Thursday, 20 September 2012

Titian Sirat-ul Mustaqiim


Tempoh perjalanan di titian Sirat


Gambaran akan nasib masing-masing


Perjalanan semua manusia di atas Sirat-ul Mustaqim adalah berbagai di antaranya ialah;

i) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas kilat.

ii) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti tiupan angin.

iii) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti burung terbang.

iv) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat seperti kelajuan kuda lumba.

v) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas lelaki perkasa.

vi) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat sepantas binatang peliharaan.

vii) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat dalam tempoh sehari semalam.

viii) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama satu bulan.

9) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama bertahun-tahun.

10) Ada golongan yang dapat melintasi Titian Sirat selama 25 ribu tahun.

Semua kiraan masa itu adalah mengikut kiraan masa dunia.

Di antara tips untuk melepasi titian sirat-ul mustaqiim.

Dalam sebuah hadith panjang riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud;

“Dan diletakkan sebuah jambatan di atas neraka jahannam, lalu aku dan umatku menjadi orang pertama yang meniti di atasnya. Rasul-rasul berdoa pada hari itu: ‘Ya Allah, selamatkan, selamatkan.’ Di kanan kirinya ada pengait-pengait seperti duri pokok Sa’dan. Pernahkah kalian melihat duri pokok Sa’dan?”

Para sahabat menjawab, “pernah, wahai Rasulullah.”

Baginda melanjutkan: “Sesungguhnya pengait itu seperti duri poko Sa’dan, namun hanya Allah yang tahu besarnya. Maka ramai manusia yang disambar dengan pengait itu sesuai dengan amal perbuatannya di dunia.”

Suasana pada saat itu pastinya mengerikan. Suara seperti teriakan, jeritan meminta tolong, tangisan, dan ketakutan terdengar dari pelbagai arah. Lebih mengerikan suara gemuruh api neraka dari bawah sirat yang siap sedia menelan mereka yang terjatuh ke dalamnya. Tidak henti-henti Rasulullah s.a.w. dan nabi-nabi yang lain termasuk juga malaikat berdoa untuk keselamatan manusia,

“Ya Allah, selamatkan, selamatkan.”

Setiap muslim wajib menjadikan kepercayaan kepada perkara ini sebagai aqidahnya. Berkenaan dengan sifat titian ini, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mafhumnya: “Ia ialah sebuah jalan yang sangat licin, kaki sulit sekali berdiri di atasnya.” (Riwayat Imam Muslim daripada Abu Said Al-Khudri)

Dalam hadith Ahmad daripada Aisyah r.h.a., Rasulullah s.a.w. menyifatkan bahawa sifat titian itu adalah lebih tipis daripada rambut dan lebih tajam daripada pedang.

Sirat di akhirat ini wujud hasil daripada titian (jalan) hidup yang kita pilih selama tinggal di atas dunia. Oleh sebab itu, sesiapa yang memilih jalan Allah sambil bepegang teguh dengan syariat Islam, maka sirat di akhirat itu akan mudah dilalui untuk sampai ke syurga idaman.

Sebaliknya, siapa yang enggan melalui jalan Allah ini, lalu memilih jalan hidup yang bebas daripada aturan halal-haram, maka pada hari itu sirat yang akan dilaluinya menjadi sangat sempit dan sukar dilalui. Golongan ini akan tergelincir dari titian lalu jatuh melayang-layang ke dalam neraka jahannam selama-lamanya.

Imam Abu Tahir al-Qazwini berkata; "Setiap orang yang biasa berjalan di titian agama, maka dia akan sangat mudah melintasi sirat di akhirat. Dan sesiapa yang tidak biasa melaluinya, maka dia akan menemui kesulitan berjalan di atasnya, kakinya akan tergelincir dan dia akan menyesal selama-lamanya.”

Jadi di sini, disertakan tips dan pantang-larang sirat.

Rasulullah s.a.w. pernah menyebut beberapa amalan yang dapat menjamin keselamatan seseorang yang melintas di atas sirat. Antaranya adalah;
~Banyakkan bersedekah
~Melazimkan diri hadir ke masjid

Sebaliknya, beberapa amalan buruk dapat merencatkan kelancaran perjalanan seseorang di atas titian sirat.

