Monday, 31 December 2012

Asal Krismas dari Pagan!

Oleh: siputsedut72 (TKO)


Saban tahun, 25 Disember disambut dengan meriah oleh kira-kira 1.2 bilion penganut Kristian di seluruh dunia. Tarikh 25 Disember itu mereka merujuk kepada kelahiran Nabi Isa atau Jesus Christ!

Saya x pasti pasti apa yang orang faham berkaitan asal-usul Chrismas atau Hari Natal. Ramai beranggapan, yang Hari Natal adalah sambutan sempena kelahiran Jesus Christ (atau Nabi Isa a.s.). Namun, ini adalah satu kesilapan besar. Semasa belajar di US dulu, ssya pernah ambil 'American History' selama setahun, dengan tujuan asal mahu mengetahui lebih lanjut tentang asal-usul negara tersebut dan bagaimana budaya rakyat negara tersebut lahir dan berkembang. Salah satu subject utama adalah bab berkaitan Kristian, yang pada asalnya adalah satu, iaitu Katolik yang dipekenalkan oleh paderi yang lima - Luke, Mathew, Barbara, Mark dan John sebelum berlaku perpecahan disebabkan oleh percanggahan pendapat anatara sains dan pihak gereja, sehingga melahirkan 'Protestant' (dari akta asalnya 'protes') yang mempunyai pelbagai pecahan pula di antaranya congresionalist, 7th-day adventist dan sebagainya.

Perkataan “Krismas” berasal dari istilah Yunani iaitu “Mass Kristus” yang membawa maksud 'Perayaan bagi al-Masih'. Sambutan perayaan ini sebenarnya wujud berabad-abad sebelum Isa a.s dilahirkan, tetapi tidak pernah didoktrinkan dalam agama Kristian sehingga beberapa abad selepas kematian Nabi Isa a.s.

Catholic Encyclopedia Edisi 1911 menggambarkan bahawa perayaan Krismas tidak berasal daripada Palestin, tetapi dari Mesir. Dalam ekslopedia itu menyatakan bahawa perayaan Krismas dipengaruhi oleh ajaran paganisme dari Mesir. Perayaan Pagan sekitar Januari pada hari pertama di setiap tahun itu benar-benar telah mempengaruhi tarikh 25 Disember yang kini dirayakan sebagai perayaan Krismas.

Origen (AD 186-238), ahli teologi abad ketiga dan digelar ‘bapa pengkritik Bible’ pernah menulis, "Dalam Kitab Suci tiada seorang pun yang direkodkan telah merayakan hari raya atau mengadakan jamuan yang besar pada hari lahirnya. Ia hanya orang-orang yang zalim dan toghut [seperti Firaun dan Herod] yang membuat hari berfoya-foya yang gah pada hari mereka dilahirkan ke dunia. (dipetik daripada 1911 Catholic Encyclopedia, artikel Hari Krismas).

Apabila kebanyakan penganut Kristian merayakan perayaan Krismas pada 25 Disember (kalendar Gregory) saban tahun, terdapat penganut Kristian yang beraliran oriental seperti 'Armenian Apostolic Church' dan beberapa yang lain menyambut perayaan Krismas pada 6 atau 7 Januari(kalendar Gregory).

Di barat, tarikh 25 Disember berkait rapat dengan perayaan penganut agama pagan di zaman dahulu kala. Tarikh 25 Disember itu dikaitkan dengan 'Festival Yule', iaitu sejenis perayaan keagamaan bagi kaum paganisme Jerman lama sebelum kedatangan Kristian. Perayaan ini bermula daripada pertengahan bulan Disember sehingga ke awal Januari berdasarkan 'Gemanic Lunar Calendar'.

Jika 'Festival Yule' itu dikaitkan dengan Krismas di barat, di timu pula perayaan Krismas dikaitkan dengan 'Festival Dies Natalis Solis Invicti' atau Festival Kelahiran Sol Invictus. Sol Invictus adalah tuhan matahari yang disembah oleh bangsa Rom Byzantine yang mana telah diadaptasi daripada tuhan bangsa Syria, Elagabalus.

25 Disember dikaitkan dengan tarikh kelahiran seorang lagi figura ajaran paganisme, iaitu Mitra. Mitra adalah dewa masyarakat Parsi yang kemudiannya diadaptasi oleh orang Rom sebagai dewa mereka. Ajaran Mitra dikenali Mitraism yang menjadi anutan ramai masyarakat Rom sebelum kedatangan Kristian pada abad ke-4 Masihi.

Manuskrip pertama yang menyatakan Perayaan Krismas 25 Disember dijadikan cuti umum adalah 'Calender of Filocalus'. Ia dihasilkan untuk Valentinus, seorang bangsawan Rom yang beragama Kristian.

Selain tarikh 25 Disember sebagai tanggal kelahiran Jesus Christ, tarikh-tarikh lain turut dikatakan mempunyai kaitan dengan kelahiran Jesus Christ. Setiap tarikh mempunyai kekuatan dan alasan yang tersendiri seperti mana tarikh 25 Disember yang menjadi tarikh umum kononnya Jesus Christ dilahirkan. Tarikh-tarikh tersebut adalah 5 Januari, 6 Januari, 25 Mac, 28 Mac, 19 April, 20 April, 20 Mei, 21 Ogos, 17 November dan 19 November.

'Santa Claus' adalah nama paling dominan apabila datangnya perayaan Krismas. Santa Claus berasal daripada perkataan Belanda, iaitu SinterKlaas. Santa Claus sebenarnya adalah nama gelaran kepada 'Saint Nicolas of Myrra' yang hidup sekitar abad ke-4 Masihi. Beliau memiliki kegemaran memberi hadiah secara sembunyi-sembunyi kepada kanak-kanak yang kemudian menjadi model kepada Santa Claus pada hari ini. Lazimnya, amalan pemberian hadiah dilakukan pada 6 Disember sempena hari perayaan (feast day) St. Nicholas of Myrra.

Warna tradisional Hari Krismas adalah merah, putih, hijau, perak dan juga warna keemasan. Merah melambangkan darah Jesus Christ ketika disalib manakala hijau melambangkan keabadian kehidupan.

