Thursday, 22 November 2012

Syiah ala-Imam Khomeini (Ciptaan)

Tulisan ini adalah daripada terjemahan kitab AL-KHOMEINIAH/KHOMEINISMA karangan ulamak terkenal di abad ini Saied Hawwa… Dan telah diterjemahkan oleh Muhammad Zuhairi bin Zainal Abidin Felo MANHAL PMRAM


**Adakah kita tidak merenung kejadian yang berlaku di Syria dahulu, al-Khomeini juga telah memberikan bantuan kepada kerajaan Syria yang dipimpin Hafiz al-Assad (yang diteruskan sekarang oleh anaknya Basya al-Assad) yang membunuh umat Islam kerana kepentingan politik dan pegangan Syiahnya – Said Hawa

**Telah jelas bahawa al-Khomeini dan pengikutnya telah memerangi dan berlaku zalim kepada para sahabat-sahabat Nabi s.a.w. dan sekalian Sunni. Mereka dengan sewenang-wenang mencemuh dan mencerca bahkan sehingga mengkafirkan sahabat-sahabat agung dalam kacamata Islam. Mereka telah menghalalkan darah-darah umat Islam lain dan harta mereka adalah halal untuk dirampas – Said Hawa

**Aqidahnya bukan aqidah kita, ibadahnya bukan ibadah kita, sistem hidupnya bukan sistem hidup kita. Ini adalah kerana pendirian asal mereka adalah untuk menyalahi dan berselisih dengan kita (ASWJ). – Said Hawa

**Demi melunaskan hasrat, al-Khomeini telah merancang beberapa strategi dengan bekomplot demi mencapai keinginannya untuk memerintah Negara-negara Islam yang lain. Pasti kita akan dapati mereka pernah mewujudkan kerjasama dan pakatan yang aneh secara sulit antara Iran dan beberapa negara serta pemerintahan besar dunia. Antaranya dengan Syiah Nusairiah Syiria, Israel, Soviet Union dan Barat (Amerika)- Said Hawa

**Ada beberapa pegangan dan pendirian pelik Syiah yang dipelopori oleh al-Khomeini bakal mengancam kebangkitan semula umat Islam. Kerinduan umat islam kepada Khilafah Islamiah akan terkubur seandainya ada dikalangan Ahli Sunnah wal Jamah yang menyokong baik tindakan-tindakan pelik al-Khomeini tersebut dan menyanka bahawa Iran itu adalah sebuah Daulah Islam yang sebenar- Said Hawa

**Jangan terpedaya dengan helah al-Khomeini. Apa yang didakwanya bahawa Iran adalah sebuah “Komuniti yang Hak, Komuniti yang Merdeka, Komuniti yang Kuat”, sedangkan slogan sebuah Gerakan Islam sebenar adalah berdasarkan aqidah yang sahih (Ahli Sunnah wal Jamah) – Said Hawa

**Idamlah kamu semua akan sebuah daulah Islam yang Hak, jangan ditipu oleh al-Khomeini yang mengispirasikan daulah Islam yang batil yang akan membawa umat Islam terkebelakang. Cukuplah sekadar al-Khomeini yang melakukan kebiadaban dengan jalinan persepakatan dan saling tolong menolong bersama Israel. Dia selama-lamanya tidak akan keluar daripada Iran melainkan setelah melakukan pelbagai kekacauan, kerosakan dan wala’ (tunduk) kepada musuh-musuh Allah.” – Said Hawa

……………………………………………….

Setelah kita membaca keseluruhan tulisan Said Hawa yang telah diterjemahkan di bawah ini, maka fahamlah kita dengan lebih jelas apakah sebenarnya Syiah dan kesesatan yang terdapat dalam ajarannya; di mana kita dapat membezakan Islam dan Syiah. Kita dapat mengenali Islam yang tulen dengan Syiah yang sesat. Kita tidak boleh ditipu oleh mereka yang mengatakan sangat mencintai ahlul-bait kerana ahlul-bait bukanlah Syiah dan bukanlah orang-orang yang berpaling daripada Khulafa ar-Rasyidin. Ketaksuban yang diwujudkan ini menyebabkan mereka ‘membenci’ Khulafa ar-Rasyidin. Sebenarnya, Yahudilah yang memainkan peranan besar dalam menimbulkan bibit-bibit kemunculan golongan syiah bermula pada zaman Khulafa ar-Rasyidin Abu Bakar r.a. Pengusiran Yahudi daripada Madinah, serta kekalahan Yahudi dalam Peperangan Khaibar menyemarakkan dendam mereka ke atas Islam.

Dan yang paling jelas sekali setelah membaca tulisan Said Hawa ini kita dapat mengetahui apakah yang sebenarnya berlaku di Syria sekarang ini. Apa yang berlaku di Syria adalah kesempatan, persengkongkolan dan kerjasama Syiah Iran, Syiah Lubnan, Syiah Iraq bersama Syiah Nusairi Basyar untuk menghapuskan Sunni di bumi Islam Syria.

……………………………………………………………………………………

Syiah al-Khomeiniah (Bahagian 1)

Sesungguhnya cinta kepada ahli keluarga Nabi s.a.w. merupakan kefardhuan kepada tiap-tiap muslim lelaki dan perempuan. Akan tetapi telah tersebarnya pengaruh dan dakyah-dakyah pelik sepanjang sejarah dengan pelbagai pegangan aqidah yang fasik dan pendirian-yang buruk lagi jahat menyebabkan kecintaan kepada Ahli Bait Nabi s.a.w disalah ertikan.