Amalan itu antara lain ialah;
Membuat tuduhan dusta kepada seorang mukmin.

Abu Daud meriwayatkan daripada Muaz bin Anas al-Juhani, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;

“Sesiapa yang menjaga seorang mukmin daripada gangguan munafik, maka Allah akan mengutus seorang malaikat untuk menjaga tubuhnya daripada api neraka jahannam, dan sesiapa yang membuat tuduhan (dusta) kepada seorang mukmin untuk memburukkan namanya, maka Allah akan menghentikan langkahnya di atas sirat hingga dia bersedia melepaskan tuduhan tersebut.”

*Termasuk membuat tuduhan dusta ialah menyokong tuduhan tersebut dan menyebarkannya di kalangan masyarakat untuk merosakkan nama baik atau reputasi orang yang dituduh. Justeru, berhati-hatilah dalam menapis tiap berita dan cerita yang kita terima. Lebih-lebih lagi bila berkaitan dengan dosa seperti zina dan liwat. Kita memohon agar Allah membersihkan umat kita daripada sikap-sikap yang tidak sihat ini.

Wednesday, 12 September 2012

Hidup Selepas Mati: Hakikatnya


Kata Hikmah dari Sayidina Ali

Untuk mengetahui apakah hakikat sebenar kesedaran, marilah kita dengar apa yang pernah dikatakan oleh Sayidina Ali k.w. yang antara lain bermaksud: “Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur (mimpi), bila mati baru mereka terjaga (tersedar).” Kata-kata itu sungguh mendalam dan tersirat maknanya.

Rupa-rupanya hanya apabila seseorang itu mati kelak barulah hakikat kehidupan ini tersingkap dengan sejelas-jelasnya. Ketika itu barulah si mati dapat “melihat” hidup dengan jelas dan tepat.

Setelah diri berada di alam barzakh (alam kubur), barulah manusia insaf apakah sebenarnya yang perlu dicari dan dimiliki dalam hidupnya ketika di dunia sebelumnya. Aneh, hanya apabila meninggal dunia, baru manusia menyedari tentang hakikat hidup di dunia.

Seperti kata pepatah, “Setelah terantuk (mati), barulah dia tengadah (sedar).” Rupa-rupanya apa yang diburu semasa hidup di dunia hanyalah dosa. Manakala apa yang dihindarinya pula adalah pahala.

Ah, betapa tersasarnya tujuan hidup selama di dunia akibat buta mata hati. Dalam alam kubur, ketika debu-debu tanah menjadi ‘bumi dan langit’, barulah kita terjaga daripada “mimpi” selama ini.

Sayangnya, pada ketika itu, segala-galanya sudah terlambat. Apa gunanya sedar di alam kubur kerana saat itu kita tidak boleh berbuat apa-apa lagi untuk memperbaiki keadaan. Sepatutnya kesedaran semacam itu perlu kita miliki sewaktu hidup di dunia ini.

Jelaslah, sekiranya hidup di dunia dilalui dengan penuh kesedaran, barulah ada kebaikan dan manfaatnya. Sebaliknya, sekiranya kesedaran itu hanya dimiliki di alam kubur, maka segala-galanya sudah terlambat!

Sedar vs Tahu

Kesedaran itu terletak di mana? Apabila Sayidina Ali menggunakan istilah ‘tidur’ dan ‘terjaga’, apakah beliau merujuk kepada mata? Selalunya, ketika hidup mata seseorang terbuka (terjaga) dan apabila mati matanya tertutup. Anehnya, Sayidina Ali menyatakan sebaliknya – apabila hidup, yakni ketika mata terbuka itu yang dikatakan bermimpi manakala apabila mati (mata tertutup) dikatakan terjaga!

Apa yang dimaksudkan oleh Sayidina Ali dengan ‘terjaga’ (tersedar) tidaklah merujuk kepada mata di kepala, sebaliknya merujuk kepada mata di hati (di dalam dada).