Pokok Krismas antara salah satu elemen paling utama apabila menjelang perayaan Krismas. Pokok Krismas diadaptasi amalan kaum pagan apabila menjelang musim Sejuk Solstis yang menjadikannya sebagai bahan untuk upacara penyembahan. Apabila agama Kristian tersebar di Eropah, kaum pagan yang telah memeluk Kristian meneruskan tradisi ini semasa perayaan Krismas. Bentuknya seakan-akan segitiga dikaitkan dengan doktrin triniti yang menjadi dasar mazhab Katholik.

Perkataan ‘Christmas Tree’ direkodkan buat pertama kali pada 1835 yang mana diambil daripada perkataan Jerman. Pokok Krismas digunakan buat pertama kali semasa perayaan Krismas oleh pengasas mazhab Prostestan, Martin Luther (1483-1546) pada abad ke-16.

Musim panas, tapi banyak salji turun! Kelakar...

Seperti mana Pokok Krismas yang menjadi elemen utama semasa perayaan Krismas, Orang Salji atau Snowman juga sering mewarnai kemeriahan perayaan Krismas. Asal-usul Orang Salji masih tidak dapat dipastikan namun ilustrasi Orang Salji dapat ditemui di dalam buku ‘Book of Hours’ yang bertarikh 1380 di The Hague. Kemungkinan besar, penggunaan Orang Salji digunakan lebih lama daripada tarikh tersebut.

Orang Salji paling besar pernah dibina adalah yang dibina di 2008 di Bethel, Maine. Orang Salji tersebut berdiri setinggi 37.21 meter dan dinamakan Olympia sempena Senator Parti Republikan Amerika Syarikat, Olympia Snowe.

Perkataan Krismas sering disingkat menjadi ‘Xmas’. Ia diambil daripada abjad Greek yang ke-22 iaitu ‘X’. Sebutan ‘X’ memberikan bunyi seperti ‘Christ’ dan lama-kelamaan menjadi singkatan kepada perkataan Krismas.

Jadi, kepada sesiapa yang mengatakan Krismas adalah perayaan untuk menyambut kelahiran Isa a.s. adalah silap sama sekali kerana asal Krismas adalah daripada perayaan Pagan yang kemudiannya diadaptasikan ke dalam agama Kristian setelah penganut pagan bertukar menjadi Kristian.

Monday, 17 December 2012

Tanpa tasauf, fasiq!

Orang yang hanya belajar fiqh, tanpa belajar tasawuf (antara kitab besar tasawuf ialah Al-Hikam) adalah fasiq?

Kata Imam Malik رضي الله عه :
"Fiqh tanpa tasawwuf adalah fasiq. Tasawwuf tanpa fiqh adalah zindiq. Menghimpun antara keduanya itu yang haq."

Kata-kata ini telah disepakati oleh seluruh ulama 'arifin walaupun dengan makna yang berbeza-beza, tetapi membawa kepada maksud yang sama; iaitu wajib menghimpunkan kedua-dua fiqh dan tasawwuf. Mengamalkan fiqh semata-mata tanpa disertai tasawwuf boleh membawa seseorang itu kepada menjadi fasiq. Wal Iyazubillah.

Wednesday, 12 December 2012

Hukum: Menentang Pemerintah Zalim!

Punca kejatuhan kerajaan Perak: 3 ekor katak yang melompat


Hujah Golongan Pertama

Dalil-dalil golongan pertama (Wajib taat kepada pemerintah walaupun zalim selagimana pemerintah tidak menyuruh kepada maksiat).

Ada beberapa hadis yang menyuruh rakyat supaya taat dan patuh kepada pemerintah dan yang paling jelas ialah seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Ubadah bin Samit r.a. katanya:

“Rasulullah s.a.w. telah memanggil kami maka kami sahut panggilan baginda dan terus bermubaya’ah dengan baginda. Antara perkara yang kami berjanji dalam mubaya’ah itu ialah taat setia dalam masa suka atau duka, senang atau susah, dan akan berkorban, dan tidak merebut kuasa dari tangan orang yang memegangnya. Sabdanya: kecuali jika kamu lihat kekafiran yang terang-terang yang kamu dapat bukti menurut pengajaran Allah s.w.t.”

Kedua, hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah bahawa Rasulullah s.w.t. telah bersabda:

“Akan dilantik ke atas kamu para pemerintah, ada yang kamu kenali (yang baik) dan ada yang kamu sangkal (yang jahat). Maka barangsiapa yang membenci, maka dia telah membersihkan dirinya, dan barangsiapa yang menyangkal maka selamatlah dia. Akan tetapi barangsiapa yang hatinya rela dan menurut sahaja…Ujar mereka: “Wahai Rasulullah, tidakkah patut kami perangi mereka? Jawab baginda: Jangan, selama mereka mendirikan sembahyang.”

Ketiga, Hadis yang diriwayatkan oleh Auf bin Malik al Asyja’ie, katanya: “Saya telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sebaik-baik pemerintah kamu ialah mereka yang kamu kasihkan mereka dan mereka kasihkan kamu. Kamu berdoa bagi mereka dan mereka berdoa bagi kamu. Dan sejahat-jahat pemerintah ialah mereka yang kamu benci kepada mereka dan mereka bencikan kamu. Kamu melaknati mereka dan mereka melaknati kamu. Lalu para sahabat berkata, “ Tidakkah kami mesti bangkit menentang mereka? Jawab baginda, “Jangan! Selama mereka mendirikan solat bersama kamu(sabdanya dua kali). Kecuali jika ada orang melihat pemerintah itu melakukan sesuatu maksiat kepada Allah maka hendaklah dia membenci apa yang dilakukan dari maksiat itu tetapi jangan sekali-kali menarik diri dari mentaatinya..”

Jelas bahawa hadis di atas menjadi dalil bahawa haram bagi orang Islam bangkit menentang pemerintah yang beragama Islam, dengan menggunakan pedang (senjata) dan merebut kuasa dari tangannya untuk diserahkan kepada orang lain, kecuali jika ia keluar dari agama Islam atau meninggalkan sembahyang dan tidak mendirikannya dengan orang ramai.