Sejak muncul Ayatullah al-Khomeini, ramai yang beranggapan bahawa dia pemimpin yang berkarisma dan mampu membawa proses penjernihan serta membebaskan ajaran syiah daripada aqidah yang palsu dan tipu.

Namun dia terus menggubal kerajaannya dengan menyebarkan fahaman syiah acuannya (Khomenisme) secara meluas dengan pelbagai penyelewengan dan pengubahsuaian yang pelik dan ganjil. Akibatnya konsep taqrib (pendekatan) antara syiah dan sunni semakin tidak menemui jalan penyelesaian.

Maka seharusnya bagi setiap penuntut ilmu membongkar kebenaran dan menjelaskan keadaan sebenar tentang sikap melampau dan kebiadaban mereka terhadap Islam, Rasul dan umatnya. Ia supaya kita tidak tertipu dan dijauhi daripada penyelewengan tersebut yang boleh membawa kepada gugurnya iman kita.

Al-Khomeini telah mencampur-adukkan dalam manhaj gerakan dakwahnya dengan dakyah kebatinan, bermuka-muka dengan konsep taqiyyah dan mendapatkan pertolongan daripada zoroastrianisme (pemuja-pemuja api) untuk menjayakan rancangan dan tujuannya.

3 tujuan utamanya:

*  merosakkan aqidah umat Islam;
*  menghapuskan petanda Islam dan memutar-belitkan petunjuk-petunjuk yang mulia;
*  emenuhi keinginannya untuk menguasai dan memerintah

Kitab kecil ini mengandungi dua bab: bab pertama menceritakan tentang aqidah dan pegangan-pegangan pelik oleh al-Khomeini, manakala bab kedua pula menjelaskan beberapa pendirian pelik beliau. Penutup kitab bakal menerangkan kepada pemuda-pemudi di kalangan umat Islam supaya berpegang dengan aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah kerana kebenaran yang ada padanya dan keadilan yang sejagat.

BAB PERTAMA: Antara Pegangan Syiah Yang Diseleweng Oleh Ayatullah Khomeini

Sejak tersebarnya pengaruh syiah yang mempunyai pelbagai tafsiran dan pandangan agama yang pelik-pelik menyebabkan banyak kerosakan berlaku, lebih-lebih lagi dalam aspek aqidah. Adapun pengaruh tersebut kadang-kadang mampu membawa kepada kekufuran.

Setelah itu timbullah pelbagai firqah (puak/kumpulan) dalam syiah seperti Ismailiah, Nusairiah, Alawiyyah, Druze dan lain-lain yang merupakan puak batiniah yang bersepakat dalam mengkafirkan kelompok Ahli Sunnah wal Jamah dan syiah Isna ‘Asyar.

Sesungguhnya syiah Isna ‘Asyar (yang diimani oleh al-Khomeini) banyak berselisih dalam pelbagai masalah usul dan furu’ dengan puak-puak tersebut namun mereka itu tetap dianggap rakan karib dalam memerangi kelompok Ahli Sunnah wal Jamah.

Antara aqidah dan pegangan pelik yang diimani oleh Khomeini secara ringkas:

1. Melampau dalam berpegang kepada 12 Imam mereka (konsep imamah)

Sebagaimana maklum bahawa pengikut agama Kristian (setelah agama mereka diubah) menjadikan Nabi Isa a.s. sebagai tuhan, begitulah juga al-Khomeini dan pengikutnya, mendakwa imam-imam mereka itu maksum (daripada tersalah, lupa, lalai, tidak pernah lakukan dosa) bahkan wajib bagi setiap pengikut syiah menganggapnya sebagai perkara usul yang perlu diimani.

Sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Kulaini dalam kitabnya 'Usul al-Kafi' (kitab yang paling muktabar selepas Al-Quran di sisi syiah) mereka mengatakan bahawa imam-imam mereka lebih tinggi kedudukan daripada para nabi termasuk Nabi Muhammad s.a.w.[2]

Mereka juga berpendapat bahawa imam-imam mereka menyamai dengan ilmu Allah dalam mengetahui perkara-perkara ghaib. [3]

Hal tersebut telah dinyatakan sendiri oleh Khomeini dalam kitabnya: “Adapun perkara yang wajib berpegang dalam mazhab kita bahawa tidak ada yang boleh menyamai kedudukan imam-imam kita walaupun oleh mana-mana malaikat dan nabi sekalipun yang diutus.”[4]

2. Berpegang bahawa Al-Quran telah diubahsuai dan diputarbelitkan

Mereka berpendapat bahawa Al-Quran telah dipinda dengan beberapa tambahan dan pengurangan. Aqidah ini muncul secara jelas ketika kurun ke-2 Hijrah. Kemudian ia dihidupkan kembali pada era kerajaan Safavid oleh Mirza Hussien al-Nuri al-Thabarisi pada kurun ke-13 Hijrah melalui kitabnya 'Faslu al-Khitab fi Ithbat Tahrifi Kitabi Rabbil Arbab'. Di dalamnya memuatkan lebih daripada 2,000 riwayat yang dianggap syiah sebagai sudah diseleweng.

