palsu?

Ia akan membawa kepada kepada suatu lapangan sombong besar. Demikian halnya dengan seseorang yang faqih, sedang ilmunya tidak digilap oleh ilmu yang benar dan imannya yang benar tidak dilembutkan oleh taqwa yang sungguh-sungguh, kemudian dilatih dan dihalusi oleh sifat-sifat wara'; dan percayalah dia akan dirundung dengan pelbagai bentuk dan corak hawa-nafsu.

Dan roh keikhlasannya pun beterbangan.

Sunday, 22 August 2010

En-Route KL-London: Satu Perjalanan

1.0 TUJUAN KERTAS KERJA


1.1 Wacana Konsep dan Tujuan

Pemanduan solo menaja keamanan ini bertujuan untuk mengajak manusia kepada dunia tanpa sengketa dan pertembungan idea. Dunia telah pun mengalami saat parah kesan dua Perang Dunia. Ia diikuti oleh keganasan yang tidak berkesudahan hasil pendudukan haram Yahudi di Palestin. Kemudian pedih luka itu ditambah dengan Perang Balkan di mana cubaan penghapusan etnik secara terancang dilakukan oleh puak Serb terhadap orang-orang Islam Bosnia.

Demikian halnya dengan apa yang berlaku di Somalia, apabila suara demokrasi dan majoriti rakyatnya dinafikan oleh campurtangan luar. Malah sengketa Darfur masih jauh tersasar dan terus menempuh jalan buntu hasil campurtangan luar; Sudan pula terus menjadi bahan belasahan pihak Barat. Malah kita tidak harus lupa bagaimana nasib etnik Uighur di Xinjiang, China yang masih dinafikan hak mereka dengan penghijrahan besar-besaran etnik Han ke sana dengan restu pemerintah. Ketika dunia sibuk dengan perang Iraq, puluhan ribu etnik Uighur terkorban dalam kekacauan yang konon mereka timbulkan!



2.0 PROGRAM KLenROUTE

2.1 Misi Keamanan

Pemanduan solo KLenRoute ini membawa mesej yang cukup bermakna bagi setiap mereka yang cintakan keamanan dan kedamaian. Namun ia tidak akan sampai ke mana jika tanpa sokongan dan dokongan mana-mana pihak, terutama kerajaan, kalangan rakyat yang prihatin di kalangan generasi pelapis - pelajar dan pihak swasta.

Perlu diingat, program seperti ini melibatkan perbelanjaan yang besar; atas jajaran motif yang juga besar. Kos bagi segala keperluan asas (seperti kenderaan dan alat perhubungan), kos membiayai perjalanan serta pasukan pengawas di tanah air bukan sedikit. Jumlahnya besar; apatah pula jika diambil kira program ini turut terlibat dengan penyampaian sumbangan kepada kelompok sasaran - kepada mereka yang masih bergelut dengan rasa hampa dan kecewa dari aspek keamanan sejagat. Bantuan kepada mangsa konflik dan sengketa di laluan berkenaan.

Jadi, kita amat berharap agar usaha ini dapat diberikan perhatian serius oleh semua pihak berkenaan (yang cintakan keamanan dan kedamaian).


3.0 OBJEKTIF PROGRAM

Walaupun laluan KLenRoute menempuh beberapa daerah bergolak, konflik dan sengketa, namun ia bukan satu masalah besar bagi warga Malaysia. Sejarah telah lama menjadi bukti. Ini dikuatkan lagi dengan corak pemanduan yang dibuat secara solo tanpa apa-apa bantuan pasukan sokongan. Tiada teman di jalanan. Saudara Faizal Shamshudin, bekas pelumba dan tokoh rali yang tidak asing lagi serta ahli 'stunt' terkemuka tanah air itu hanya akan diawasi dari pusat kawalan KLenRoute di Kuala Lumpur dan di beberapa buah pusat pengajian tinggi yang terlibat. Ini menunjukkan azam yang cukup tinggi demi keamanan daripada seorang warga tanpa mengambil kira keselamatan dan kepentingan dirinya sendiri.

Itulah mesej yang sebenar; bahawa di mana-mana pun bahagian dunia ini hendaklah semuanya bebas dari sengketa. Pertelagahan dielak dan dijauhkan. Hanya dengan cara itu barulah manusia akan berasa terjamin dan selesa untuk bergerak ke mana-mana ceruk dunia tanpa rasa bimbang dan terancam.