Ramai manusia yang hidup dengan mata hati yang tertutup. Bila mati baru mata hati itu terbuka.

Mata hati inilah yang disebut dalam al-Quran sebagai yang ‘...berada di dalam dada’.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu dengan hati yang mereka miliki dapat memahaminya atau dengan telinga yang mereka miliki dapat mendengar semuanya?

Sesungguhnya (mereka yang tidak memahaminya) bukanlah kerana mata yang buta, tetapi yang buta itu ialah hati yang tersembunyi di dada.” (Surah al-Haj 22: 46)

Seseorang akan memiliki satu kesedaran hanya apabila mata hatinya terbuka. Dia melihat sesuatu bukan hanya dengan pandangan mata kepala malah disertai dengan pandangan mata hati.

Pandangan mata hati adalah pandangan yang paling tepat dan benar kerana ia mampu melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, dapat menerobos yang batin daripada yang lahir dan mampu membezakan antara yang hakiki dengan yang ilusi.

Empat Pandangan Manusia

Sebenarnya, manusia memandang apa sahaja di dunia dengan empat jenis pandangan:

• Pandangan mata;
• Pandangan akal;
• Pandangan nafsu; dan
• Pandangan mata hati.(Hati Nurani)

1. Pandangan Mata
Pandangan mata, sifatnya selalu menipu. Contohnya, menerusi pandangan mata, kita melihat rel kereta api semakin jauh semakin menirus. Tetapi itu sebenarnya salah. Realitinya, rel itu tetap sama. Hanya mata kita yang tertipu. Begitu juga kayu lurus yang dimasukkan separuh ke dalam air – kelihatan bengkok (sebenarnya ia tetap lurus).

Bulan dilihat indah dari jauh, tetapi kita tahu sebenarnya permukaan bulan penuh dengan lopak-lopak, lubang dan benjolan-benjolan yang tidak rata seolah-olah muka seorang yang berjerawat. Ya, begitulah, ramai manusia yang tertipu dengan pandangan mata.

2. Pandangan Akal
Pandangan akal (fikiran) pula sifatnya boleh tersalah. Berdasarkan kajian Ciaudius Ptolemy (saintis terkemuka pada zamannya), bentuk bumi adalah mendatar. Dunia ini ada hujungnya, yang mana jika sesiapa belayar sampai ke hujung dunia, dia akan terjatuh di penjuru itu.

Manusia zaman itu sangat percaya kepada “pandangan akal” Ptolemy hinggakan tidak ada siapa yang berani belayar jauh, takut-takut terjerlus di hujung dunia. Manusia pada zaman pertengahan pula percaya bahawa bumi adalah pusat edaran jagatraya (Centre of Universe).
Namun kepercayaan mereka disalahkan kemudiannya oleh Galileo Galilei dan Nicholas Copernicus yang menjelaskan bumi bukanlah pusat edaran bagi jagatraya, tetapi matahari.

Begitulah pandangan akal manusia yang saling salah menyalahkan antara satu sama lain. Penemuan orang terdahulu dibatalkan oleh kajian orang sekarang. Kajian orang sekarang dibatalkan pula oleh kajian orang akan datang. Akal bersifat terbatas, maka begitulah pandangannya, juga terbatas. Justeru, pandangan akal boleh tersalah.

3. Pandangan Nafsu
Pandangan ketiga ialah pandangan nafsu. Pandangan ini sifatnya melulu. Jika pandangan akal terbatas, nafsu pula selalu terbabas.

Tidak ada yang dilihat oleh nafsu melainkan peluang dan ruang untuk melampiaskan kejahatannya. Sesuatu yang sudah cantik pada pandangan orang lain dipandang sebagai buruk dan keji kerana tidak mengikut selera nafsunya.

4. Pandangan Mata Hati
Pandangan yang keempat ialah pandangan mata hati. Ini adalah pandangan yang paling tepat dan hakiki. Hati pada asalnya adalah bersih dan baik. Apa sahaja yang dilihatnya akan sentiasa memberi kebaikan dengan syarat kebersihan dan kesucian hati itu terjaga.