Imam al-Kulaini ada menyatakan dalam kitabnya: “Sesungguhnya apa yang benar pada kita sekarang adalah mushaf daripada Fatimah sahaja”[5]

Begitu juga Imam al-Baqir ada menyatakan: “Sesungguhnya banyak dan jelas tentang pengurangan Al-Quran dan penukarannya”[6]

Al-Khomeini ada menyatakan dalam Kasyful Asrar: “Perkara ini amatlah mudah bagi mereka (sahabat-sahabat Nabi), bahawasanya mereka semua telah mengeluarkan sebahagian daripada riwayat dan ayat-ayat Al-Quran dan memindah masuk daripada kitab-kitab Samawi lain dengan penyelewengan”.

3. Pandangan mereka terhadap hadith-hadith Nabi s.a.w.

Telah bersepakat kesemua pengikut syiah bahawasanya tidak boleh behujjah (tidak boleh dijadikan hukum dan panduan) daripada sunnah Nabi kecuali apa yang selari dengan pegangan mereka. Mereka menyatakan bahawa umat Islam keseluruhannya telah murtad selepas kewafatan Nabi s.a.w. kecuali empat orang sahaja (Ali bin Abi Thalib, Hasan, Hussin, Fatimah).

Banyak daripada hadith yang sampai kepada tahap Mutawatir[7] mereka menafikannya daripada Nabi s.a.w. Begitu juga hadith-hadith sahih yang tidak selari dengan pandangan mereka lalu dikatakan palsu.

Sebagaimana yang dikatakan oleh Syeikh Muhammad Hassan Ali Kasyif al-Ghita’: “Adapun periwayatan Hadis Nabi s.a.w. yang sanadnya melalui Abu Hurairah, Samurah bin Jundub, Marwan bin al-Hakam, Imran bin Hattan, Amru bin al-As, di sisi Syiah Imamiah, tidak mengiktiraf kedudukan mereka”.[8]

Al-Khomeini dalam kitabnya ada menyebut: “Bahawasanya Abu Bakar al-Siddiq telah mereka-reka hadith palsu, begitu juga Samurah bin Jundub”[9]

Sebagai ganti kepada sunnah yang didustakan, mereka beriman pula dengan pendapat-pendapat khurafat yang dinisbahkan kepada para imam-imam mereka sebagaimana yang terdapat dalam Usul Min Al-Kafi oleh Al-Kulaini. Majoriti riwayat di dalam ‘kitab suci’ syiah ini adalah riwayat marfu’ yang dinisbahkan kepada para imam oleh perawi yang ada di antaranya hidup beberapa kurun selepas imam berkenaan!

Al-Khomeini mengangkat riwayat-riwayat khurafat ini ke martabat Al-Quran dengan kata-katanya: “Sesungguhnya pengajaran para imam adalah seperti pengajaran Al-Quran yang wajib dilaksana dan dipatuhi”.

3. Pandangan mereka terhadap para sahabat Nabi s.a.w.

Mereka secara terang-terangan mencerca para sahabat Nabi s.a.w. Mereka telah mengecap sesat dan terang-terangan melafazkan laknat kepada Abu Bakar, Umar, Uthman, Talhah, Zubair, Abu Ubaidah, Abdurrahman bin ‘Auf, Sayyidah ‘Aisyah dan lain-lain. Bahkan sesetengah mereka ada yang mengkafirkan sahabat.

Al-Khomeini ada menyebut: “Adapun kita tidak bersama dengan kedua-duanya (Abu Bakar dan Umar) terhadap apa yang mereka berdua telah bersalahan dengan Al-Quran dan bermain-main dengan hukum-hukum Allah, apa yang yang dihalal dan diharamkan dalam Al-Quran adalah daripada pandangan mereka berdua, mereka berdua telah menindas Fatimah dan bermusuh dengan anak cucunya, bahkan apa yang kita dapati daripada mereka berdua itu adalah jahil dengan hukum Allah dan agama”[10]

Mereka tetap berpegang bahawa Nabi s.a.w. telah melantik Ali bin Abi Thalib sebagai khalifah selepas kewafatan baginda dengan berpegang kepada hadith Nabi s.a.w. Namun para sahabat telah mengingkari dan mengkhianati Ali melalui arahan Nabi lalu memilih Abu Bakar sebagai pengganti.

4. Merendah-rendahkan kedudukan Nabi sebagai Rasul.

Pada pandangan mereka, wajib bagi Nabi s.a.w. mempunyai sifat taqiyyah (berolok-olok demi melepaskan diri sebagaimana sifat munafik dengan perbuatan atau lisan) kerana takut apabila menerima ancaman dan ugutan dalam melakukan dakwah. Bahkan harus bagi Nabi nyatakan kekufuran demi menjaga nyawa baginda.

Mereka menyamakan kedudukan Nabi s.a.w. dengan Ali bin Abi Thalib. Bahawa Nabi s.a.w. bersama-sama dengan Ali ketika peristiwa Isra’ Mi’raj dan masing-masing menerima wahyu. Cume bezanya adalah Nabi s.a.w. secara musyahadah (bersaksi dengan mata kepala akan dzat Allah yang Maha Agung) adapun Ali mendengar kalamullah al-Qadim sahaja.[11]

5. Mengingkari dan menyalahi daripada ijma’

Antaranya adalah mereka mengharuskan nikah mut’ah[12] yang menyalahi dengan ijma’ (Imam Malik, Hanbali, Syafie, Hanafi dan semua imam-imam Muslim kecuali syiah).