Hujah Golongan Kedua

1.  Adapun mereka yang lain dari mereka itu adalah berhujjah dengan ayat-ayat suci dan banyak hadis-hadis yang warid yang mewajibkan “Al Amru bil ma’ruf wan Nahyu ‘anil munkar”, dan tiada padanya sebarang perbezaan yang mesti dilakukan di antara orang-orang yang mengabaikan ma’aruf dan mengerjakan munkar.
2.  Begitu juga mereka berdalilkan dengan hadis-hadis yang menegah taatkan pemerintah dalam perkara maksiat terhadap Allah Ta’ala sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w.:
لا طاعة في مغصية الله انما الطاعة في معروف

“Tidak harus taatkan sesiapa kerana melakukan maksiat terhadap Allah. Sesungguhnya ketaatan itu ialah pada perkara kebaikan.”

Dan sabdanya lagi,

على المرء المسلم السمع و الطاعة فيما أحبّ وكره الاّ أن يؤمر بمعصية فان أمر بمعصية فلا سمع و لا طاعة

“Wajib di atas orang Islam itu taat dan patuh sama ada pada perkara yang dia suka atau tak suka, kecuali jika disuruh melakukan maksiat. Maka kalau ia disuruh melakukan maksiat, tidaklah wajib ia taat dan patuh.”

3.   Mereka juga berdalilkan bahawa Allah Ta’ala memerintah orang-orang Islam bertolong-tolongan di atas perkara- perkara kebajikan dan takwa dan mengharamkan ke atas mereka tolong-menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. Firman Allah:

“Dan bertolong menolonglah dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan janganlah tolong menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.”

Bersikap diam terhadap pemerintah yang zalim sedangkan dia melakukan penganiayaan ke atas hamba-hamba Allah adalah merupakan perbuatan bertolong-tolongan atas dasar dosa dan permusuhan.

4.   Mereka juga berdalilkan dengan hadis-hadis yang menggesa individu muslim mempertahankan harta benda dan maruah kesopanannya dan kalau dia mati kerana tindakannya itu, maka matinya adalah mati syahid yang dimuliakan di sisi Allah Ta’ala. Menurut sebuah hadis sahih baginda Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

من قتل دون ماله فهو شهيد و من قتل دون دمه فهو شهيد قتل دون دينه فهو شهيد ومن قتل دون أهله فهو شهيد

“Barangsiapa yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya maka dia syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan nyawanya maka dia syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan agamanya maka dia syahid, dan sesiapa yang terbunuh kerana mempertahankan ahli keluarganya maka dia juga syahid.”

Hadis-hadis yang telah dikemukakan juga meliputi keadaan sekiranya seorang pemerintah mencabuli hak seseorang atau sekumpulan orang-orang Islam lalu mereka mempertahankan hak-hak mereka. Mereka berhak berbuat demikian bahkan kematian mereka dikira sebagai mati syahid kalau dibunuh oleh pemerintah yang zalim dalam keadaan mereka mempertahankan hak-hak mereka.


Pendapat Yang Ditarjihkan

Kaedah menentang pemerintah Islam yang zalim hendaklah ditentukan dengan membezakan antara jenis-jenis kefasikan dan maksiat yang dilakukan oleh pemerintah Islam itu. Sekiranya perkara itu termasuk dalam hal peribadi yang boleh mendatangkan mudarat kepada mereka dari segi agama atau mendatangkan mudarat kepada sebahagian kecil daripada rakyat tanpa sampai kepada tahap yang membuktikan bahawa pemerintah itu telah mengikuti suatu jalan yang terpesong jauh dari jalan Allah dalam perjalanannya mentadbir urusan rakyat, maka perbuatan fasiq dan maksiat yang dilakukan itu tidaklah mengharuskan orang ramai menderhaka terhadapnya dan bangkit menentangnya dengan mengerah penyokong dan pembantu, serta menggunakan senjata untuk menjatuhkannya, selagi dia memimpin orang ramai menurut jalan Allah dan syariatnya dengan secara umum kerana dia tidak mendatangkan bencana kepada mereka dari segi agama, malahan apa yang dilakukannya itu hanya mendatangkan mudarat kepada diri sendiri. Kalaupun ada terlibat di dalamnya beberapa orang tertentu, yang demikian tidaklah boleh disamakan dengan fitnah yang akan timbul dengan memecah belah perpaduan dan pertumpahan darah jika senjata digunakan untuk menjatuhkannya.

Sebaliknya kalau kefasiqan pemerintah itu dan kemaksiatannya kepada Allah merupakan suatu jalan lain yang dipaksakan atas rakyat untuk menerimanya, bukan jalan yang diredhai Allah baik dari segi akidah, akhlak atau hukum-hukum dan memimpin mereka tanpa menggunakan kitab Allah dan sunnah rasulNya, maka fitnah yang timbul dari kesabaran melihat penyelewengan yang melampaui batas itu adalah jauh lebih besar daripada fitnah yang ditimbulkan dengan sebab tindakan menentang dan menghunus pedang terhadapnya.

Wajiblah ke atas orang-orang Islam berjihad menentang pemerintahan seumpama itu dan mengambil segala daya usaha yang halal untuk melucutkannya dari tampuk pemerintahan dan menggantikannya dengan salah seorang yang akan memimpin dan memerintah rakyat menurut landasan Allah yang Maha Suci. Jihad menentang orang-orang kafir itu sendiri pun tidak disyariatkan melainkan dengan tujuan untuk menyingkir manusia-manusia durjana yang memegang tampuk pemerintahan itu dari mendatangkan fitnah kepada rakyat jelata dan untuk menyekat tindakan mereka menahan hamba-hamba Allah dari jalan yang benar dan menikmati cahayaNya, agar dapat mereka memaksa manusia menghayati cara-cara hidup yang dibentuk menurut keinginan hawa nafsu mereka. Allah Ta’ala berfirman:

“Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan (sehingga) menjadilah ugama itu seluruhnya (bebas) bagi Allah semata-mata. kemudian jika mereka berhenti (dari kekufurannya dan gangguannya, nescaya mereka diberikan balasan Yang baik) kerana Sesungguhnya Allah Maha melihat akan apa Yang mereka kerjakan.”

Tidaklah dikatakan seseorang itu pelampau apabila dia berkata seorang pemerintah itu wajib diderhakai kalau sudah jadi tekadnya menyekat manusia dari mengikuti jalan Allah dan memaksa mereka menggunakan hukum-hukum yang tidak kena mengena dengan syariat Allah seraya memfitnahkan mereka dalam agama mereka, meskipun pemerintah itu berpura-pura melahirkan dirinya sebagai seorang Islam. Orang Islam tidak bersetuju dengan pelantikannya sebagai pemerintah melainkan supaya dia menolong mereka dalam usaha agama mereka agar agama kekal dalam negeri mereka dan terus tersebar ke serata pelosok dunia.