Mesej keamanan yang diura-urakan ini bertujuan;

i) Membuktikan bahawa rakyat Malaysia berupaya melakukan apa saja serta mempunyai sikap membantu dan menolong masyarakat dunia dalam menghadapi apa jua masalah kemanusiaan dunia sejagat.

ii) Membuktikan dan mempamerkan semangat 1MALAYSIA serta memupuk semangat membantu tanpa mengira penat-lelahnya; apabila negara pernah memainkan peranan dalam kes di selatan Filipina, selatan Thailand malah ketika dunia di sebelah sini ditimpa bencana tsunami.

iii) Menarik perhatian dunia dan publisiti kepada Negara semasa menempuh perjalanan KLenRoute ROAD TO GAZA

iv) Mengutip tanda tangan rakyat Malaysia dan dunia yang cintakan keamanan untuk disampaikan kepada kerajaan British biar diperpanjangkan kepada Presiden Barrack Obama. Sementara dari satu segmen, sebahagian tandatangan yang lain pula akan di serahkan kepada Ahli Parlimen Jerman yang akan menyampaikannya kepada penduduk Gaza di Palestin.

v) Ketika dalam perjalanan Sdra Faizal akan sedaya-upaya membantu penduduk di kawasan-kawasan konflik dan masih bergolak seperti di Kyrgystan. Beliau juga akan ke negara lepas perang - di Bosnia, Croatia dan Serbia untuk melaporkan kesan tinggalan perang yang telah memakan sebegitu banyak korban. Paling utama ialah dari segi perubahan minda dan sikap rakyatnya.

vi) Pada masa yang sama, selain pihak kerajaan - team ini juga inginkan kerjasama di pihak kerajaan negeri juga. Laluan pemanduan akan melintasi 28 buah negara; jadi kita mengharapkan satu nota keamanan dan ole-ole dapat dihulurkan oleh pihak kerajaan negeri sebagai tanda muhibbah kepada negara-negara berkenaan. Dengannya hubungan dua hala yang akrab dapat dijalinkan.


4.0 LATAR BELAKANG BANTUAN KEMANUSIAAN SEJAGAT

Kempen mencintai KEADILAN DAN KESEJAHTERAAN KEMANUSIAAN melalui pungutan sumbangan derma dan penajaan telah banyak dilaksanakan oleh banyak pihak. Namun kali ini, ia akan dipastikan sampai ke tangan mereka yang berkenaan di sana; penduduk Gaza, umpamanya.

Keperluan kepada naskah-naskah agama juga nampak ketara untuk penduduk Islam di sepanjang perjalanan LALUAN SUTERA yang terkenal itu. Ada beberapa acara di Chengdu, malah satu acara khas akan mengambil tempat di Turpan nanti.

4.1 Penganjur dan Pelaksana Program

Program ini adalah hasil cetusan idea oleh Saudara Faizal . Idea ini terbit dari keprihatinan yang amat tinggi dan terpanggil untuk menyumbang dan membantu meringankan penderitaan sebahagian kelompok rakyat Dunia. Itulah mereka yang telah sekian lama menderita dan tidak dipedulikan.

Pengalaman Saudara Faizal sebagai pemandu sukan lumba kereta, rali dan stunt sejak lama akan cuba beralih arah dalam menaja keamanan sejagat bagi perlaksanaan Program Pemanduan Solo – KL-Enroute ROAD TO GAZA.

4.2 Spesifikasi Program Panduan Solo KL-Enroute

Majlis Pelancaran : Sept 2010

Titik Permulaan : 11,Dec 2010 Kuala Lumpur

Titik Destinasi : 11 Feb 2011 Kota London

Tamat Perjalanan : 12 Mac 2011 Rafah

Jarak Keseluruhan : 31,000 km

Negara Yang Dilalui : 28 Negara

Jenis Kenderaan Digunakan : Pacuan 4 roda


5.0 PELAKSANAAN PROJEK

5.1 Road show ke seluruh negara Malaysia untuk mengutip tanda tangan oleh pelajar institusi pengajian tinggi dan pihak swasta.