Sedangkan Ibn ‘Abbas pernah menyatakan dalam khutbahnya yang diriwayatkan oleh Sa’ied bin Jabir bahawa: “Sesungguhnya nikah mut’ah itu seumpama bangkai, darah dan daging babi (yang haram dimakan)”.

Ia seumpama memperdagangkan wanita dengan beberapa perjanjian berbentuk kontrak dan sedikit bayaran demi memuaskan nafsu. Boleh dijual beli tanpa harga diri sedangkan Islam mengambil berat tentang keturunan dan maruah.[13]

7. Pendirian Syiah terhadap Ahli Sunnah wal Jamaah

”Syiah Isna ‘Asyar berpendapat, sesiapa sahaja yang tidak beriman kepada 12 imam mereka maka diharamkan baginya syurga dan wajib masuk neraka. Bagi mereka, Al-Quran dan Sunnah telah diubahsuai maka harus untuk menyalahi dan menyanggahi kedua-duanya.

Al-Khomeini dalam kitabnya: “Bahawa boleh jadi nas-nas daripada Ahli Sunnah wal Jamah terbahagi kepada dua: Selari dengan Al-Quran dan Sunnah, bersalahan kesemuanya”.[14]

Sebab itulah mereka tidak berpegang dengan sunnah Nabi dan fatwa imam-imam mujtahid seperti Imam Malik, Hanbali, Syafie dan Hanafi bahkan mereka menyarankan untuk mengingkarinya. Apabila bergaul dengan pengikut Ahli sunnah wal Jamaah mereka anggap samalah bergaul dengan Yahudi dan Kristian yang wajib untuk diperbalahinya.

8. Melampau mereka terhadap memuja Fatimah al-Zahra’

Dalam kitab-kitab syiah ada menyebutkan bahawa Fatimah al-Zahra’ juga menerima wahyu daripada Allah Taala seusai ayahnya (Rasulullah s.a.w.) menerima wahyu. Al-Khomeini menambah dalam kenyataannya bahawa Fatimah al-Zahra’ diangkat kedudukannya sehingga sebaris bersama Nabi-nabi a.s.

Kenyataannya ketika menghuraikan Usul al-Kafi: “Setelah wafat Rasulullah 75 hari, telah datang Jibril menemui Fatimah dengan mengucapkan takziah dan memberitahu perkara-perkara yang akan berlaku nanti (sebagaimana wahyu yang diterima oleh Rasulullah)”.Al-Khomeini mendakwa bahawa keberjayaannya dalam Revolusi Iran adalah sebahagian daripada apa yang diberitakan Jibril kepada Fatimah.

Dia berkata lagi: “Turunnya Jibril kepada kepada seseorang bukanlah perkara yang remeh-temeh melainkan terhadap mereka yang benar-benar agung, ini boleh dinisbahkan tingkatan yang pertama (paling agung) sebagaimana turunnya Jibril kepada Isa, Musa, Ibrahim dan seumpama mereka para Nabi dan Rasul”.[15]

……………………….

[1] Ayatullah Khomeini lahir di Khomein pada 24 oktober 1902. Khomein, merupakan dusun yang terletak di Iran Tengah. Keluarga Khomeini adalah keluarga Sayyid Musawi, keturunan Nabi melalui jalur Imam ketujuh syi’ah, Imam Musa Al-Kazhim.

[2] Kitab Hayatil Qulub oleh Imam Muhammad al-Baqir al-Majlisi: juzu’ 3 m/s 10

[3] Kitab Usul al-Kafi oleh Imam Muhammad bin Yaakub al-Kulaini: m/s 287

[4] Kitab al-Hukumah Islamiyyah oleh Ayatullah Khomeini: m/s 52

[5] Usul al-Kafi: m/s 239

[6] Kitab Mir’aatul Qulub oleh Muhammad al-Baqir al-Majlisi: m/s 253

[7] Mutawatir ialah Hadith Nabi yang diriwayatkan oleh ramai sahabat yang tidak mungkin bersepakat para sahabat untuk menipu dan memalsukannya.

[8] Kitab Aslu al-Syiah wa Usuliha oleh Syeikh Muhammad Husain Ali Kasyif al-Ghita’:

m/s 79

Beliau juga daripada syiah Isna ‘Asyar namun beliau banyak menyingkapkan pelbagai kerosakan dan penyelewengan yang dilakukan oleh syiah Isna ‘Asyar.

[9] Kitab Kasyful Asrar karangan Ayatullah al-Khomeini: m/s 112

[10] Kasyful Asrar: m/s 107-108

[11] Kitab al-Syiah baina al-I’tidal wal Ghuluw oleh Dr. Anuar Hamid Isa: m/s 90

[12] Nikah mut’ah adalah nikah untuk melepaskan keinginan nafsu dan bersedap-sedap. Hukum ini telah dinasakh dan Ijma’ mengharamkan pada zaman sekarang. Jika dilakukan juga ianya menjadi zina.

[13] Al-Syiah baina al-I’tidal wal Ghuluw: m/s 163

[14] Kitab al-Ta’adil wa al-Tarjih oleh Ayatullah al-Khomeini: m/s 82

[15] Pada hari Ahad bersamaan 2/3/1986 ketika sambutan kelahiran Sayyidah Fatimah al-Zahra

Syiah al-Khomeiniah (Bahagian 2)

BAB KEDUA: Pendirian-pendirian Pelik Syiah yang diasaskan oleh al-Khomeini

Pelbagai cerita dan kisah menunjukkan syiah bersekongkol dengan pengkhianat agama sehingga sanggup bergabung tenaga dengan golongan kafir semata-mata untuk menjayakan misinya, lebih-lebih lagi dalam mencetuskan pertembungan yang hebat dengan kelompok Ahli Sunnah wal Jamah.

