Monday 19 July 2010

Dasar-dasar Tariqat Tasauf

Seorang ulama besar tasauf, Sahl at-Tasatturi berkata; Dasar-dasar tariqat kami ada 7:
-  Berpegang dengan kitab al-Quran;
-  Mengikut sunnah Nabi Muhammad saw;
-  Makan hasil yang halal;
-  Menahan diri daripada menyakiti orang;
-  Menjauhi sekelian maksiat;
-  Menetapkan diri dengan taubat; dan
-  Menunaikan sekelian hak.

Inilah dasar tasauf yang sebenar. Jika ada sesiapa yang menyeleweng walaupun sekelumit daripada dasar-dasar ini, bererti mereka telah jauh menyimpang daripada tasauf. Apabila menyimpang daripada tasauf bererti mereka telah meninggalkan iman.

Imam al-Ghazali telah menghuraikan tujuan ahli-ahli tasauf;

"Ketahuilah bahawa orang yang menempuh jalan Allah itu amat sedikit sekali. Tetapi kalangan yang mengaku demikian teramatlah banyak. Ada dua alamat penting yang dapat dilihat tentang bidang ini; Hendaklah sekelian perbuatan yang mendasari gerak-laku seseorang ahli sufi itu dapat ditimbang dengan timbangan syariat Islam. Ia mesti selaras dengan tempat letaknya yang sebenar - tempat duduknya yang berkait dengan syariat; dalam soal masuk-keluarnya, maju-mundurnya sebab jalan Allah itu tidak mungkin akan ditempuhi sepenuhnya sebelum seseorang itu benar-benar duduk dalam syariat Islam.

Ia bererti segala tatatertib syariat itu telah dilakukan. Semua ini tidak akan dapat dicapai oleh orang-orang yang tidak menetapi sejumlah solat sunat, selain daripada mengerjakan yang fardu. Apatah pula jika seseorang yang sering mensesiakan solat fardunya, langsung tidak akan sampai ke darjat sufi.

"Kalau tuan katakan; Apakah martabat salik (yang menjalani) jalan-jalan Allah itu boleh sampai kepada taraf dia melepaskan atau meninggalkan sebahagian daripada ibadat wajib, dan sampai ke taraf tidak berbahaya lagi baginya untuk mengerjakan sebahagian yang terlarang, sebagaimana yang dinaqalkan orang daripada sebahagian syeikh tasauf yang memandang enteng atau mudah dalam soal-soal ini.

Jawabnya; itulah dia 'ghurur' - inilah tipu-daya yang dimaksudkan itu. Ahli-ahli tahqiq telah mengatakan, "Kalau tuan melihat seorang manusia dapat berjalan di atas air, tetapi dia mengerjakan sesuatu yang bertentangan dengan syariat Islam - maka ketahuilah bahawa dia itu adalah syaitan." Maka pendapat ahli tahqiq itu adalah benar."

Pendapat ini adalah benar, di mana tiada satu pun bahagian dasar tasauf itu yang lemah dan dapat menjadi sasaran serangan kaum fuqaha.

Hubungan Tasauf dengan syariat teramat rapat dan kukuh

Bagi seorang ahli tasauf yang hakiki, mereka tetap mengikat tasauf dan syariat Islam dengan kukuh sekali. Kata Imam al-Ghazali seterusnya;

"Saya sedar dengan yakin sekali bahawa orang-orang sufi itu adalah orang yang khusus menjalani jalan-jalan Allah. Jalan yang ditempuh mereka adalah jalan yang sebenar - jalan yang asli. Dalam menjalaninya mereka tetap memelihara akhlak dengan sebaik-baiknya. Andainya berkumpul sekelian cerdik-pandai Islam bersama hukama' dan ulama yang benar-benar arif tentang syariat Islam lalu cuba mencari cacat-cela dalam akhlak orang-orang sufi ini - mereka tidak akan terdaya. Sebab, segala yang dilakukan oleh orang-orang sufi itu adalah benar belaka.

Mereka tawajjuh selain menerima misykat kenabian

Ia disebabkan segala gerak-geri orang-orang sufi itu sama ada lahir dan batinnya, harus mengambil sinar daripada misykat (lampu) kenabian. Malah kita semua talah tahu tidak ada cahaya lain yang melebihi dari cahaya misykat Nabi yang terang-benderang itu."

Seandainya masih ada orang yang ingin menghentam dasar-dasar tasauf, apakah ada ruang untuk menidakkan seseorang yang pekerjaannya setiap masa hanya mensucikan hatinya daripada yang lain daripada Allah. Kuncinya, dia mengharamkan hati seluruhnya cuma untuk mengingat Allah dan akhirnya fana habis akan Allah swt.

Awal perjalanan ini ialah dengan mukasyafat (beroleh kasyaf), iaitu dapat melihat yang tiada dapat dilihat dengan mata biasa - sampai mereka dapat melihat Allah dalam jaga, dapat melihat roh-roh para nabi, dapat mendengar suara-suara mereka itu sehingga dapat menanyakan pelbagai yang yang perlu, kemudian mereka naik terus daripada melihat rupa-rupa itu sehingga sampai ke darjat tidak mungkin dapat dituturkan dengan lidah ataupun dituliskan dengan kalam lagi."

Demikian penjelasan Imam al-Ghazali tentang dasar dan jalan-jalan yang ditempuh oleh mereka yang sebenarnya orang sufi. Ia merupakan hakikat tasauf yang sebenar - yang tidak mungkin akan dapat dihuraikan dengan berlebih lagi.

Oleh kerana hakikat tasauf ini begitu mulia, suci dan langsung berhubungan dengan Allah swt pada setiap saat, maka ulama tasauf yang sebenar tetap terpelihara dan tidak pernah kalah atau dapat dihancurkan dalam setiap pertempuran besar dan hebat. Sebab ia merupakan satu bentuk kehidupan yang kekal kuat sepanjang zaman.

No comments:

Post a Comment