Tuesday, 6 March 2012

Fatwa yg Mengarut!

Oleh: rafie1357 (TKO)

Persoalan: Adakah wajib mematuhi Majlis Fatwa?

Ada pihak yang berpendapat apa sahaja fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa wajib diikuti. Ia berdasarkan kepada realiti bahawa anggota majlis berkenaan terdiri daripada kalangan cerdik-pandai agama yang dilantik oleh kerajaan.

Namun begitu ada beberapa aspek agama yang perlu diambil perhatian. Paling utama ialah tentang syarat-syarat untuk menjadi ahli Majlis Fatwa, kelayakan yang ada pada seseorang ulama di samping mengenal pasti adakah mereka yang duduk di kerusi Majlis Fatwa itu sebagai benar-benar layak sebagai ahli majlis berkenaan? Paling utama, adakah mereka itu menepati ciri-ciri seorang mujtahid yang layak mengeluarkan sebarang fatwa.

Ia merupakan satu persoalan yang menarik. Menurut pendirian Ahlus-sunnah, kita mestilah bersedia untuk berhujjah dengan hukum-hukum dan fatwa yang dikeluarkan oleh ulama-ulama mu'tabar.

Paling utama ialah tentang syarat-syarat yang mesti ada pada seseorang ahli fatwa.

A. Syarat-syarat umum

i)  Ahli fatwa mestilah mereka yang mahir dalam Ilmu Al-Qur'an. Ertinya dia seorang yang telah hafal Al-Qur'an dan mahir dalam menggali segala hukum daripadanya. Untuk itu dia mesti memahami berbagai sifat ayat; yang umum dan khusus, yang mujmal, yang mubayan, yang muthlaq, yang muqayad, nasikh mansuh, muhkam dan mutashabih.

Ketika hendak mengeluarkan sesuatu fatwa, seluruh isi Al-Qur'an itu hendaklah terbayang di dalam hati nuraninya.

ii)  Dia mestilah seorang yang mahir dalam Ilmu Hadith Nabi. Untuk itu dia mesti telah menghafal sejumlah besar hadith Nabi dan mampu membezakan di antara pelbagai tingkatan hadith. Menurut Imam Ahmad, seseorang mujtahid hendaklah hafal tidak kurang daripada 500,000 buah hadith.

iii)  Seseorang itu juga perlu mahir dalam berbagai lughah bahasa Arab. Sesetengah ulama mensyaratkan penguasaan dalam lima belas (15) lughah Arab.

iv)  Dia juga perlu seorang yang mahir dalam ilmu alat (ilmu untuk menggali hukum dari Al-Qur'an dan hadith) iaitu dari segi nahwu, sarf, bayan, mantiq.

v)  Ahli fatwa perlu mengetahui tentang asbabun nuzul - tentang sebab-sebab nuzul ayat Al-Qur'an dan mengetahui asbabul-wurud - sebab-sebab terbitnya hadith Nabi saw.

vi)  Seseorang itu perlu mengetahui secara mendalam akan sirah Nabawiyyah.

vii)  Kemudian dia perlu mengetahui sejarah nabi-nabi yang terdalulu.

B. Syarat-syarat yang khusus:

Ulama-ulama Ahlus-sunnah yang ternama seperti Imam Nawawi, Shah aWaliyullah Dahlawi dan lain-lainnya telah meletakkan syarat khusus mujtahid, iaitu akhlak mujtahid; iaitu

*  sentiasa bersifat siddiq, iaitu benar dalam setiap hal.

*  sentiasa bersifat adil.

*  sentiasa mengamalkan ilmunya dalam kehidupan.

*  seorang yang bersifat wara' dengan menjauhi segala yang syubhat.

*  mempunyai akhlaknya mulia dalam muamalah sesama manusia; tawadhu'- rendah diri, sabar, amanah, tidak mengejar pangkat dan dunia dll.

*  berani dalam menyatakan kebenaran walaupun terhadap pemerintah.

*  seorang yang cukup bertaqwa.

Tugas seseorang mujtahid fatwa adalah satu tugas yang sangat berat, kerana ia merupakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah swt sebagai wakil-Nya, iaitu sebagai pengganti Nabi saw dalam memberikan keputusan darihal hukum-hakam Allah Ta'ala.

Dalam bahasa yang lebih tepat, seseorang ahli fatwa telah biasa mendapat ruh dari cahaya Al-Qur'an dan Hadith Nabi. Beliau mesti seseorang yang sangat hampir dengan Allah Ta'ala. Dengan ini, apa-apa sahaja yang diperkatakannya kelak dari hal hukum bukannya datang daripada hawa nafsunya. Ia adalah dari ilham kebenaran yang tercetus di dalam hatinya yang suci murni.