5.2 Tahap-tahap perjalanan KL-Enroute ROAD TO GAZA - bermula Di Putrajaya, Thailand, Laos, China, Kyrgyzstan, Tajikistan, Uzbekistan, Turmenistan, Iran, Turki, Syria, Bulgaria, Serbia, Bosnia Hazergovina, Croatia, Slovenia, Austria, Jerman, Belanda, United Kingdom, Prancis, Spanyol, Magribi, Algeria, Tunisia, Libya, Mesir Dan Gaza, Palestin.

5.3 Mengutip dana melalui sms, millage sale, media dan disalurkan terus kepada tabung-tabung kemanusiaan yang sedia ada seperti;

a. Tabung NSTP

b. TV3

c. Viva Palestina

dan banyak lagi,

  
6.0 JADUAL PERLAKSANAAN

6.1 Persediaan kenderaan dan Pemandu serta Lojistik- Bermula 1 Sept 2010

6.2 Pencarian Penaja/Dana Sumbangan- 15 Ogos 2010

6.3 Road show Seluruh Malaysia- 1 Oktober 2010

6.4 Perjalanan KL-enRoute- ROAD TO GAZA

Sila rujuk Lampiran A( KLenroute Shedule)

 
7.0 JADUAL PERJALANAN

Kempen kesedaran dan tanda tangan

Jelajah ke seluruh negara akan dibuat mulai 16 Sept 2010. Dan pelancaran program ini bersekali dengan perayaan Hari Malaysia oleh YAB Perdana Menteri. Selepas itu 'jelajah negara (road-show) pun bermula.

7.2 Penglibatan kementerian berkenaan –Jabatan Perdana Menteri, Wisma Putra, Kem. Pelancongan, Kem. Penerangan Dan Komunikasi, Kem Belia dan Sukan, Kem.Pengajian Tinggi,

7.3 Penglibatan oleh kerajaan-kerajaan negeri dalam penyerahan 'Nota Keamanan' dan jalinan kerjasama dan hubungan dua hala antara kerajaan negeri di Malaysia dengan negara-negara di laluan utama.

7.4 Penglibatan pihak media TV3 dan NSTP bagi memberitahu seluruh rakyat Malaysia tentang progress perjalanan dan keadaan destinasi yang dilalui.

7.5 Penglibatan Intitusi pengajian tinggi bagi memantau secara langsung perjalanan KL-enRoute dari bilik-bilik gerakan yang akan di buka disetiap institusi pengajian tinggi yang terlibat bagi menambah pengetahuan dalam system satelit tracking.

 
8.0 KOS/PEMBIAYAAN PROGRAM

8.1 Kos Perjalanan KL-London - RM600,000.00

2. Kos Kempen kesedaran jelajah negara - RM150,000.00

3. Kos Program – RM120,000.00

4. Kos Penyediaan Kenderaan – RM 175,000.00

 
9.0 PEMBIAYAAN KOS

Kos program en-Route KL-London ini dicadangkan dibiayai melalui dua cara berikut;

9.1 Tajaan Kerajaan Malaysia

Adalah amat diharapkan agar pihak kementerian dapat mempertimbangkan pemberian tajaan untuk projek ini.

9.2 Penajaan dari sector koprat,

Penajaan melalui tempahan iklan yang diusahakan ketika Jelajah Negara agar dapat memberikan pulangan kepada sekelian penaja yang berminat.

Package yang disediakan adalah seperti di Lampiran .

9.3 Kempen Kutipan Derma RM1.0 /RM10.00 satu kilometer

Misi perjalanan ini bakal berhadapan dengan ketidak-tentuan nasib yang akan menimpa. Ia akan melibatkan seluruh rakyat Malaysia, maka dengan itu rakyat diberi peluang untuk menyumbang derma ketika perjalanan itu. Kita perlukan 500 ribu warga Malaysia untuk mengisi dan meraih kempen derma RM1.00 setiap orang. 


9.4 Kempen Pungutan Tandatangan

Kempen pungutan tandatangan di negeri-negeri bakal dipergiatkan dalam tempoh terdekat. Misi kiriman sumbangan derma untuk bakal negara terlibat dilancarkan di setiap negeri dalam Malaysia.