Benarkah Umno tu Murtad?

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Ahad melabelkan Umno sebagai parti murtad kerana mendakwa parti itu menolak Islam daripada dasar perjuangannya.


Menurutnya bukan sahaja Umno, malah mana-mana pihak yang memperlekehkan Islam dengan sengaja boleh dianggap murtad kerana tidak mahu menerima hukum Allah sebagai panduan hidup.

“Timbul masalah murtad, katanya sebab paderi Kristian, tapi saya kata tidak (kerana) orang Melayu murtad kerana orang Melayu sendiri memperlekeh Islam.

“Umno tolak Islam, maka nampak dia memperlekehkan Islam. Dia buang Islam. Macam lekehkan benda salah…macam ubat habis tempoh dia buang. Jadi bila Umno buang (Islam), agama apa Umno tu?"

“Murtad ini bukan (hasutan) daripada paderi Kristian, tapi daripada orang Melayu sendiri yang tolak Islam, (maknanya) yang tolak Islam dia murtad. Agama apa Umno pakai? Bila umno tolak Islam dalam dasar parti dia, maka (adakah) Umno sama ada Kristian, Buddha atau tak ada agama?” katanya kepada pemberita pada Muktamar Tahunan PAS ke-58 di sini.

Diminta penjelasan sama ada beliau menjatuhkan hukum murtad kepada Umno selepas mendakwa parti itu memperlekehkan Islam, Nik Abdul Aziz berkata: “Tak kira siapa pun…tak kira kalau tok guru (agama) sekalipun, kalau murtad…murtad lah".

“Usahkan Umno, tok guru berserban atau berjanggut, kalau dia tolak Islam dengan cara hati (niat bahawa) Islam tak guna… (maka) dia murtad walaupun tak ada mufti beritahu. Kalau dia tolak Islam dengan sengaja, yakin bahawa Islam tak guna…dia murad.”

Ditanya pada pandangannya adakah Umno telah memperlekehkan Islam sehingga layak dilabel sebagai murtad, Menteri Besar Kelantan itu berkata: “Tak lekeh apa dia buang Islam.”

Sebelum ini Nik Abdul Aziz pernah menimbulkan kontroversi apabila menuduh Umno dengan pelbagai gelaran, termasuk melabelkan parti itu sebagai kafir kerana tidak memperjuangkan negara Islam.

http://penpasksgb.blogspot.com/2012/11/nik-aziz-umno-parti-murtad.html

p/s: harap AS baca full text..bukan ikut media utama..

Sunday, 9 December 2012

NKH-2 Bandar Baru Bangi

Di antara menu yang disajikan di NKH-2 di Bandar Baru Bangi milik 'abanag' (TKO).

**Nak tengok lebih jelas, sila tukar kualiti (butang yg macam bunga) ke HD.

Monday, 3 December 2012

10 Soklan Najib-Rosmah Kena Jawab!




Soalan mudah yang payah Rosmah nak jawab... AMK mendesak PM Najib Razak jawab 10 soalan sebelum PRU13

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK), Lee Khai Loon mendesak Perdana Menteri Najib Razak menjawab segera 10 soalan penting sebelum PRU13 diadakan.

Beliau telah menjadi Perdana Menteri yang sarat dengan paling banyak skandal dalam sejarah Malaysia serta ada keperluan untuk beliau tampil ke depan dan bersihkan namanya.

Dapat juga dilihat kegagalan Perhimpunan Agung UMNO 2012 dalam mengemukakan sebarang pandangan dan halatuju negara dalam mencapai perubahan yang baik kepada rakyat.

PM Najib Razak langsung tidak menyentuh tentang isu rasuah dan penyelewengan dalam UMNO, tetapi memilih untuk serang dan mengaibkan Pakatan Rakyat. Perbuatan tersebut sekadar menunjukkan bahawa Umno telah hilang keyakinan untuk menang dalam PRU13.

Sekiranya beliau ada keikhlasan untuk mengakui kesalahan yang dibuat oleh Umno/BN sejak dulu, maka 10 soalan yang dikemukakan oleh AMK perlu dijawab dengan serius agar rakyat dalam menilai dengan informasi yang mencukupi dan gambaran yang sebenar.

"Aku apa peduli?"

SOALAN 1:
Sekiranya Najib Razak menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang paling demokratik di dunia, kenapa sampai hari ini masih enggan untuk berdebat dengan Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim? Bukankah berdebat adalah sebahagian ciri penting dalam sistem demokrasi?

SOALAN 2:
Sebagai seorang pemimpin negara yang bertanggungjawab serta hormat pada kuasa rakyat, bagaimanakah Najib Razak menangani kekalahan yang bakal dihadapi oleh UMNO/BN dalam PRU13? Bagaimanakah beliau memastikan peralihan kuasa secara aman kepada Pakatan Rakyat?

SOALAN 3:
Jikalau Najib Razak ingin mengambil martabat wanita, kenapa memecah rekod Malaysia dengan menjadi lelaki pertama merangkap Menteri Wanita? Adakah UMNO/BN ketandusan pimpinan wanita yang berkebolehan dan ada kredibiliti.

SOALAN 4:
Dalam konteks mencari kebenaran serta urus tadbir yang baik, kenapa kerajaan UMNO/BN menghalang peguam Perancis masuk ke Malaysia untuk memberi taklimat tentang perkembangan terkini perbicaraan skandal pembelian kapal selam Scorpene? Kenapa diperalatkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ke atas Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) yang membawa kes skandal Scorpene tersebut ke Mahkamah di Perancis?

SOALAN 5:
Apakah pandangan Najib Razak terhadap skandal RM40 juta Ketua Menteri Sabah, Musa Aman sebagai komisen pembalakan serta sumbangan politik? Adakah kerajaan Umno/BN akan menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk membuat siasatan ke atas kes rasuah dan konflik kepentingan?