Bagi tujuan berkenaan ia bukan satu anugerah dunia, tetapi sebaliknya suatu amanah yang akan dihadapkan di mahsyar nanti tentang apa-apa yang telah diputuskan.

Perlu diingat, ahli fatwa bukan wakil kepada pemerintah dunia, sebaliknya beliau wakil Nabi saw dalam memberitahu manusia akan jalan-jalan kebaikan dan taqwa.

Melalui huraian ringkas ini adalah diharapkan kita semua akan dapat memahami bagaimanakah rupa sifat dan keadaan seseorang yang boleh dipanggil mujtahid atau ahli di mana-mana majlis fatwa?

Contoh paling unggul di dalam sejarah adalah kalangan para imam mazhab yang empat; Imam Sufyan Ath-Thauri, Imam Hasaan Al-Basri dan di zaman kemudiannya Imam Nawawi, Imam Rafie dan lain-lain.

Mereka ini adalah contoh ulama yang ulung dan terbaik.

- mereka yang tidak tunduk kepada nafsu ketika berfatwa;

- mereka yang tidak tunduk kepada kehendak manusia sebaliknya menentukan apa-apa yang dikehendaki Allah swt;

- mereka ini tidak takut dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pemerintah yang zalim. Walaupun mereka diugut dengan penjara, namun mereka tetap tegas dalam menyatakan kebenaran!

Jadi daripada situ maka dapatlah dibandingkan para ahli majlis fatwa yang ada dengan sifat-sifat dan syarat bagi seseorang ahli fatwa yang telah disebutkan. Adakah mereka menepati ciri-ciri tersebut?

-  adakah mereka itu mahir dalam ilmu Al-Qur'an dan hadith?

-  adakah mereka itu adil dalam memberikan fatwa?

-  adakah mereka mempunyai sifat yang cukup bertaqwa?

-  adakah mereka memiliki sifat-sifat yang selayaknya seorang ahli fatwa?

Atau... mereka hanya hidup dalam kepura-puraan yang nyata.

Mereka bertindak semata-mata kerana mencari kepentingan duniawi; di samping lebih berasa takut kepada manusia daripada takut kepada Allah swt.

Adalah jelas, pada hakikatnya mereka yang menduduki kerusi majlis fatwa pada masa ini adalah mereka yang tidak mempunyai kelayakan tersebut.

Pertama:

Mereka tidak mempunyai ilmu yang cukup untuk melayakkan diri mereka sebagai ahli fatwa. Ini dapat dilihat pada sosok mereka berkenaan tanpa sebarang ciri-ciri yang dimaksudkan. Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa ilmu asas Islam pun mereka gagal. Contohnya, majoriti ahli majlis fatwa itu tidak mengetahui apa-apa tentang hal-ehwal tariqat dan tasawwuf. Sedangkan aspek berkenaan merupakan satu unsur penting dalam Islam yang bertindak sebagai nadi kekuatan ummah.
Bagaimana mungkin seseorang ahli fatwa yang tidak pun mengetahui dan tidak pula mengamalkan asas-asas Islam boleh menjadi Ahli Majlis Fatwa.

Kedua:

Mereka sendiri pun tidak adil dan tidak jujur dalam mengeluarkan fatwa.

Buktinya?

Mereka cukup berani mengeluarkan fatwa sesat ke atas orang-orang awam yang lemah, sebaliknya tidak pula berani mengeluarkan fatwa ke atas pemerintah yang zalim dan kufur. Contohnya, ketika pemerintah zalim dan kufur sewenang-wenangnya mencaci sunnah Nabi saw, mencaci janggut dan serban Nabi, secara terang-terangan mencaci hukum Al-Qur'an sebagai ketinggalan zaman; jika Hudud dilaksanakan maka ramai yang akan jadi kudung; mereka mencerca dan mempersenda hukum hijab bagi wanita bahkan banyak lagi ucapan biadab - di mana tidak ada seorang pun ahli majlis fatwa yang berani menegur atau mengeluarkan fatwa ke atas perlakuan biadab seumpama ini.

Malah tidak ada seorang pun mufti atau ahli fatwa tampil ke depan memperbetulkan ucapan-ucapan jahat dan biadab di kalangan pemerintah ini. Siapa yang berani keluarkan fatwa sesat dan kufur ke atas kata-kata ucapan dan perlakuan pemerintah yang secara terang-terangan melawan hukum Allah?

Namun pada masa yang sama, mereka dengan mudah mengeluarkan satu senarai panjang akan jemaah Islam yang dikatakan sesat. Mengapa terjadi demikian? Jawapannya mudah - kerana jemaah Islam itu terdiri daripada golongan yang lemah, mudah ditekan, mudah ditangkap untuk masuk penjara atau dihukum!

