Saturday 17 July 2010

Tariqat: Memelihara Solat 5 Waktu & Zikir

Setiap orang yang memilih jalan tariqat, hendaklah mengambil berat dalam urusan sembahyang 5 waktu dengan menyempurnakan berdirinya, bacaannya, khusyu'nya, ruku'nya, sujudnya dan seterusnya terhadap kesemua rukun dan sunat-sunatnya.

Sempurnakan berdiri, bacaan, ruku' dan sujudnya

Tiada hati yang lalai, atau lena dalam awang-awangan

Malah sebelumnya lagi hendaklah diingat bersungguh-sungguh dalam hati bahawa kita akan berhadapan dengan Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Agung. Maka jangan sekali-kali kita bermunajat kepada Raja kepada sekelian raja dan Pembesar kepada sekelian pembesar dengan hati yang lalai, lena dalam awang-awang, kealpaan dan was-was; menerawang dalam lapangan angan-angan dengan fikiran terarah kepada hal-hal keduniaan yang tidak memberi faedah. Kelak kita akan dimurkai oleh Allah swt dan dihalau dari pintu menuju kepada-Nya.

Baginda Rasulullah saw ada bersabda;
"Apabila seseorang hamba berdiri untuk menunaikan solatnya, maka Allah Taala akan memerhatikan gerak-gerinya. Apabila sang hamba menoleh ke belakang, Allah Taala akan berkata kepadanya; Hai anak Adam! Engkau telah menoleh kepada siapa yang lebih baik lagi bagi kamu daripada-Ku? Jika dia menoleh lagi, Allah Taala akan berkata sekali lagi seperti yang tersebut itu. Jika dia menoleh lagi buat kali yang ketiga, maka Allah Taala akan memalingkan perhatian-Nya daripada orang itu."

Kalau orang yang menoleh itu dengan wajahnya yang lahir sahaja, maka Allah Taala telah memalingkan perhatian daripadanya, apatah lagi jika sang hamba itu memalingkan hatinya di dalam sembahyang kepada urusan keduniaan dan keindahannya, maka tentulah lebih besar lagi Allah Taala tidak mungkin melihat kepada tubuh badan manusia. Dia tidak menilai akan perkara lahir, tetapi pada hati manusia dan batinnya.

Roh Ibadat

Perlu diingat, roh kepada semua ibadat dan maksudnya ialah dengan menghadirkan diri di hadrat Allah swt. Sesiapa yang mengerjakan ibadatnya kosong daripada kehadiran hati, jiwa dan perasaannya maka ibadat itu sesia dan tidak berguna. Ia seumpama hampas. Malah ia boleh diandaikan keadaan seperti itu seolah-olah menghadiahkan kepada seorang Maharaja dengan seorang khadam jahat dan perosak. Ataupun hadiahnya cuma berupa sebuah peti yang kosong.

Jadi, patut atau tidak jika orang-orang seperti ini mendapat siksa dan diberikan balasan terhdap hadiah main-mainnya itu? Pastinya memang patut.

Melazimkan Jumaat dan Jemaah

Perlu juga diingat, setiap orang yang melalui jalan ini tidak akan sama sekali meninggalkan sembahyang Jumaat dan mengabaikan sembahyang secara berjemaah. Tindakan mengabaikannya adalah adat dan kebiasaan bagi orang-orang yang cuai. Ia adalah tanda bagi seseorang yang bodoh dan jahil.

Seterusnya, kita hendaklah memelihara sekelian kerja yang sunat - rawatib, sebelum dan sesudah sembahyang fardu itu. Maka hendaklah ditunaikan juga sembahyang witir dan dhuha. Jangan lupa pula mengisikan masa senggang di antara sembahyang maghrib dan isya itu dengan ibadat.

Seterusnya, jangan diabaikan waktu selepas subuh hingga ke terbit matahari serta masa sesudah asar hingga ke terbenam matahari. Kedua-dua masa ini adalah masa yang mulia, di mana pelbagai kurnia akan dicurahkan oleh Allah ke atas hamba-hamba-Nya yang menujukan permohonan.

Mengisi masa selepas subuh dengan ibadat, akan membawa rezeki untuk anggota zahir, iaitu makan-minum. Manakala mengisi masa selepas asar, khususnya akan membawa kepada rezeki untuk anggota batin - iaitu makanan rohani untuk hati. Perbuatan ini telah dicuba lakukan oleh mereka yang memiliki pandangan batin dari kalangan para arif yang berkedudukan tinggi di sisi Allah swt.

Dalam sebuah hadis ada diriwayatkan bahawa sesiapa yang terus duduk di tempat sembahyangnya dengan berzikir kepada Allah swt selepas sembahyang subuh, adalah lebih terjamin mendapat rezeki berbanding daripada orang yang pergi belayar di perantauan kerana mencari rezeki.

Peranan Zikir

Berzikir di setiap kesempatan, tanpa mengira waktu dan tempat

Perkara utama bagi mereka yang ingin menuju ke jalan Allah, sesudah mengerjakan segala perintah dan meninggalkan larangan, ialah dengan berzikir kepada Allah swt. Setiap orang yang memilih jalan ini perlu berzikir kepada Allah swt dengan lisan dan bersekali dengan hati pada setiap kesempatan yang munasabah, pada setiap waktu dan tempat.

Nota:  Perbuatan ini yang paling tidak disenangi oleh puak-puak Wahabi-salafi yang dicap sebagai bid'ah!

Zikir yang terkumpul di dalamnya segala maksud zikir dan tujuan-tujuannya yang lahir atau batin ialah sebutan Laa Ilaaha Illallaah (tiada yang nyata melainkan Allah). Zikir inilah yang wajib dilazimkan oleh orang-orang permulaan yang menuju ke jalan Allah, dan yang wajib kembali kepadanya oleh orang-orang yang yang telah pun sampai ke kemuncak ma'rifatullah.

Sesiapa yang ingin merasakan sesuatu rahsia dari rahsia-rahsia tariqat dan disingkap tabir baginya dengan sesuatu cahaya nur hakikat, maka hendaklah dia melazimkan diri dengan berzikir kepada Allah swt dengan hati yang hadir, penuh adab dan tertib, dengan tujuan yang benar serta tawajjuh (menghadapkan diri) dengan penuh khusyu' dan khudu'

Apabila kesemua sifat ini telah terkumpul pada diri seseorang itu di kala dia berzikir, maka mudahlah baginya untuk tersingkap al-Malakut al-A'la, iaitu kerajaan Allah Yang Maha Tinggi, dan rohnya akan mencapai ke kemuncak Haqaaiq al-'Alaam al-Asyfa (iaitu hakikat alam yang suci). Di mana mata hatinya akan melihat dengan jelas segala al-Jamaal al-Aqdas al-Asmaa (iaitu kecantikan suci yang maha tinggi).

Perlu diingat, tingkat-tingkat ini cuma dapat diperoleh melalui zikir. Bagi mereka yang anti dengan zikir, lahirlah mereka sebagai orang miskin papa-kedana di sisi Allah swt baik di dunia ini ataupun di akhirat nanti. Malah ada yang boleh mencapai ke peringkat bebal dan sombong dengan Allah kerana enggan membesarkan-Nya layak bagi-Nya sebagai Khaliq, Pencipta.

No comments:

Post a Comment