Antara mereka yang tidak akan dilupakan dalam memori umat Islam adalah Nasiruddin al-Tusi yang pernah menolong Hulagu Khan demi menggulingkan khalifah Abbasiah semata-mata kerana bermusuhan dengan kelompok Ahli Sunnah wal Jamah.[1]

Begitu juga Muhammad Ibn ‘Alqami yang telah mengkhianati khalifah Abbasiah ketika itu demi menolong Tatar menjatuhkan pemerintahan Abbasiah[2]. Kedua-dua mereka adalah merupakan menteri kepada al-Mu’tasim Billah.

Setelah Monggol berkuasa menjatuhkan kerajaan Abbasiah, mereka berdua dilantik sebagai Gabenor sebagai penghormatan dan imbalan ketika zaman pemerintahan Monggol.

Namun al-Khomeini dalam kitabnya ada menyebutkan dengan mengagung-agungkan pengkhianat kepada umat Islam: “Sekian orang akan merasa kerugian atas kehilangan al-Khawwajah Nasiruddin al-Tusi dan selainnya, dari mereka yang telah menyumbangkan khidmat yang agung buat Islam”.[3]

Sultan Abdul Hamid[4] dalam peringatannya: “Sesungguhnya permusuhan antara kerajaan Safavid (syiah) dan Uthmaniah (sunni) bukanlah untuk kepentingan umat Islam tetapi merupakan keperluan kepada kufur dan kaumnya.”

Kita sebenarnya tidak menginginkan persengketaan antara syiah dan sunni, akan tetapi al-Khomeini telah mencetuskan kembali konflik tersebut bahkan menjadikannya sebagai satu kewajipan kepadanya sehingga mengundang kerugian kepada umat Islam seluruhnya.

Begitulah kanvas sejarah telah memprtontonkan kepada kita pengkhianatan syiah Safavid yang bekerjasama dengan Belanda menentang kerajaan Islam Uthmaniah. Bahkan sebelum itu mereka telah berperanan menjatuhkan kerajaan Abbasiah lalu berterusan ke zaman Salahuddin al-Ayyubi bersama kerajaan Syiah Fatimiah.

Seterusnya membawa kepada jangka masa yang panjang dan diteruskan lagi oleh al-Khomeini sekarang.

Pendirian pelik dan konflik yang telah dilakukan oleh al-Khomeini/Khomeinisma:

1. Semangat ingin menguasai dunia Islam dan berusaha ingin menyebarkan fahamannya.

Apa yang berlaku di Turki, Lubnan dan Syiria, begitu juga proses Revolusi Iran, peperangan di Iraq, merupakan langkah awal bagi al-Khomeini untuk mengusai dunia Islam dan menyebarkan fahamannya. Mereka mula membenihkan pelbagai propaganda dan memaksa sunni untuk bersama memeluk syiah.

Mereka telah mewujudkan Gerakan Amal Syiah[5] dan Gerakan Hizbullah[6]merupaka gerakan bersenjata syiah yang kononnya diasaskan di Lebanon untuk membantu rakyat Palestin yang ditawan dengan mendapatkan bantuan daripada Syria. Namun tujuan sulit sebenar mereka adalah untuk mengadakan proses penjernihan daripada rakyat sunni secara sulit di Beirut melalui cara ketenteraan[7].

Mereka juga mendapatkan bantuan daripada kerajaan syiah Syria untuk penyingkiran kelompok sunni di Tripoli (Lebanon Utara). Dalam masa yang sama, bantuan ketenteraan melalui Gerakan Amal Syiah dan Hizbullah disalurkan kepada Israel untuk membasmi sunni di bumi Palestin.

Dendam mereka kepada sunni yang membuak menggalakkan kerajaan syiah Syria juga berusaha sedaya upaya membantu penyingkiran Kerajaan Turki dengan menolong parti-parti berhaluan kiri dan Armenia. Mereka masuk meresap ke dalam pelbagai pertubuhan dan kumpulan-kumpulan yang melampau sebagai propaganda menimbulkan provokasi kepada kerajaan Uthmaniah.

Syiah juga melalui perancangannya untuk menghapuskan kelompok sunni di Sind, salah satu wilayah di Pakistan, dengan menyertai parti-parti di sana dan mewujudkan gelombang penentangan terhadap sunni agar mereka dapat kekal dan berpengaruh di Pakistan.

Catatan paling hitam penah berlaku apabila tercetusnya peperangan syiah Iran dan sunni Iraq sehingga Iran mengugut dan mengancam bagi mendapatkan teluk-teluk yang bersempadanan.[8] Ia nyata meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada umat Islam daripada perang saudara yang berlaku itu.

Itulah revolusi yang telah dilakukan oleh puak syiah demi meluaskan pemerintahan mereka dan menguasai seluruh semenanjung Tanah Arab dan Dunia Islam.

2. Strategi pakatan yang jahat (Tahaluf)

Demi melunaskan hasrat, al-Khomeini telah merancang beberapa strategi dengan bekomplot demi mencapai keinginannya untuk memerintah negara-negara Islam yang lain. Di sana dalam sejarah telah tercatat bahawa al-Khomeini melalui kerajaan Republik Iran melakukan banyak pakatan.