Metafora Kuih

Supaya mudah difahami mari kita lihat metafora ini. Katalah, melihat kuih… di mana kita boleh melihatnya dengan empat pandangan. Kalau kuih dipandang dengan pandangan mata, kita akan tahu apa nama kuih, warna dan bentuknya.

Itu pandangan mata biasa. Bagaimana pula jika kuih itu dipandang dengan pandangan akal pula? Ini adalah pandangan pakar-pakar pembuat kuih (chef atau pakar masakan). Mereka ini memandang dengan penuh kajian dan penelitian. Dengan itu mereka mampu menganalisis. Misalnya apakah kuih itu seimbang dari segi bahan-bahannya, ketepatan mengadunnya, kemahiran menguli dan membakarnya?

Pakar-pakar masakan ini mempunyai ilmu yang cukup untuk mengkaji apakah kesilapan (jika ada) dan ketepatan pembuatan kuih tersebut. Inilah kelebihan pandangan akal berbanding pandangan mata biasa.

Lain pula keadaannya dengan orang yang memandang kuih dengan pandangan nafsu. Mereka ini tidak ambil pusing langsung apakah bentuk, nama atau cara pembuatan kuih itu. Apa yang penting, makan dulu.

Sehinggakan dengan kegelojohan itu dia tidak sempat bertanya pun siapa yang empunya kuih tersebut. Inilah buruknya pandangan nafsu. Yang dipentingkan hanya kesedapan dan keseronokan.
Melihat dengan pandangan mata hati akan menyebabkan kita seolah-olah dapat melihat pembuat kuih tersebut. Katalah, anda sedang berada di luar negara. Apabila musim hari raya tiba, anda mendapat kiriman bungkusan dari kampung. Apabila bungkusan itu dibuka dan anda melihat kuih di dalamnya, dengan tidak semena-mena air mata anda mengalir. Bila terlihat sahaja kuih, hati anda sedih. Kenapa?

Ya, kerana anda melihat wajah ibu (pembuat kuih) di sebalik kuih itu. Anda terkenang kasih-sayang, keprihatinan, kelembutan dan segala-gala yang baik daripada ibu anda.

Pandangan itu menjangkau sesuatu yang lebih bererti, bukan sekadar pada tulang, daging dan urat ibu kita tetapi kepada yang lebih maknawi, yakni budi, kasih dan sayangnya. Tanyakan hati kita, manakah pandangan yang lebih tepat dan murni? Pastinya hati kita akan menjawabnya, itulah pandangan mata hati!

Diri pada Pandangan Mata Hati

Sebenarnya diri kita juga boleh dilihat dengan empat pandangan. Cuba bayangkan, apabila kita berada di hadapan cermin. Apabila kita memandang dengan pandangan biasa (hari-hari kita memandangnya begitu), kita akui itulah diri kita.

Kemaskan rambut, betulkan tudung atau rapikan baju, lalu kita pun beredar. Itulah pandangan mata biasa. Namun ada orang yang melihat dirinya dengan pandangan akal. Bagaimana?

Dengan akal fikiran, berlakulah analisa diri sendiri terhadap wajah yang dipantulkan oleh cermin. Ah, semakin tembam aku ini. Semakin putih wajahku. Oh, sudah ada garis-garis kedut di pelipis mata.

Begitulah hasil analisa akal menerusi pandangannya. Hasil pandangan itu, kita pun bertindak mengurangkan berat badan, membetulkan kedudukan pakaian, menggunakan bahan kosmetik untuk merawat wajah dan berazam untuk memulakan diet atau senaman. Diri kita juga boleh dilihat dengan pandangan nafsu.

Katalah, kita masih pada usia muda (remaja). Muda hanya sekali, begitu bisik pandangan nafsu. Jangan disia-siakan peluang yang datang hanya sekali itu. Maka nafsu yang sentiasa merangsang kepada kejahatan ini akan memberi “nasihat” ke arah jahatnya. Mana lagi disko, dangdut dan tempat-tempat peleseran yang belum dikunjungi. Tunggu apa lagi, ayuh pergi!

Begitulah pandangan nafsu pada orang muda. Bagi orang yang telah berusia pula, pandangan nafsu ada helahnya tersendiri; Eh, engkau belum tua lagi!