 
10.0 ACARA LALUAN DAN DESTINASI TERAKHIR

10.1 Acara-acara di laluan

Turpan- Sumbangan 500 naskah Al Quran

Serbia, Bosnia Herzegovina, Croatia- Tinggalan Negara bekas perang

Frankfurt - serah mesej kepada Ahli Parlimen Jerman yang menyumbang untuk pembelian kapal MV Marmara

London- Penyerahan tandatangan rakyat Malaysia dan seluruh perjalanan KLenroute kepada Perdana Menteri Britain untuk di lanjutkan kepada Presiden Amarika Syarikat,

Rafah- Membantu rakyat Gaza yang memerlukan,,

 
KESIMPULAN

Program ini adalah diharap dapat memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan ke-53 pada tahun ini. Semoga Program ini dapat menyumbang kepada proses pembangunan jatidiri rakyat Malaysia amnya serta dapat menyedarkan dan menyematkan semangat patriotik ke dalam hati setiap warganya.

Dengan jadual perlaksanaan yang telah ditetapkan dan promosi besar-besaran oleh pihak media, program ini dijangka akan dapat menarik perhatian pelancong dalam negeri atau dari luar Negara. Aktiviti pelancongan, salah satu penyumbang penting kepada sumber ekonomi negara perlu terus dibangunkan bagi memastikan negara akan terus mendapat manfaat daripadanya. Di samping mencatat sejarah, ia juga akan dapat menanamkan semangat patriotik dan cintakan negara Malaysia seluruhnya.

Akhir kata adalah diharapkan agar program ini mendapat sokongan dari semua pihak termasuk daripada negeri-negeri dalam Malaysia DAN paling utama penglibatan pihak swasta dan institusi pengajian tinggi - awam dan swasta juga.


Wanita Cina di Yunnan
Nota:  Program ini memang melibatkan kerajaan di mana kemudahan dan hubungan diplomatik ketika berada di luar negara, terutama di kawasan yang masih dilanda konflik. Penyaluran dana dan tajaan juga melibatkan kerajaan dan GLC, pihak swasta serta tokoh-tokoh korporat.


Namun kita cuba berlaku adil di mana negeri-negeri PR juga dijemput untuk sama berhubung dengan negara-negara di laluan; selain daripada tujuan pelancongan, ia termasuk hubungan dua-hala. Jadi, ada mesej, nota muhibbah dan oleh-ole dari kesemua negeri di negara ini.

Akan ada Menteri Besar atau Ketua Menteri yang akan menyambut ketibaan 'duta kecil keamanan' ini di negara-negara tertentu - bagi penyampaian sumbangan/hadiah berupa naskah al-Quran atau berlangsung satu program angkat di sana.

Friday, 13 August 2010

Zahir dan Batin @ Syariat dan Hakikat-2

An-Nasai telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Al-Harith bin Hatib berkenaan dengan peristiwa seorang pencuri yang dibawa ke hadapan baginda Rasulullah.

"Bunuhlah akan dia," perintah Nabi.

Apabila mendengar demikian, para sahabat lalu berkata kepada baginda Rasulullah, "Ya Rasulullah, dia hanya mencuri."

Jawab baginda lagi, "Bunuh akan dia."

Maka sahabat-sahabat mengulanginya, "Dia hanya mencuri, ya Rasulullah."

Lalu berkata Nabi, "Potonglah akan tangannya."

Dan tangan pencuri itu dipotong oleh para sahabat.

Kemudian tidak lama kemudian, pencuri itu mencuri lagi, lalu dipotong kakinya.

Apabila tiba ke zaman Abu Bakar, si pencuri itu masih juga mencuri maka dipotonglah kakinya yang terakhir. Kemudian dia mencuri lagi buat kali yang kelima.

"Yeah... Rasulullah telah lebih mengetahui akan orang ini, maka dengan sebab itu baginda perintahkan agar orang itu dibunuh," jelas Abu Bakar. Dia pun menyerahkan tugas itu kepada beberapa orang pemuda Quraisy lalu si pencuri itupun dibunuh.

Jadi, jika dilihat hukum yang pertama itu adalah hukum batin sebagai tanda di mana baginda diberikan Allah ilmu batini. Namun oleh kerana para sahabat meminta agar tidak dikenakan hukum ilmu batinnya, Rasulullah tidak pula memberitahu apa yang telah diketahuinya kepada sahabat. Sedangkan baginda tahu bahawa si pencuri itu akan terus mencuri sehingga dia dibunuh kerana mencuri.