SOALAN 6:
Kenapa Najib Razak masih membisu terhadap pelbagai dakwaan serius yang dibuat oleh ahli perniagaan Deepak Jaikishan khasnya dalam projek Kementerian Pertahanan yang berjumlah RM100 juta pada tahun 2005 yang berkait rapat dengan keluarga Najib? Adakah kerajaan Umno/BN cuba untuk melindungi kebenaran daripada diketahui oleh rakyat?

SOALAN 7:
Bekas Ketua Polis Musa Hassan telah menuduh Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein Onn campur tangan dalam urusan pentadbiran PDRM. Bagaimanakah Najib Razak menangani isu profesionalisme dan kewibawaan polis yang dimanipulasi oleh parti Umno/BN?

SOALAN 8:
Kenapa kerajaan Umno/BN berdegil untuk tetap membenarkan loji nadir bumi Lynas untuk beroperasi di Malaysia walaupun ditentang keras oleh rakyat? Adakah menarik pelaburan asing lebih penting daripada memelihara kesihatan rakyat? Rakyat didahului seperti yang diwar-warkan dalam slogan 1 Malaysia hanya slogan kosong yang tidak bermakna apa-apa?

SOALAN 9:
Kenapa penstrukturan semula subsidi sering kali dikenakan ke atas barang keperluan rakyat, tetapi langsung tidak mengkaji semula perjanjian Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) yang jelas berat sebelah? Adakah Najib Razak lebih suka membuat public relation exercise tetapi enggan menangani masalah pokok dalam kenaikan harga barang-barang?

SOALAN 10:
Walaupun pembubaran Dewan Rakyat terletak pada tangan Perdana Menteri, adakah Najib Razak akan mencontohi Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid yang telah mengumumkan bahawa Dewan Negeri Selangor akan dibubar pada bulan Mac 2013? Kenapa Najib Razak masih bersenang hati dengan rakyat sentiasa meneka tarikh PRU13? Kenapa tidak menetapkan tarikh tersebut dengan lebih awal?
Jangan lari daripada permintaan rakyat serta menjalankan reformasi tulen termasuk perang rasuah serta melaksanakan urus tadbir yang telus dan baik sebelum PRU13.

LEE KHAI LOON
Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia

Sunday, 2 December 2012

Kronologi Pembunuhan: Altantuya

"Deepak lakukan perkara yang betul" – PI Bala


Lelaki yang mendakwa telah dipaksa untuk mengubah akuan bersumpahnya yang sebelum itu mengaitkan Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu berkata, beliau gembira apabila kebenaran akhirnya terserlah.

Penyiasat persendirian, P Balasubramaniam (PI Bala) berkata, ahli perniagaan permadani, Deepak Jaikishan, yang terlibat mendapatkannya mengubah akuan berkanun (SD) itu, telah melakukan ‘perkara yang betul’.

Dalam responsnya kepada Malaysiakini, Balasubramaniam menggesa Deepak supaya mendedahkan segala-gala yang diketahui mengenai perkara itu.

Katanya, beliau mahu Deepak mengesahkan siapa sebenarnya individu yang terlibat dari awal hingga akhir?

Balasubramaniam kini hidup dalam buangan bersama keluarganya di India selama tiga tahun sejak beliau melarikan diri ke negara itu selepas menandatangani SD kedua.

SIAPAKAH RAKAN WANITA DEEPAK ITU?

Deepak, dalam wawancara Malaysiakini awal minggu ini, berkata pembabitannya dalam konspirasi itu adalah ekoran permintaan dari seorang “rakan wanita” yang dikaitkan dengan pihak-pihak yang akan terjejas oleh SD pertama Balasubramaniam.

Sementara itu, Balasubramaniam berkata, beliau mahu tahu siapa peguam yang didakwa merangka SD kedua, yang menurutnya, telah disediakan tanpa “pengetahuan atau input” daripadanya.

“Persoalannya ialah siapa yang melakukannya? Tiada siapa yang interviu saya sebelum menyediakan SD kedua.

“Ia disediakan tanpa pengetahuan atau input saya. Saya ingin mengetahui siapa peguam ini,” katanya. Pengakuan peniaga karpet Deepak menarik balik sokongan terhadap 'Akuan Bersumpah' kedua PI Balasubramaniam (Deepak: Bala kerana terlibat kes Bala) telah menjadikan isu pembunuhan warga Mongolia itu 'hidup semula'.

Ini adalah 'Akuan Bersumpah' (SD) pertama yang telah diikrarkan oleh PI Balasubramaniam sebelum ini yang di'tindih' dengan 'aku bersumpah' beliau yang kedua dalam masa yang singkat bersekali dengan 'kehilangan' beliau tanpa dapat dikesan.
Teks ini adalah terjemahan daripada SD asal yang dibuatnya dalam bahasa Inggeris.

Kes Altantuya: Terjemahan Akuan Bersumpah PI Bala

Saya, Balasubramaniam a/l Perumal …. dengan sesungguhnya mengaku seperti berikut ;



1. Saya pernah berkhidmat sebagai anggota Polis dengan Polis Di Raja Malaysia, menyertai pasukan ini sebagai seorang Konstabel dalam tahun 1981. Kemudian saya dinaikkan pangkat ke Lans Koperal dan akhirnya meletakkan jawatan daripada pasukan Polis dalam tahun 1988 sewaktu bersama Special Branch.

2. Saya bekerja sebagai Penyiasat Persendirian sebaik saja meninggalkan pasukan Polis.

3. Antara bulan Jun atau Julai 2006, saya telah diambil bekerja selama 10 hari oleh Abdul Razak Baginda untuk mengawasi beliau di pejabatnya yang terletak di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang antara jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang setiap hari bekerja ekoran gangguan yang dialaminya dari pihak ketiga.

4. Saya berhenti daripada tugas tersebut selepas 2 ½ hari ekoran saya tidak menerima sebarang arahan yang sepatutnya.

5. Walaubagaimanapun saya telah diambil semula oleh Abdul Razak Baginda pada 5 Oktober 2006 ekoran gangguan panggilan telefon daripada seorang lelaki Cina yang mengenalkan diri sebagai ASP Tan yang mengugutnya supaya menjelaskan hutang. Kemudian saya mengenalpasti lelaki tersebut dikenali sebagai Ang, seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh seorang wanita Mongolia bernama Altantuya Shaaribu.
6. Abdul Razak Baginda risau berhubung individu bernama Altantuya Shaaribuu, wanita Mongolia di sebalik ugutan ini dan bimbang wanita ini akan sampai ke Malaysia untuk menghubunginya.

