Friday 28 October 2011

Sejarah Solat 5 Waktu

Ismail Bin Omar

Unta pun reti base! Sedangkan majoriti Melayu haram tak solat pun.

Subuh

Manusia yang pertama mengerjakan solat subuh ialah Nabi Adam a.s. iaitu ketika baginda keluar dari syurga lalu diturunkan ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan malam dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar subuh telah keluar, Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda telah terlepas dari kegelapan malam.

Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana hari siang telah menjelma.


Zohor

Manusia pertama yang mengerjakan solat zohor ialah Nabi Ibrahim a.s. iaitu tatkala Allah swt memerintahkan baginda agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s.. Seruan itu datang pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim sebanyak empat rakaat.

Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.

Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.

Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah swt.

Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya telah digantikan dengan tebusan kibas.


Asar

Manusia pertama yang mengerjakan solat asar ialah Nabi Yunus a.s. tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah swt dari perut ikan nun. Ikan Nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai, sedang ketika itu telah pun masuk waktu asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah swt daripada 4 kegelapan, iaitu

Rakaat pertama: Kelam dengan kesalahan.

Rakaat kedua: Kelam dengan air laut.

Rakaat ketiga: Kelam dengan malam.

Rakaat keempat: Kelam dengan perut ikan nun.


Maghrib

Manusia yang pertama mengerjakan solat maghrib ialah Nabi Isa a.s, iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah swt dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenam matahari. Nabi Isa bersyukur lalu bersembahyang tiga rakaat terselamat dari kejahilan tersebut.

Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah Yang Maha Esa.

Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.

Rakaat ketiga: Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu, iaitu Allah swt semata-mata, tiada dua atau tiganya.


Isyak

Manusia yang pertama mengerjakan solat isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat ketika mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedangkan dalam dadanya penuh dengan rasa dukacita. Allah swt menghilangkan kesemua perasaan dukacitanya itu pada waktu isyak yang akhir. Maka bersembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.

Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.

Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya, Nabi Harun.

Rakaat ketiga: Tanda dukacita beliau terhadap Firaun.

Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun

No comments:

Post a Comment