Pasti kita akan dapati mereka pernah mewujudkan kerjasama dan pakatan yang aneh secara sulit antara Iran dan beberapa negara serta pemerintahan besar dunia. Antaranya dengan syiah Nusairiah Syiria, Israel, Soviet Union dan Barat (Amerika).[9]

Apa yang kita dapati, terdapatnya delegasi daripada Soviet Union yang datang ke Iran, begitu juga delegasi Iran sentiasa mengunjungi Soviet Union.

Semua ini adalah bukti daripada keinginan dan hasrat al-Khomeini demi mendapatkan seluruh dunia Islam dalam menyebarkan fahamannya dan mengusai dunia umat Islam dengan pelbagai cara dan bermacam-macam pakatan rahsia. Ia benar-benar bertentangan dengan slogan dan dakwaannya ketika mula-mula mencetuskan era Revolusi Iran dahulu.

3. Kemajuan umat Islam dan kekayaan mereka dirampas

Kekayaan umat Islam terbuang semata-mata untuk menghadapi gejala ini. Al-Khomeini mempergunakan hasil bumi negara dan menguasai ekonomi rakyat untuk melunaskan kehendaknya yang ingin berkuasa.

Dia sanggup mencagarkan pelbagai janji demi meminta pertolongan daripada kerajaan-kerajaan besar dunia ketika itu (Russia) dalam tempoh dan jangka masa yang panjang sehinggalah berkahirnya peperangan.[10]

Peperangan tersebut tidak ada keuntungan langsung kepada kebangkitan Islam melainkan memberi pengaruh dan keluasan kepada kuasa-kuasa besar ketika itu untuk menebus balik apa yang dipinjamkannya dengan beberapa siri perkomplotan dan kerjasama.

Bahkan kebangkitan umat Islam juga mengalami kerugian akibat penglibatan syiah dalam gelanggang kebangkitan umat Islam pasca moden.

4. Melembabkan kebangkitan Islam

Sebelum kedatangan al-Khomeini, dunia Islam ketika itu sedang membina tenaga dan posisi masing-masing di setiap penjuru dunia umat Islam demi kebangkitan Islam.

Namun, apabila muncul al-Khomeini, dia telah membawa satu gambaran buruk kepada sebuah bentuk pelaksanaan sistem Republik Iran teokratis. Ini telah melembabkan kebangkitan umat Islam apabila dalam dustur (perlembagaan) yang dipindanya banyak membawa kepada ketidakseimbangan politik umat Islam ketika itu.

Penglibatan syiah di persada gelanggang kebangkitan umat Islam pasca moden ini tidak menunjukkan sesuatu perubahan positif melainkan umat Islam dimusibahkan dengan pelbagai kerugian. Pihak yang untung hanyalah syiah semata-mata.

Ketika mana ada tangan-tangan mujaddid dan reformasi yang ingin mengembalikan kedaulatan Islam, lalu disekat dan dibantutkan perancangan tersebut dengan pelbagai cara dan helah.

Antara strategi dan perancangannya sejak awal lagi adalah dengan meletakkan mazhab syiah sebagai tunjang dan akta dalam perlembagaan negaranya. Minoriti daripada pihak sunni di sana dinafikan hak-hak mereka.

Sebagaimana yang diketahui, tidak ada walaupun satu daripada mesjid kepada penduduk sunni. Begitulah sepanjang tempoh pemerintahannya, dia menyempitkan pengamalan bagi puak-puak yang tidak sealiran dengan mazhab mereka dengan pelbagai kekangan tanpa diberikan peluang.

Dalam pentadbirannya, kesemua kanak-kanak telah dikerah dan dipaksa untuk direkrut sebagai tentera sebelum mencapai usia dewasa. Kehidupan remaja mereka dikekang dengan pelbagai latihan ketenteraan.

Al-Khomeini sentiasa menghadang telinga dan menutupnya daripada mendengar rintihan suara-suara yang menginginkan hak mereka yang diabaikan daripada didengari. Apa yang kita dapati sekarang bahawasanya dunia sedang mencemuhnya dengan pelbagai cacian dan penghinaan akibat daripada kekerasaan sistem perundangan yang dipeloporinya.

5.  Pura-pura (taqiyyah) dan Persenjataan.

Kebanyakan daripada puak syiah, mereka telah memanipulasi konsep taqiyyah (berpura-pura) melebihi daripada apa yang diharuskan dalam syariat Islam. Apa yang kita dapati selepas Revolusi Iran, al-Khomeini mengharuskan penipuan dan kepua-puraan dalam apa jua keadaan sehingga menjangkau kepada penglibatan senjata api.

Apa yang berlaku, pemerintahan puak al-Nasiriah di Syria, Gerakan Amal Syiah, Gerakan Hizbullah, kerajaan Iran menggunakan konsep taqiyyah tersebut untuk mengadakan kerjasama dan kesepakatan bersama Israeil secara rahsia untuk mendapatkan bekalan persenjataan. Itulah yang berlaku sekarang.

Mereka sentiasa bertaqyyiah dalam slogan memerangi golongan-golongan anti Islam dan isme-isme berhaluan kiri namun apa yang berlaku adalah sebagai mengaburi mata umat Islam semata-mata. Sedangkan mereka bersembunyi dengan penipuan tersebut untuk menjaga modus operandi utama mereka dalam menawan seluruh dunia Islam.