7. Abdul Razak Baginda memberitahu saya bahawa dia bimbang bahawa Altantuya ada ‘kuasa’ yang diberikan oleh bomoh Mongolia dan menyebabkan dia akan ‘tunduk’ kepada Altantuya.

8. Bila saya bertanya berkenaan wanita Mongolia itu, Abdul Razak Baginda beritahu saya bahawa wanita itu adalah kawannya yang telah diperkenalkan kepadanya oleh VIP dan meminta beliau membantu dari segi kewangan.

9. Saya menasihatkannya agar membuat laporan Polis berhubung ugutan yang diterima melalui panggilan telefon daripada lelaki Cina bergelar ASP Tan tetapi dia menolak untuk berbuat demikian dan memberitahu saya ianya melibatkan individu berprofil tinggi.

10. Abdul Razak Baginda seterusnya beritahu saya bahawa Altantuya seorang penipu besar dan bijak mempengaruhi orang. Wanita ini juga didakwanya sebagai ‘mata duitan’ dan dia ada membiayai harta milik Altantuya di Mongolia.

11. Kemudian Abdul Razak Baginda memberi saya dengar beberapa mesej suara di dalam telefon bimbit yang meminta dia membayar apa yang sepatutnya, jika tidak dia akan dipukul dan anak perempuannya dimalukan.

12. Oleh kerana itu, saya dicadangkan untuk melindungi anak perempuannya Rowena dengan sebaik mungkin.

13. Pada 9 Oktober 2006, saya menerima panggilan telefon dari Abdul Razak Baginda kira-kira jam 9.30 pagi dan saya diberitahu bahawa Altantuya berada di pejabatnya dan meminta saya ke sana segera.

Oleh kerana pada waktu itu saya sedang dalam tugas pengawasan, saya menghantar Suras ke pejabat Abdul Razak Baginda dan saya akan turut serta kemudian. Suras bertindak mengawal situasi dan dia meminta secara sopan agar Altantuya dan dua orang rakannya meninggalkan premis tersebut.
Bagaimanapun Altantuya meninggalkan nota yang ditulis dalam Bahasa Inggeris di atas kertas berlabel Hotel Malaya, meminta Abdul Razak Baginda menghubunginya melalui nombor telefon bimbit (nombor diberi) dan menulis sekali nombor bilik hotelnya dengan jelas.

14. Altantuya telah memperkenalkan dirinya kepada Suras sebagai ‘Aminah’ dan memaklumkan kepada Suras tujuan dia ke sana adalah untuk menemui teman lelakinya.

15. Tiga orang wanita Mongolia ini bagaimanapun telah datang semula ke pejabat Abdul Razak Baginda yang terletak di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang pada keesokan harinya kira-kira jam 12.00 tengahari. Mereka tidak memasuki ke dalam bangunan itu tetapi sekali lagi memberitahu Suras yang mereka mahu menemui teman lelaki Aminah, Abdul Razak Baginda.

16. Pada 11 Oktober 2006, Aminah sendiri datang semula ke pejabat Abdul Razak Baginda dan memberi kepada saya sekeping nota untuk diserahkan kepada Abdul Razak Baginda, saya serahkan. Abdul Razak Baginda menunjukkan nota tersebut kepada saya yang pada asasnya memintanya menghubungi wanita Mongolia itu dengan segera.

17. Saya mencadangkan kepada Abdul Razak Baginda bahawa adalah lebih baik diatur agar Altantuya ditahan jika masih terus bertindak mengganggunya, tetapi dia menolak kerana merasakan wanita itu akan pulang segera ke Mongolia sebaik saja menerima wang yang diminta.

18. Dalam masa yang sama, saya mengaturkan tugas untuk Suras di Hotel Malaya bagi mengawasi setiap pergerakan ketiga-tiga wanita Mongolia itu, tetapi mereka mengenalinya. Rupanya mereka menjadi kawan Suras selepas itu dan Suras mengakhirinya selepas meluangkan masa beberapa malam di bilik hotel mereka.

19. Bila Abdul Razak Baginda mendapat tahu yang Suras semakin rapat dengan Aminah dia meminta saya keluarkan Suras daripada Hotel Malaya.

20. Pada 14 Oktober 2006, Aminah pergi ke rumah Abdul Razak Baginda di Damansara Heights bila saya tiada di sana. Abdul Razak Baginda menelefon telefon bimbit saya dan memaklumkan kepada saya tentang kehadiran Altantuya, saya terus bergegas kembali ke rumahnya. Bila tiba, saya dengar Aminah menjerit “Razak, haram jadah, keluar dari rumah”. Saya cuba menenangkannya tetapi gagal, jadi saya telefon Polis dan mereka sampai dengan dua buah kereta peronda. Saya menjelaskan situasi sebenar kepada anggota Polis, kemudian membawanya pergi dari situ menuju ke Balai Polis Brickfields.

21. Saya mengikut kereta peronda tersebut menuju Balai Polis Brickfields dengan sebuah teksi. Saya telefon Abdul Razak Baginda dan peguamnya Dirren meminta mereka buat repot Polis tetapi mereka enggan berbuat demikian.

22. Semasa berada di Balai Polis Brickfields, penyiasat persendirian Aminah, Mr Ang tiba dan kami berbincang bersama. Saya diberitahu untuk menyampaikan permintaan kepada Abdul Razak Baginda berupa wang sebanyak USD 500,000 dan tiga tiket penerbangan ke Mongolia, yaitu komisen yang belum dibayar kepada Altantuya hasil daripada perjanjian di Paris.
23. Sebaik Aminah ditenangkan pada ketika ini, seorang polis wanita di Balai Polis Brickfields menasihatkan saya agar pulang dan selesaikan masalah ini secara berhemah.

24. Saya memberitahu Abdul Razak Baginda tentang permintaan yang dibuat Aminah dan saya beritahunya yang saya kecewa kerana tiada yang mahu mendengar pandangan saya supaya membuat laporan Polis. Kami berbincang panjang tentang situasi itu bila saya menyuarakan hasrat untuk keluar dari tugasan ini.