Apakah kau lupa, ‘Life begin at forty. Man is like wine… Akibatnya, orang yang telah tua tidak merasakan dirinya tua lagi – miang-miang keladi, semakin tua makin jadi. Maksiat terus diratah semah-mahu, banyak dan secepat-cepatnya - seolah-olah pasukan bola yang memburu gol pada waktu kecederaan!

Apabila diingatkan, datuk dah senja ni… Dia tidak akan menerimanya bahkan istilah orang tua kerap ditukar menjadi “orang lama”. Ya, mungkin si tua yang didominasi pandangan nafsunya ini, sudah pencen dalam kerjayanya tetapi belum pencen dalam melakukan dosa!

Bagaimana pula orang yang melihat dirinya dengan pandangan mata hati? Orang muda akan menghargai umurnya dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Muda bukan sekali, tetapi dua kali. Begitu bisik hatinya.

Kali pertama ialah umur muda di dunia yang bersifat sementara. Manakala muda kali kedua ialah muda di dalam syurga yang abadi selamanya (menurut sesetengah ulama umur ahli syurga sekitar 30-an).

Orang muda yang dipengaruhi oleh pandangan mata hati ini insaf bawa muda adalah saat terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Mereka ini sedar bahawa antara soalan yang akan ditanyakan di padang mahsyar nanti ialah, "Ke mana umur mudamu sudah kamu habiskan?"

Allah tidak bertanyakan umur tua, ini kerana umur muda adalah ‘prime time’ (masa yang sangat berharga) untuk seseorang manusia, dan alangkah baiknya jika ‘aset’ yang sangat berharga itu diserahkan kepada Allah? Bukankah itu petanda kita benar-benar mencintai-Nya?

Lalu hati orang muda itu pun berazam, jika demikian aku akan gunakan umur muda yang sementara ini untuk mendapat umur muda yang kekal abadi di syurga.

Demikianlah azam orang muda yang memandang dengan pandangan mata hati. Lalu dia akan menyegerakkan amalan kebaikan, tidak bertangguh-tangguh taubat dan segera meninggalkan kejahatan.

Usia muda dianggap sebagai satu kesempatan bukan satu penangguhan. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah suka orang yang bertaubat, tetapi Allah lebih suka orang muda yang bertaubat.”

Pandangan Mata Hati Imam Syafii

Orang tua yang melihat dengan pandangan mata hati akan bertambah serius dalam melaksanakan kebaikan dan ‘berpatah arang’ dengan kejahatan. Masa telah begitu suntuk. Entah sempat, entahkan tidak. Itulah rasa hati mereka.

Mereka tidak sudi lagi berpaling kepada yang mengganggu dan menggugat. Tumpuan utama hanyalah mengejar masa. Imam Syafii misalnya, pada usia empat puluh tahun sudah pun berjalan dengan memakai tongkat.

Orang keliling kehairanan, justeru Imam Syafii masih tegap dan sihat. Bukankah beliau seorang pemanah yang tepat dan penunggang kuda yang cekap?

Ketika menjawab soalan orang tentang mengapa dia bertongkat, Imam Syafii berkata, “Tongkat ini untuk mengingatkan bahawa aku telah tua. Cukuplah semua hadiah dan sanjungan yang telah ku terima selama ini. Aku tidak perlukan lagi."

"Tumpuan sepenuh hatiku sekarang ialah menuju Allah!” Demikian “orang tua” yang memandang dirinya dengan pandangan mata hati. Sayangnya, kebanyakan kita yang mendakwa pengikut setia Imam Syafii tidak pula bersikap begitu. Kita tidak mencari tongkat “pengingat” seperti beliau, sebaliknya kita sibuk mencari tongkat “penggiat” – tongkat Ali!


Kesimpulannya:

Sekarang bagaimana? Setiap kali kita memandang wajah di cermin, kita melihat dengan pandangan yang mana? Pandangan mata, akal, nafsu atau hati?