Dasar ilmu ini ada disebut dalam Surah An-Nisa': 58 yang bermaksud;
"Sesungguhnya Allah menyuruhmu supaya kamu membayarkan amanat kepada yang empunya, dan apabila kamu menghukum antara manusia, hendaklah kamu hukum dengan keadilan. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik mengajar kepada kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Ia menujukkan bahawa di kalangan sahabat itu yang yang memiliki ilmu batini yang dikurniakan Allah. Mereka menghukum dengan hukuman yang sebenarnya.

Ilmu yang diistinbatkan seperti yang disebut dalam ayat berkenaan menurut istilah orang-orang sufi, itulah ilmu batin - yang disebut sebagai Nur yang menerangi hati; yang dapat diterima sekelian anggota dengan senang dan tenang serta menambahkan keyakinan.

Abu Yazid Al-Bistami berkata kepada ulama-ulama di zamannya, "Tuan-tuan mengambil ilmu dari ulama rasmi, orang mati dari orang mati; kami mengambil ilmu kami dari Yang Hidup dan tidak akan mati."

Demikian juga dengan Muhyiddin Ibnu Arabi, seorang ketua kepada imam-imam sufi yang besar. Dia pernah menulis kepada Imam Fakhrul Razi, penafsir besar yang terkenal, "Lelaki itu belum menjadi sempurna pada kami dalam darjat ilmu sampai ilmu itu diperolehinya dari Allah azza-wajalla tanpa perantaraan  naqal atau syeikh."

Kata orang-orang sufi, "Nikmat yang lahir, misalnya taat, nikmat yang batin iaitu gerak hati dan kasyaf batin." Ulama-ulama yang 'abid - mereka itu adalah pewaris Nabi. Apa yang diwarisi itu bukan harta-benda, tetapi ilmu dan kasyafnya, limpahan-limpahan ilham Tuhan kepadanya."

Orang-orang sufi tidak pernah mengatakan bahawa walaupun mereka mendapat gerak hati, kasyaf ruhani tidak pula pernah mematikan (tidak melaksanakan) sesuatu had daripada patukan yang dihadkan Allah atau menyalahi sesuatu hukum syariat. Apa yang dikatakan oleh ulama tasauf, ibadat dan kebersihan jiwa, kedua-duanya sejalan secara syariat Islam untuk membukakan pelbagai hakikat ilmiah, dan dua jalan secara syariat untuk mengetahui hal-hal yang ghaib atau mengetahui sebahagian hal yang ghaib, dengan ketentuan yang semuanya tidak akan bertentangan dengan hukum syariat Islam yang zahir.

Imam Al-Ghazali ada menulis dalam kitabnya, 'Bidayatul Hidayah' (permulaan hidayah), sebagai menceritakan berita jiwanya: "Saya telah memerhatikan diri saya sendiri. Saya melihat ada banyak sekali hijab dalam diri. Lalu saya masuk kahlwat dan melakukan latihan-latihan ruhani dengan mujahadah selama 40 hari. Maka terbukalah bagi saya sebahagian daripada ilmu yang belum pernah saya ada pada saya dengan lebih bersih dan jernih daripada yang pernah saya kenal. Saya lihat dalam pengetahuan yang baru itu terdapat kekuatan fiqiyah (memahami agama). Lalu saya kembali lagi berkhalwat dan melakukan ibadat dengan segala kesanggupan selama 40 hari pula.

Maka terbuka kepada saya ilmu yang lain pula - lebih jernih dan lebih bersih daripada yang pernah saya terima pada khalwat yang pertama. Maka saya pun berasa cukup senang hati. Saya dapati dalam khalwat yang kedua, ilmu lain iaitu kekuatan fikiran dan tilikan. Kemudian saya berkhalwat sekali lagi 40 hari lalu terbuka bagi saya ilmu lain yang lebih jernih dan lebih bersih daripada yang sudah-sudah. Saya dapati dalam ilmu ini, terdapat kekuatan yang bercampur dengan ilmu, sedangkan pada waktu itu saya belum pun berhubungan dengan ahli-ahli ilmu Ladunyah.