25. Sepanjang perbincangan tersebut dan percubaan untuk memujuk saya agar terus bekerja untuknya, Abdul Razak Baginda menjelaskan kepada saya tentang perkara berikut ;

i) Dia telah diperkenalkan dengan Altantuya oleh Najib Razak dalam satu pameran berlian di Singapura.

ii) Najib Razak beritahu Abdul Razak Baginda yang dia ada hubungan seks dengan Altantuya dan Altantuya tiada masalah melakukan seks melalui dubur.

iii) Najib Razak mahukan Abdul Razak Baginda menjaga Aminah kerana dia tidak mahu wanita itu memalukannya semenjak menjadi Timbalan Perdana Menteri sekarang.

iv) Najib Razak, Abdul Razak Baginda dan Aminah pernah makan malam bersama di Paris.

v) Aminah mahukan duit daripadanya justeru merasakan dia berhak ke atas komisen USD 500,000 kerana turut membantu dalam perjanjian pembelian kapal selam di Paris.

26. Pada 19 Oktober 2006, saya tiba di rumah Abdul Razak Baginda di Damansara Heights untuk bertugas waktu malam. Seperti biasa saya letakkan kereta di luar. Saya nampak sebuah teksi Proton Perdana kuning lalu dengan tiga penumpang wanita, seorang daripadanya ialah Aminah. Teksi itu membuat ‘pusingan U’ dan berhenti di hadapan rumah lalu penumpang wanita menurunkan cermin tingkap dan mengucapkan ‘Happy Deepavali’ kepada saya. Kemudian teksi itu terus beredar.

27. Lebih kurang 20 minit kemudian teksi tadi datang semula bersama dengan Aminah sahaja di dalam. Aminah keluar dari teksi dan berjalan ke arah saya dan bercakap dengan saya. Saya hantar SMS pada Abdul Razak Baginda dan memaklumkan “Aminah ada di sini”. Saya terima SMS daripada Razak mengarahkan saya “lengahkan dia sehingga orang saya sampai”.

28. Dalam perbualan saya dengan Aminah, dia beritahu saya seperti berikut ;

i) bahawa dia bertemu Razak di Singapura bersama Najib Razak.

ii) bahawa dia juga bertemu Abdul Razak Baginda dan Najib Razak sewaktu makan malam di Paris.

iii)bahawa dia dijanjikan sejumlah USD 500,000 sebagai komisen kerana membantu dalam perjanjian pembelian kapal selam di Paris.

iv) bahawa Abdul Razak Baginda ada membelikannya sebuah rumah di Mongolia tetapi abangnya terpaksa membiayai semula rumah tersebut dan dia sangat memerlukan wang untuk menebus balik.

v) bahawa ibunya sedang sakit dan dia perlukan wang untuk membiayai kos rawatan.

vi) bahawa Abdul Razak Baginda pernah mengahwininya di Korea sebagaimana ibunya berbangsa Korea manakala ayahnya berbangsa campuran Mongolia/Cina.

vii)bahawa jika saya tidak membenarkannya untuk bertemu Abdul Razak Baginda, adakah saya boleh aturkan untuknya berjumpa dengan Najib Razak.

29. Selepas berbual dengan Aminah lebih kurang 15 minit, sebuah Proton Aeroback merah sampai dengan seorang wanita dan dua lelaki. Saya kenal wanita itu sebagai Lans Koperal Rohaniza dan dua lelaki itu ialah Azilah Hadri dan Sirul Azhar. Mereka semua berpakaian biasa. Azilah berjalan ke arah saya manakala dua lagi menunggu di kereta.

30. Azilah bertanya kepada saya samada wanita itu Aminah dan saya kata “Ya”. Kemudian dia berjalan sambil membuat beberapa panggilan telefon melalui telefon bimbitnya. Selepas 10 minit sebuah kenderaan, Proton Saga berwarna biru, dipandu seorang lelaki Melayu lalu secara perlahan. Cermin pemandunya sedia terbuka dan pemandu tersebut hanya memerhatikan kami.

31. Kemudian Azilah beritahu saya bahawa dia akan membawa Aminah pergi. Saya beritahu Aminah yang mereka akan menahannya. Kemudian dua orang lagi keluar dari kereta dan bertukar tempat duduk, oleh itu Lans Koperal Rohaniza dan Aminah di belakang manakala dua lelaki di hadapan. Mereka beredar dari situ dan itulah kali terakhir saya menemui Aminah.

32. Abdul Razak Baginda tiada di rumahnya sewaktu semuanya ini berlaku.

33. Selepas 19 Oktober 2006, saya menyambung tugas untuk Abdul Razak Baginda di rumahnya di Damansara Heights dari jam 7.00 petang hingga jam 8.00 keesokan paginya, berikutan mesej ugutan yang diterimanya dari seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Amy’ yang juga merupakan sepupu ‘Aminah’ di Mongolia.

34. Pada malam 20 Oktober 2006, kedua-dua orang rakan Aminah datang ke rumah Abdul Razak Baginda dan bertanya di mana Aminah berada. Saya beritahu mereka bahawa Aminah telah ditangkap malam semalam.

35. Beberapa malam berikutnya, dua wanita Mongolia itu, Mr. Ang dan seorang lagi wanita Mongolia yang dikenali sebagai Amy datang semula ke rumah Abdul Razak Baginda untuk mencari Altantuya yang dipercayai sedang dikurung di dalam rumah.

36. Bila kekecohan mula berlaku, lalu saya menghubungi Polis yang tiba seketika kemudian dengan kereta peronda. Sebuah lagi kereta peronda sampai kemudian bersama dengan pegawai penyiasat dari Balai Polis Dang Wangi yang bertanggungjawab terhadap laporan kehilangan orang yang dibuat oleh salah seorang wanita Mongolia, saya percaya ianya Amy.

37. Saya menghubungi Abdul Razak Baginda yang sedang berada di rumah dan beritahunya tentang apa yang sedang berlaku di hadapan pintu gate rumahnya. Kemudian dia menghubungi DSP Musa Safri dan menghubungi saya semula memberitahu bahawa DSP Musa Safri akan menelefon telefon bimbit saya dan saya akan menyerahkan telefon bimbit itu kepada Inspektor daripada Balai Polis Dang Wangi.

38. Kemudian saya menerima panggilan telefon dari DSP Musa Safri dan terus saya serahkan telefon bimbit saya kepada Inspektor Dang Wangi itu. Selepas perbualan mereka sepanjang 3 – 4 minit dia beritahu wanita Mongolia itu supaya beredar dan datang untuk berjumpa dengannya pada hari berikutnya.