Sebagai seorang Islam, kita diajar supaya setiap kali bercermin muka kita disunatkan membaca doa berikut: “Ya Allah, sepertimana Kau telah sempurnakan ciptaan wajahku, maka Kau sempurnakanlah pekertiku.” Ini menunjukkan bahawa menerusi doa ini Islam mengajar kita, jangan sekali-kali hanya melihat wajah lahir (muka) tetapi perlu melihat wajah batin kita (pekerti). Pekerti kita itulah hakikat diri kita yang sebenar.

Jasad yang tercipta dari tanah, bukanlah hakikat diri kita. Ia akan kedut, reput bahkan hancur akan dimamah ulat, cacing dan tanah. Jadi diri kita yang hakiki ialah budi pekerti kita, yang tidak akan hancur selama-lamanya. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.

Apa yang dilihat dengan pandangan mata hati inilah yang dikenang oleh manusia dan diberi ganjaran oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda: “Allah tidak menilai rupa lahir kamu tetapi Allah menilai amalan dan hati kamu.”

Demikianlah apa yang dikatakan celik mata hati atau kesedaran. Tegasnya, mata hati akan celik hanya apabila kita melihat kehidupan ini sejajar dengan kehendak atau ketetapan Pencipta hidup – Allah.

Inilah pandangan hidup (worldview) yang paling jelas tepat. Bermula dengan pandangan yang tepat inilah kita boleh menjalani hidup dengan sebaik-baiknya.

Jika tidak, terjadilah apa yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami sediakan bagi neraka jahanam itu golongan jin dan manusia yang mereka itu mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu ibarat binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah al-A’raaf 7:179).


http://genta-rasa.com/2009/06/25/celikkanlah-mata-hati/#more-456


_________________

Alhamdulillahi alladzi ahyana ba`da ma amatana wa ilayhi an-nusyur (Segala

puji bagi Allah I yang telah menghidupkan kita setelah kematian kita, dan

kepada-Nyalah kita akan kembali).

Tuesday, 11 September 2012

Mana Nak Pilih?

Merc E280 1997 - RM39,000


Merc E280 1997 - RM34,800


Merc E280 1997 - RM30,000


Merc E280 1998 - RM39,800


Merc E320 1996 - RM32,800

Merc E320 1997 - RM30,000


Merc E280 1997 - RM38,666


BMW 528i 2005 - RM39,900


Audi A6 1999 - RM19,800


Audi A6 2000 - RM34,500


Audi A4 1997 - RM20,000



Peugeot 406 1999 - RM17,800

Peugeot 406 1997 - RM16,900


Peugeot 406 2001 - RM19,800


Peugeot 406


Peugeot 406 1997 - RM20,000


Volvo S40T 2001 - RM23,000


Volvo S40T 2001

 
Volvo S40T 2000 - RM21,700

Volvo S40T 2001 - RM34,200

Apa yang pasti jangan berhutang kerana ia melibatkan riba (faedah) yang dimurkai Allah swt.
Namun tak boleh la nak lawan yang ini...

Bugatti Veron

Monday, 3 September 2012

Menjawab Penipuan Syi'ah

Tentang persoalan: Rasullulah s.a.w tersenyum kagum ketika Abu Bakar r.a dicela?

Salah satu kesalahan besar syiah imamiyah ialah menukilkan teks hadith-hadith sunnah di luar konteks dan difahami dengan cara yang salah.
Abu Bakar dicaci dalam Musnad Ahmad?

Web syiah menyebut seperti berikut;

"Khalifah Abu Bakar telah dicaci oleh seorang lelaki di hadapan Rasulullah saw. Tetapi Nabi saw tidak melarang, sebaliknya beliau tersenyum pula. Ahmad bin Hanbal meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah mencaci Abu Bakar dan Nabi saw sedang duduk, maka Nabi saw kagum dan tersenyum.[Ahmad bin Hanbal, al-Musnad, VI, hlm.436]"

Syiah ingin tonjolkan bahawa Rasulullah saw senyum dan kagum dengan tindakan pencela Abu Bakar r.a

Teks dalam Musnah Ahmad tidak dipaparkan, sebaliknya dinukil dengan cara tidak amanah dan diberikan kefahaman sendiri yang batil. Bahkan mereka memasukkan nukilan batil di atas sebagai salah satu ijitihad Abu Bakar r.a yang salah!