Kita boleh lihat apa yang telah dan sedang berlaku di Syria, Turki, Pakistan, Afghanistan dan lain-lain negara umat Islam. Mereka meresap masuk secara sulit dalam parti-parti dan kumpulan-kumpulan NGO di sana. Mereka menjalankan beberapa perancangan dan strategi secara halus bagi menguasai kelompok-kelompok tersebut untuk mencapai kehendak mereka.

Nasihat Saied Hawwa kepada pemuda-pemudi Islam

“Seharusnya umat Islam menyedari penipuan-penipuan yang telah dilakukan. Apa yang dirancang oleh al-Khomeini merupakan pengkhianatan besar-besaran ke atas umat Islam. Kegilaan ingin menguasai dalam dirinya merupakan jenayah besar kepada Islam. Berhati-hatilah umat Islam daripada disengat dalam satu lubang sebanyak dua kali.

Begitulah sebagaimana dinyatakan, beberapa pegangan dan pendirian pelik syiah yang dipelopori oleh al-Khomeini yang kelak mengancam kebangkitan semula umat Islam. Kerinduan umat Islam kepada Khilafah Islamiah akan terkubur seandainya ada di kalangan ahli Sunnah wal Jamah yang menyokong baik tindakan-tindakan pelik al-Khomeini tersebut dan menyangka bahawa Iran itu adalah sebuah daulah Islam yang sebenar.

Jangan terpedaya dengan helah al-Khomeini. Apa yang didakwanya bahawa Iran adalah sebuah “Komuniti yang Hak, Komuniti yang Merdeka, Komuniti yang Kuat”, sedangkan slogan sebuah Gerakan Islam sebenar adalah berdasarkan aqidah yang sahih (Ahli Sunnah wal Jamah).

Wahai para pemuda, idamlah kamu semua akan sebuah daulah Islam yang Hak, jangan ditipu oleh al-Khomeini yang mengispirasikan daulah Islam yang batil yang hanya akan membawa umat Islam terkebelakang.

Cukuplah sekadar al-Khomeini yang melakukan kebiadaban dengan jalinan persepakatan dan saling tolong menolong bersama Israel. Dia selama-lamanya tidak akan keluar daripada Iran melainkan setelah melakukan pelbagai kekacauan, kerosakan dan wala’ (tunduk) kepada musuh-musuh Allah.”

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Bahawasanya Dajjal akan keluar daripada Khurasan, bersamanya 70 ribu daripada kota Yahudi Isfahan (Khurasan)”.[11]

Bersambung pada Bab Penutup… (nasihat Saied Hawwa supaya berpegang dengan aqidah ahli Sunnah al Jamaah)

[1] Peperangan tersebut berlaku selama 40 hari sehinggalah pada tanggal 10 Februari 1259. Setelah itu, Baghdad dikuasai sepenuhnya secara rasmi oleh Mongol.

[2] Imam ibn Kathir menyatakan bahawa 800,000 atau 1,000,000 umat Islam terbunuh.

[3] Kitab al-Hukumah al-Islamiah oleh Ayatullah al-Khomeini: m/s 128

[4] Sultan Abdul Hamid adalah sultan ke-34 bagi kerajaan Khilafah Uthmaniah. Beliau merupakan sultan terakhir yang memerintah dengan kuasa mutlak dalam khilafah Uthmaniah sebelum jatuhnya pada tahun 1924 M.

[5] Gerakan Amal Syiah diasaskan di Lebanon oleh Musa al-Sadr pada tahun 1975 M disebabkan konflik bersenjata. Beliau berpegang dengan mazhab Syiah Ja’fariah.

[6] Gerakan Hizbullah adalah sebuah parti politik di Lebanon yang beroreantasikan persenjataan. Ia diasaskan pada tahun 1982 oleh Hassan Nasrallah melalui inspirasi Revolusi Iran 1979 M.

[7] Peristiwa ini berlaku di Lebanon pada 1982. Pengusiran besar-besaran sunni di sana melalui persepakatan antara syiah Isna ‘Asyar, Syiah Nasiriah, Druze, dan Israel dengan memerangi Organisasi Pembebasan Palestin.

[8] Peperangan ini dikenali dengan Perang Teluk Pertama. Ia berlaku pada tahun 1980-1988

[9] Akhbar al-Ra’y al-Am bertarikh 24 April 1988 melaporkan penjualan senjata Israel kepada Iran di sepanjang tahun 1980-1987 dan melaporkan daripada Perdana Menteri Israel, Syamir sendiri tentang bantuannya kepada Iran. Katanya: “Menjadi kewajipan kepada Israel menjaga hubungannya dengan kepimpinan ketenteraan Iran. Sesungguhnya peperangan yang berterusan melemahkan Iraq, musuh tradisi Israel. Peperangan itu menyebabkan lebih banyak lagi pembahagian negara-negara Arab”.

[10] Perang Teluk Pertama (Iran-Iraq) pada tahun 1980-1988.

[11] Hadis sahih riwayat Imam Tarmizi. Ulama’ bersepakat bahawa Isfahan itu adalah Khurasan yang merupakan kota ketiga terbesar di Iran.

Syiah al-Khomeiniah (Bahagian 3)

Nasihat al-Mursyied Saied Hawwa terhadap pengaruh Khomeinisma

Ibn Umar pernah menyebut tentang keadaan sahabat-sahabat Nabi s.a.w: “Sesungguhnya kami telah hidup dalam satu jangka masa yang kami telah membawa keimanan dalam diri sebelum Al-Quran (sebelum al-Quran memperincikan secara menyeluruh tentang manhaj/sistem kehidupan)”.