39. Pada atau kira-kira 24 Oktober 2006, Abdul Razak Baginda mengarahkan saya untuk menemaninya pergi ke Balai Polis Brickfields sebagaimana beliau dinasihatkan untuk membuat laporan polis berhubung dengan gangguan yang diterimanya daripada wanita Mongolia ini.

40. Sebelum ini, Amy ada menghantar SMS kepada saya memaklumkan dia pergi ke Thailand untuk membuat repot ke Konsulat Mongolia berhubung kehilangan Aminah. Rupanya dia juga menghantar SMS yang sama pada Abdul Razak Baginda. Inilah sebabnya mengapa Razak beritahu saya bahawa dia dinasihatkan agar membuat laporan Polis.

41. Abdul Razak Baginda beritahu saya yang DSP Musa Safri telah memperkenalkannya dengan seorang bernama DSP Idris, ketua jabatan jenayah, Balai Polis Brickfields, dan DSP Idris merujukkan dia kepada ASP Tonny.

42. Bila Abdul Razak Baginda membuat laporan Polis di Balai Polis Brickfields, di hadapan ASP Tonny, dia diminta membuat kenyataan tetapi dia menolak seperti yang dia kata bahawa dia berada di luar negara. Dia bersetuju bagaimanapun berjanji akan menyediakan kenyataan itu dan menyerahkan ‘thumbdrive’ kepada ASP Tonny. Saya tahu ini tidak dilakukan sebagaimana ASP Tonny beritahu saya.

43. Bagaimanapun hari berikutnya ASP Tonny meminta saya pula menyediakan kenyataan dan saya lakukan.

44. Saya berhenti kerja untuk Abdul Razak Baginda pada 26 Oktober 2006 yaitu pada hari yang sama dia meninggalkan negara pergi ke Hong Kong.

45. Pada pertengahan November 2006, saya menerima panggilan telefon daripada ASP Tonny dari IPK Jalan Hang Tuah meminta saya berjumpa dengannya berhubung kes Aminah. Bila saya sampai di sana serta-merta saya ditahan di bawah Seksyen 506 Kanun Acara Jenayah kerana mengugut.

46. Saya ditempatkan di dalam lokap dan direman selama 5 hari. Pada hari ketiga, saya dibebaskan atas jaminan Polis.

47. Pada penghujung November 2006, jabatan D9 IPK menghantar seorang detektif ke rumah saya untuk mengiringi saya ke IPK Jalan Hang Tuah. Bila sampai, saya diberitahu bahawa saya ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Acara Jenayah kerana membunuh. Saya dilokap dan direman selama 7 hari.

48. Saya dibawa ke Bukit Aman dan di sana saya disoal-siasat berhubung SMS yang saya terima daripada Razak Baginda pada 19 Oktober 2006 yang bertulis “lengahkan dia sehingga orang saya sampai”. Mereka rupanya mendapat mesej ini daripada telefon bimbit Abdul Razak Baginda.

49. Kemudian mereka merekodkan semua kenyataan saya dari jam 8.00 pagi sehingga 6.00 petang setiap hari selama 7 hari berturut-turut. Saya beritahu mereka semua yang saya tahu termasuklah segala apa yang Razak Baginda dan Aminah beritahu saya tentang hubungan mereka dengan Najib Razak tetapi bila saya datang untuk tandatangan kenyataan saya, semua butiran terperinci dibuang.

50. Saya memberi bukti dalam perbicaraan Azilah, Sirul dan Abdul Razak Baginda di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Pendakwa tidak bertanya sebarang soalan kepada saya tentang hubungan Aminah dengan Najib Razak atau tentang panggilan telefon yang saya terima dari DSP Musa Safri, yang dipercayai sebagai ADC kepada Najib Razak dan/atau isterinya.

51. Pada hari Abdul Razak Baginda ditahan, saya bersama dia di pejabat peguamnya pada jam 6.30 pagi. Abdul Razak Baginda memaklumkan kepada kami bahawa dia telah menghantar mesej kepada Najib pada petang sebelumnya untuk menyatakan bahawa dia tidak percaya bahawa dia akan ditahan, tetapi tidak menerima sebarang respons.
52. Ringkasnya selepas itu, kira-kira jam 7.30 pagi, Abdul Razak Baginda menerima SMS daripada Najib Razak dan menunjukkannya kepada saya dan peguamnya. Mesej ini dibaca seperti berikut : “Saya akan berjumpa KPN pada jam 11.00 pagi ini… segala masalah akan selesai… tenanglah”.

53. Saya difahamkan bahawa Abdul Razak Baginda telah ditahan pada pagi yang sama di pejabatnya yang terletak di Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang.

54. Tujuan Pengakuan Bersumpah ini adalah untuk ;

i) Menyatakan kekecewaan saya terhadap mutu siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa dalam kes yang melibatkan pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

ii) Mendedahkan maklumat dari sumber yang kukuh menunjukkan memang wujud individu lain selain tiga tertuduh yang mesti memainkan peranan dalam pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

iii)Merayu kepada pihak berkuasa agar membuka semula penyiasatan mereka dalam kes ini segera dan dengan itu boleh jadi sebarang bukti baru diajukan ke mahkamah terlebih dahulu di penghujung pendakwaan kes.
iv) Berdasarkan fakta dan pengalaman saya pernah bertugas dalam Polis Di Raja Malaysia selama 17 tahun, sesungguhnya saya yakin tiada pegawai Polis yang akan menembak seseorang di kepala dan meletupkan badan mereka tanpa menerima arahan khusus daripada pihak atasan mereka terlebih dahulu.

v) Menyatakan kebimbangan saya mengapa pihak pembela tidak dipanggil dalam perbicaraan pembunuhan yang dimaksudkan, tertuduh Azilah dan Sirul tidak perlu bersumpah dan bersaksi sebagaimana arahan yang diterima dan daripada siapa mereka berdua menerima arahan.

55. Dan saya membuat pengakuan ini dengan tenang dan teliti serta percaya ianya adalah benar dan dengan niat baik sebagaimana peruntukan dalam Akta 1960 Akuan Bersumpah.



Balasubramaniam a/l Perumal

1 Julai 2008