Kata mereka, "Menulis di atas bekas hapusan tidaklah sama dengan menulis di atas kertas yang suci dan bersih."

Inilah apa yang difirmankan Allah, Surah Al-Hadid: 28;
"Hai orang-orang yang beriman (di antara ahli kitab), takutlah kepada Allah dan berimanlah kepada rasulNya (Muhammad), nanti Dia memberikan kepadamu dua bahagian dari rahmat-Nya, dan mengadakan untukmu cahaya, sehingga dapat kamu berjalan padanya, dan Dia mengampunimu, dan Allah Pengampun lagi Penyayang."

Apakah erti DUA bahagian dari rahmat Allah itu? Inilah yang ditujui oleh orang-orang sufi.

Saturday, 7 August 2010

Di Rantauan 12: Kawan Orang Bujang

Puas juga berbelok-belok jalannya untuk masuk ke kawasan perumahan itu. Letaknya di jalan menuju ke Macang berdekatan dengan Ketereh. Ia sebuah kawasan perumahan yang boleh dikira sebagai masih baru. Pokok-pokok yang ditanam pun masih sebesar betis - ada pokok mangga dan rambutan juga.

Dalam hati itu, saya berasa teramat lega walaupun masih belum diketahui keadaan di tempat baru itu. Apa yang penting saya dapat keluar daripada 'neraka' ciptaan daripada mulut yang suka bermain dengan andaian; kata orang sekarang - gosip. Liar pula tu sehingga Jamilah sendiri menjadi mangsa. Betapa tidak, setiap kali saya masuk kelas - dia seakan tidak selesa. Kenapa?

Rakan sekelas dok asyik menoleh kepadanya yang duduk di baris tepi nombor tiga dari depan - di tepi tingkap. Setiap mata yang beralih kepadanya pasti hala tumpuan seterusnya ialah kepada cikgu muda ini. Kesannya, saya pun selalu tersasar akibat tiada 'concentration'. Keadaan bisa menjadi lebih ketara.

"Aii... gapo, cikgu?" suara nakal yang mengusik. "Debar-debar dalam dada tu weh...."

Apa nak kata? Malu, tak juga - tapi sakit hati yang dok ada.

Kenapa masyarakat terlalu zalim terhadap kami? Mereka yang mencipta andaian kemudian ia dihebahkan tanpa tuan punya diri dapat membela diri. Jadi, apabila berpindah saya berasakan beban ketul batu besar yang menghempas di kepala telah dapat dielakkan. Memang saya akan tetap ke sekolah itu juga, tetapi sekurang-kurangnya dengan kesibukan masuk kelas dan pulang ke Kota Baru pada sebelah tengahari, banyak kelegaan yang dapat dirasakan.

Apa yang orang nak kata di belakang; lantak! Kesannya, hati ini serasa semakin renggang dengan sekolah dan penghuninya. Ia lebih menjurus kepada tugas semata-mata tanpa 'social obligation' yang mendesak. Itupun bukan dengan kehendak sendiri; masyarakat juga yang menetapkan. Jurusnya ke sana.

Saya termangu-mangu di luar sambil mengeluarkan beg hitam pakaian itu dari dalam kereta. Angkat dari atas sahaja sebab 'hood'nya memang tidak dipasang. Kami makan angin di sepanjang perjalanan sejauh 20 batu itu - macam mat saleh makan angin petang di tepi pantai. Hebat bagi guru Melayu yang memiliki sebuah kereta sport - MG pula tu warna hijau. Kemudian dalam 'porch' ada sebuah kereta Mini Cooper warna kuning air.

Ni bukan kereta MG... tapi bumbung terbuka juga.

Ada dua pemuda yang datang menjenguk ke beranda. Handsome siap dengan baju masuk ke dalam. Seorang dengan misai melintang macam Rahmat Kartolo, pelakon Indonesia yang terkenal itu. Seorang  lagi sentiasa dengan muka manis berambut keriting serta jambul jarang-jarang.

"Err... sape tu?" kedengaran Fatah yang mengekori Azra'ei masuk ke dalam.

"Kawan kita orang... dari Sekolah Seri Gunung," jelas Azra'ei tanpa ambil endah.

"Sekolah rendah ke menengah?" Fatah bertanya lagi.