“Perkara mula-mula disebut dalam surah al-Fatihah adalah berkenaan aqidah, kemudian berkenaan ibadah dan yang ketiga tentang manhaj (sistem) hidup. Apa yang kita cuba ketengahkan di sini adalah tentang kelompok aqidah yang sahih dan benar di sisi Allah itu adalah acuan utama Islam kepada umatnya; berpegang dengannya, tindakannya, pendiriannya dan barulah kepada seluruh sistem hidupnya.

Dalam satu hadith daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. telah brsabda: “Akan berpecah umatku kepada 73 kelompok, semuanya akan ke neraka melainkan satu kelompok, lalu para sahabat bertanya: Siapakah mereka Ya Rasulullah ? Nabi menjawab: Apa yang aku dan para sahabatku berada di atasnya (islam yang tulen)” -  Riwayat Sunan Tarmizi

Akan tetapi al-Khomeini berbeza dengan kita. Aqidahnya bukan aqidah kita, ibadahnya bukan ibadah kita, sistem hidupnya bukan sistem hidup kita. Ini adalah kerana pendirian asal mereka adalah untuk menyalahi dan berselisih dengan kita (ASWJ).

Kepada golongan intelektual diharap agar membuka mata kalian semua supaya dapat melihat keburukan rancangan al-Khomeini. Dipohon secara bersungguh-sungguh agar para ilmuan boleh menggunakan mata pena dan lidah mereka untuk mencegah pengaruhnya.

Ini kerana “wabak taun” yang dibawa oleh al-Khomeini telah mula meresap masuk ke dalam negara-negara Islam yang lain (Malaysia juga tidak terlepas).

Umat Islam mestilah bersama membuka kembali tanah Iran dengan aqidah yang tulen, bukan sebagaimana tindakan syiah yang mereka-reka acuan aqidah sendiri. Kita juga wajib untuk menghentikan penindasan dan pelbagai ugutan yang dilakukan mereka ke atas umat ini.

Setiap “slogan transformasi” oleh al-Khomeini dan sekutunya merupaka pegkhianatan terhadap Allah, Rasul-Nya dan sekalian orang mukmin. Adakah kita semua masih buta untuk melihat dengan kedua mata kita dan masih pekak untuk mendengar terhadap apa yang telah berlaku di sebalik sorotan sejarah yang lepas dan peristiwa yang berlaku sekarang?

Sesungguhnya mereka itu sesat lagi menyesatkan kaum muslimin. Mereka tidak sesekali akan dimaafkan terhadap konflik dan persengketaan yang telah diadaptasikan oleh mereka sendiri.

Daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w. melalui hadith qudsi pernah bersabda: “Allah berfirman : Sesiapa yang memusuhi wali-waliKu (sahabat-sahabat Nabi s.a.w. dan penolong-penolong agama Allah), maka Aku isytiharkan perang terhadapnya”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah Taala: “Janganlah kamu cenderung kepada orang yang zalim yang akan menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, sedangkan kamu tidak mempunyai seorang penolong pun melainkan Allah, sehinggalah kamu tidak akan diberikan pertolongan”.(Surah Hud : 113)

Telah jelas bahawa al-Khomeini dan pengikutnya telah memerangi dan berlaku zalim kepada para sahabat-sahabat Nabi s.a.w. dan sekalian sunni. Mereka dengan sewenang-wenangnya mencemuh dan mencerca bahkan sehingga mengkafirkan sahabat-sahabat agung dalam kacamata Islam. Mereka telah menghalalkan darah umat Islam lain dan harta mereka adalah halal untuk dirampas.

Adakah tidak kita lihat bahawa di Iran, 1/3 daripadanya adalah kelompok sunni namun tidak diberikan pengiktirafan kepada mereka untuk mendapatkan hak. Mesjid tidak dibina, bantuan ekonomi tidak disalur, pemimpin tidak dilantik melainkan hanya beberapa orang sahaja yang mewakili suara rakyat sunni di Iran dalam dewan parlimen, namun dikunci mulut dan dirantai tengkuk mereka.

Adakah kita juga tidak melihat apa yang telah dilakukan kepada sunni di Lebanon, sama ada sunni Lebanon ataupun rakyat Palestin yang berteduh bagi mendapatkan perlindungan di sana.

Adakah kita tidak merenung kejadian yang berlaku di Syria dahulu, al-Khomeini juga telah memberikan bantuan kepada kerajaan Syria yang dipimpin Hafiz al-Assad (yang diteruskan sekarang oleh anaknya Basya al-Assad) yang membunuh umat Islam kerana kepentingan politik dan pegangan syiahnya.

Adakah itu semua memadai untuk menyedarkan kita? Ataupun kita akan memaafkan mereka atas tipu-daya dan helah jahat yang telah dilakukan mereka?

Mereka itu adalah musuh kepada Islam, musuh kepada umat Islam, musuh kepada rakyat mereka, serta musuh kepada tanahair mereka.

“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kelepasan daripada-Mu terhad al-Khomeini dan pengiku-pengikutnya, aku mohon kelepasan daripada penguasaannya, sekutu-sekutunya dan daripada menjadi sekutunya.. Ya Allah, erkenankanlah doa kami.”


Diterjemahkan oleh: Muhammad Zuhairi bin zainal Abidin

Felo MANHAL PMRAM

No comments:

Post a Comment