Soalnya, di manakah kredibiliti dan kewibawaan ahli majlis fatwa? Di manakah sifat adilnya mereka? Di manakah sifat taqwanya?

Apa yang dapat dilihat mereka hanya mementingkan habuan duniawi semata-mata. Mereka hanya berani terhadap rakyat yang lemah, tetapi penakut dan pengecut dengan mereka yang ada kuasa. Jelasnya, mereka ini hanya takut kepada manusia, tetapi mereka jadi cukup berani dengan Allah Ta'ala.

Mereka sanggup menggadai Islam dan iman mereka demi kepentingan diri dan nafsu semata-mata. Inilah kalangan apa yang disebut oleh Nabi saw sebagai ulama us-suu', iaitu ulama jahat - dari kalangan manusia yang duduk dalam jubah ulama, tetapi tidak berkelakuan seperti ulama. Sebaliknya mereka hanya bersifat bagaikan syaitan dalam menyesatkan orang lain dengan fatwa-fatwa mereka yang tentunya sesat.

Dan sesungguh inilah juga apa yang dikatakan oleh Nabi saw:

Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم :

"Daripada Abdullah bin ‘Amru fin al ‘Ash Rodiyallahu ‘anhuma, aku mendengar Rasulullah sollahu ‘alaihi wasallam bersabda: Bahawasanya Allah Ta'ala tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekali gus dari dada manusia, tetapi Allah Ta'ala menghilangkan ilmu dengan mematikan alim ulama’ (yang siddiq), maka apabila sudah ditiadakan alim ulama’, maka orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka, apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan, maka mereka sesat dan menyesatkan orang yang lain" – (Riwayat Muslim).

Manusia yang diberikan ilmu (ulama), tetapi menyalah-gunakan ilmu tersebut kerana kepentingan hawa nafsunya amat dicela oleh Allah swt dalam Al-Qur'an sebagai anjing.

Bahkan mereka adalah ibarat anjing-anjing pemerintah yang sanggup mengkhianati ummat ini. Sebagaimana juga kisah Bal'am Baurah yang diberikan ilmu oleh Allah Ta'ala, tetapi dia menyalah-gunakan ilmunya kerana nasfu dan bisikan syaitan sehingga dia mendapat gelaran anjing. Kisah ini tercatat dalam tafsiran oleh mufassirin kepada Kalam Allah, dari ayat Al-Qur'an Al-A'raf 175-176.

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِىٓ ءَاتَيۡنَـٰهُ ءَايَـٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَـٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ (١٧٥) وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَـٰهُ بِہَا وَلَـٰكِنَّهُ ۥۤ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَٮٰهُ‌ۚ فَمَثَلُهُ ۥ كَمَثَلِ ٱلۡڪَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُڪۡهُ يَلۡهَث‌ۚ ذَّٲلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بِـَٔايَـٰتِنَا‌ۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ (١٧٦)

"Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dia dari orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: ia menghulurkan juga lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (176)

Menurut Ibnu Abbas, ayat di atas diturunkan kepada Nabi saw mengisahkan hal seorang yang alim, iaitu Bal'am Baurah yang hidup di kalangan Bani Israil. Dia mendapat sanjungan dan penghormatan kaumnya kerana ilmu dan doanya yang sangat makbul. Namun disebabkan oleh bisikan syaitan dan kepentingan dunia dan kerana mengambil hati pemimpin2 kaumnya, maka dia sanggup menentang Nabi Musa a.s. Maka jadilah dia manusia terlaknat walaupun sebelumnya dia adalah seorang yang alim dan cukup dihormati.

Berkata Shaikh Abdullah Azzam Rahimahullah;

“Apa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah ulama suu’ yang apabila diberi kemewahan oleh penguasa negerinya seperti Bal’am maka dia bersedia untuk melakukan apa sahaja yang diperintahkan kepadanya, seperti kepatuhan anjing akan tuannya."

Khulasahnya :

Bagaimana mungkin bagi sesiapa pun untuk mengikuti fatwa orang-orang yang tidak layak memberikan fatwa, sedangkan hidupnya sendiri berada dalam kebatilan?

Sekali lagi saya ulangi pendirian bahawa aya bukan seperti kalian menjadi pak turut dan ta'suba buta kepada majlis fatwa dan orang-orang yang tidak layak memberikan fatwa. Saya bukan dari kalangan penyokong kepada pemerintah yang zalim.

Saya mempunyai rujukan sendiri di dalam hal-ehwal Islam kepada ulama-ulama Ahlus-sunnah yang benar, yang siddiq, dari kalangan ulama yang benar-benar takut kepada Allah dari serata dunia.

No comments:

Post a Comment