"Sekolah menengah...," jelas Azra'ei sambil menanggalkan bajunya lalu diletakkan di kerusi dekat meja makan. "Orang Gunung dok sibuk nak kenakan dia...."

"Macam kau la...."

"Haa... yang ni dah riuh satu kampung. Kami kat Jelawat pun dah tau... heboh!" jelas Azra'ei sambil duduk di kerusi meja makan itu. "Kalu dibiarkan mau dia ni kahwin jadi oroang Kelantan."

"Hoiii... kau biar betul!" Fatah masih tidak puas hati.

Saya ikut masuk ke dalam, meletakkan beg besar itu di ruang tamu sambil bersalam dengan mereka; Rahmat Kartolo itu adalah Fatah dari Batu Kurau, Perak. Kemudian diikuti Hassan Sulaiman, cikgu berambut keriting dari Teluk Intan dengan bibir yang sentiasa basah - senyum aje tanda tidak suka fikirkan masalah.

Di sebelah sana meja makan Shuhaili - siap dengan baju Arrow masuk ke dalam. Dia duduk makan roti dengan mentega walaupun jam sudah menunjukkan pukul 7.00 petang. Masing-masing siap bergaya untuk keluar. Makan agaknya.

"Kau duduk la mana-mana bilik yang kau suka," jelas Azra'ei kepada saya.

Kemudian jauh di hujung telinga kedengaran seakan-akan suara perempuan sedang bercakap sesama sendiri sambil bergurau dari dalam bilik - tak pasti pula dari bilik yang mana? Loghatnya, loghat orang tempatan. Saya tidak begitu ambil hirau, sebab itupun pengalaman baru juga. Sementelah, ia rumah orang - rumah kawan baru sesama bujang... atau suara yang kedengaran itu suara isteri mana-mana di antara mereka di situ.

Ada 'short interview' juga - Fatah bertanya, sementara Hassan tetap dengan lagak lawaknya cakap merapu... yang saya tidak faham buah butir percakapannya. Shuhaili tetap serius dengan menikmati roti menteganya itu. Samad sudah hilang ke dalam bilik - mandi.

"Kau tak mandi lagi?" Fatah bersuara - ditujukan kepada Azra'ei yang masih selesa berlenggeng; tayang body di meja makan. "Tu samad tengah mandi takkan aku nak masuk juga."

"Aiii... rumah ni kan ada dua bilik mandi...,' sahut Hassan dengan wajah kelakarnya. "Kau celup-celup aje buat macam P. Ramlee tu...."

"Satgi la... aku panas lagi ni. Bagi dia mandi dulu," tudingnya pada saya - menyeringai.

Kemudian keluar dari bilik belakang dua wanita muda penuh bergaya. Pipi sedikit merah siap dengan gincu di bibir. Mereka senyum sambil berlalu ke ruang tamu. Fatah, Hassan, Shuhali dan Azra'ei tidak berkata apa-apa. Biasa. Cuma saya saja yang agak tertanya-tanya; siapa mereka?

"Jom la... kita pekena," Hassan sudah tidak sabar.

"Nak pi mana malam ni?" Fatah bersuara.

"Tempat biasa la...," Shuhaili membuat kata putus.

Azra'ei sekadar mendengarkan.

"Takpe la... kita orang pegi dulu la... korang ikut la, kat tempat tu," sahut Hassan bagaikan kucing jatuh anak. Dia terus keluar bersama Shuhaili, kemudian diikuti oleh dua perempuan yang baru keluar dari dalam bilik belakang. Fatah pun ikut sama sambil menoleh kepada kami kemudian menyengih.

Hati di dalam masih tertanya-tanya. Siapakah mereka? Lawa dan bergaya juga.

Azra'ei terus bangun lalu mengangkat beg lalu diletakkan di bilik tengah.

"Ni bilik Samad... kau duduk dengan dia pun takpe," jelas Azra'ei lalu keluar menuju dapur. "Ada sorang lagi kawan, tapi err... dia jarang-jarang datang sini. Dia ada asrama; warden."

Aku sekadar mengangguk, sementara Samad masih lagi di dalam bilik air. Mandi sakan dia sambil nyanyi-nyanyi lagu 60an.

Apa pun saya cukup bersyukur dan berasa sungguh lega. Lepas satu bala.