Teks penuh Musnad Ahmad;
9624 - حَدَّثَنَا يَحْيَى، عَنِ ابْنِ عَجْلَانَ، قَالَ: حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ أَبِي سَعِيدٍ، عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَجُلًا شَتَمَ أَبَا بَكْرٍ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسٌ، فَجَعَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعْجَبُ وَيَتَبَسَّمُ، فَلَمَّا أَكْثَرَ رَدَّ عَلَيْهِ بَعْضَ قَوْلِهِ، فَغَضِبَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَامَ، فَلَحِقَهُ أَبُو بَكْرٍ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ كَانَ يَشْتُمُنِي وَأَنْتَ جَالِسٌ، فَلَمَّا رَدَدْتُ عَلَيْهِ بَعْضَ قَوْلِهِ، غَضِبْتَ وَقُمْتَ، قَالَ: " إِنَّهُ كَانَ مَعَكَ مَلَكٌ يَرُدُّ عَنْكَ، فَلَمَّا رَدَدْتَ عَلَيْهِ بَعْضَ قَوْلِهِ، وَقَعَ الشَّيْطَانُ، فَلَمْ أَكُنْ لِأَقْعُدَ مَعَ الشَّيْطَانِ "ثُمَّ قَالَ: " يَا أَبَا بَكْرٍ ثَلَاثٌ كُلُّهُنَّ حَقٌّ: مَا مِنْ عَبْدٍ ظُلِمَ بِمَظْلَمَةٍ فَيُغْضِي عَنْهَا لِلَّهِ عَزَّ وَجَلَّ، إِلَّا أَعَزَّ اللهُ بِهَا نَصْرَهُ، وَمَا فَتَحَ رَجُلٌ بَابَ عَطِيَّةٍ، يُرِيدُ بِهَا صِلَةً، إِلَّا زَادَهُ اللهُ بِهَا كَثْرَةً، وَمَا فَتَحَ رَجُلٌ بَابَ مَسْأَلَةٍ، يُرِيدُ بِهَا كَثْرَةً، إِلَّا زَادَهُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ بِهَا قِلَّةً

Terjemahan:
Diceritakan kepada kami Yahya dari Ibnu Ajlan, katanya: diceritakan kepada kami Sa’id bin Abi Sa’id dari Abu Huraira, ‘Ada seorang laki-laki yang mencaci Abu Bakar dan Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam sedang duduk, maka beliau hairan dan tersenyum. Ketika Abu Bakar membantahnya, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam menjadi marah dan berdiri. Abu Bakar mengikutinya kemudian berkata, “Wahai Rasulallah, dia mencaci diriku dan anda duduk, tapi ketika aku membantah beberapa perkataannya anda marah dan berdiri”.

Baginda saw menjawab, “Sesungguhnya ada bersamamu malaikat yang membantahnya. Tapi, ketika engkau membantah sebahagaian perkataannya, ada syaithan yang datang, dan tidaklah aku mahu duduk bersama syaitan.”

Kemudian baginda berkata, ‘Ada tiga perkara yang menjadi hak seorang hamba, tidaklah seorang hamba yang terzalimi dengan satu kezaliman lalu dia serahkan kesemuanya kepada Allah kecuali Dia akan berikan pertolongan, tidak seseorang yang membuka pintu kedermawanannya yang dengannya dia dapat menyambung hubungan silaturrahim kecuali Allah akan limpahkan hartanya untuknya, dan tidaklah seseorang membuka pintu permintaan dengannya dia berharap untuk mendapat limpahan harta kecuali Allah ‘azza wajjala akan jadikan ia kekurangan.

Rujukan: Musnad Ahmad, Musnad Abu Hurairah radiyyAllahu a’nhu, 15/390. hadith no 9624.

Syeikh Syu’aib al-Arnauth, pentahqiq kitab Musnad Ahmad telah menilai hadith di atas sebagai Hasan lighairihi.

Beliau juga menyatakan hadith ini telah diriwayatkan al-Qudai’ dalam Musnad Shihab (820), al-Baihaqi dalam sunannya 10/236, kitab Adab (149/150), Syuabul Iman (6669) Abu Daud (4896/7), al-Baghawi (3586) dan al-Bukhari dalam tarikhnya (2/102),

Kita tidak akan membahaskan status sanad periwayatan hadith ini walaupun dalam statusnya masih boleh dipertikaikan. InsyaAllah, kita akan menjawab kaedah penghujahan syiah yang batil berkenaan teks hadith ini.

Maksud senyum dan kagum

Analisis minda yang bersih dan terang menjelaskan kekaguman dan senyumnya Rasulullah saw adalah kerana tindakan Abu Bakar r.a. Abu bakar r.a pada awalnya telah mendiamkan diri dari menjawab celaan lelaki itu. Sebab itulah dalam nasihat baginda, perkara pertama yang diucapkan adalah nasihat supaya bersabar dengan kezaliman.

“Tidaklah seorang hamba yang terzalimi dengan satu kezaliman lalu dia serahkan kesemuanya kepada Allah kecuali ia akan berikan pertolongan.”

Dalam konteks ini, lelaki tersebut telah mencela Abu Bakar r.a, dan dia pada awalnya tidak bertindak balas sehingga Rasulullah tersenyum dan kagum dengan tindakannya itu. Ini ditambah pula dengan kehadiran malaikat di sisi Abu Bakar r.a

“Baginda saw menjawab, “Sesungguhnya ada bersamamu malaikat yang membantahnya.”

Namun apabila Abu Bakar r.a mula menjawab lelaki tersebut, ketika itulah baginda marah dan lantas pergi.

Ini sebagai nasihat kepada Abu Bakar r.a secara khusus dan kepada kita secara umumnya. Ternyata hadith ini jika ia sahih, ia bukan seperti apa yang disebutkan oleh web-web syiah; biarlah amanah dalam menukil dan menganalisa teks hadith dengan cara yang benar.

Ulasan tambahan dan kesimpulan

Hadith ini masih memerlukan syarahan lengkap akan bagaimana sikap kita apabila dicaci dan apakah haram mutlak jika kita membalas cacian tersebut. Namun itu bukanlah fokus utama artikel ini. Ia sekadar untuk membongkar tindakan tidak amanah web-web syiah yang menukilkan riwayat Musnad Ahmad, kemudiannya memahaminya dengan cara yang amat dangkal dan tidak bertanggungjawab.

Bagaimana mungkin Rasulullah s.a.w kagum dan tersenyum dengan tindakan pencela, sedangkan baginda sendiri mengharamkan perbuatan mencela sahabat?

WaAllahu a’alam



http://titian-sebenar.blogspot.com/2012/08/rasullulah-tersenyum-kagum-ketika-abu.html#more

3 Pintu syaitan masuk ke dlm ati

Pintu masuk bagi syaitan ke dalam Hati anak Adam itu ada 3.

Syaitan tidak akan masuk padamu melainkan dengan melalui 3 pintu ini.
Sekiranya ketiga-tiga pintu ini ditutup, maka tiadalah ruang atau pintu bagi syaitan untuk masuk padamu.

1. Pintu Syahwat (Nafsu).
Ubat dan cara mengatasinya adalah dengan mentarbiyah atau mendidik nafsu.
Mendidik nafsu itu caranya adalah dengan mengingkari dan menyanggah kehendaknya.

2. Pintu Kelalaian (Ghaflah).
Ubat dan cara mengatasinya adalah dengan berzikir.
Barangsiapa yang berzikir mengingati Allah maka dia akan sentiasa berada dalam benteng yang kukuh.

3. Pintu Kejahilan.
Ubat dan cara mengatasinya adalah dengan ilmu. Jadi pergilah mengaji.


[Ini adalah petikan dari Pengajian Syarah Soheh Al-Bukhari oleh Fadhilatus Syaikh Yusri Rusydi As-Sayyid Jabr Al-Hasani. Fadhilatus Syaikh menamakan nasihat ini dengan "Petikan dari Al-Yusriyat"]