Monday, 27 August 2012

Mangsa Tipuan/Dogma Inggeris-Umno!

Abah... siap dengan uniform S.Cnya - 1948

Abah... sewaktu berusia 19 tahun telah join S.C (Special Constable) di Pondok Tanjung, Perak kerana semangat yang kental bagi menentang keganasan gerila komunis.

Itu mengikut cerita abah.

Benarkah anggota PKM itu pengganas komunis yang melakukan perang gerila terhadap tanahair tercinta ini?

Panjang ceritanya, namun ia bermula apabila Inggeris di Tanah Melayu menguat-kuasakan Undang-undang Darurat, Jun 1948 hasil hasutan jahat Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (U.M.N.O)! Melalui undang-undang ini kesemua parti politik diharamkan (kecuali parti UMNO) dan semua pemimpinnya ditangkap (pun kecuali UMNO).

Kenapa UMNO bertindak demikian?

Pada Oktober, 1947 Dr Burhanuddin Al-Helmy, Miau Siu dan Gnapathy telah menghadiri Persidangan Kemerdekaan negara-negara Asia yang berlangsung di New Delhi. Ia merupakan kesepakatan negara2 dijajah oleh kuasa penjajah barat dalam usaha untuk mencapai kemerdekaan.

Pada Mac, 1948 Barisan Tenaga Buruh Tanah Melayu telah mengadakan mogok sehingga melumpuhkan jentera pentadbiran Inggeris di Tanah Melayu. Getah tidak ditoreh serta lombong bijih timah tidak beroperasi. Ia baru membuka mata Inggeris tentang keseriusan tuntutan dan perjuangan kemerdekaan di negara ini oleh para pejuang yang tidak pernah kendur.

UMNO, yang sentiasa leka dengan foya-foya dan gemar bercanda di setiap majlis sosial puak penjajah mula terasa kedudukan/keseronokan mereka yang mula tergugat; lalu mengusulkan cadangan - satu undang-undang untuk mengekang kebangkitan rakyat menentang penjajah Inggeris. Itulah bermulanya Undang-undang Darurat yang diluluskan pada Jun, 1948!

Kesannya, ramai pejuang kemerdekaan yang ditangkap dan dipenjarakan - termasuk Dr Burhanuddin Al-Helmy, Ahmad Boestamam dll. Sementara Ibrahim Yaacob melarikan diri ke Indonesia. Anggota Parti Komunis Malaya telah melarikan diri ke dalam hutan dan menersukan perjuangan mereka dari sana - untuk kemerdekaan negara!

Dan era baru bagi orang-orang Melayu bermula apabila sekelian anak muda Melayu direkrut untuk menjadi anggota tentera - yang dibekalkan senjata api (senapang dan rifel) buat memburu sekelian pejuang yang melarikan diri ke hutan itu. Jika ditakdirkan mati, anak-anak Melayu yang menjadi tentera itu akan dicap 'HERO'... mati sebagai pahlawan negara!

Anggota lain juga dirtubuhkan, termasuk pasukan S.C. yang abah ikut serta ini. Ia anggota tambahan buat menjaga keselamatan segala kepentingan penjajah; landasan keretapi, jembatan, estet-estet tuan besar Inggeris, ladang-ladang dan segala kepentingan mereka yang lain.

Senang cakap la... anak-anak Melayu itu direkrut untuk jadi pecacai dan 'anjing buruan' Inggeris saja buat memburu pejuang yang masih kental semangat perjuangan mereka. Dalangnya, adalah UMNO yang merasakan kedudukan/keseronokan mereka mula tergugat kesang kebangkitan rakyat itu melalui KMM, INSAF, API dsb.

Abah pun masuk S.C kerana nak menghadapi pengkhianatan gerila komunis terhadap segala kepentingan Inggeris. Dalam tugasnya, abah bersama kengkawannya ditugaskan meronda landasan keretapi dari Ayer Kuning, Taiping hingga ke lubang gelap di Bukit Berapit.

Mereka diwajibkan meronda setiap 3 jam sekali ke lubang gelap itu untuk memastikan gerila komunis tidak mensabotaj landansan yang boleh membuatkan keretapi tergelincir atau terbalik di kawasan berkenaan.

Ewah... ewah dengan penuh bersemangat!

Pada waktu-waktunya, ada di antara kengkawan abah yang tidak datang bertugas, tetapi dek semangat yang berkobar-kobar abah dan dua orang temannya tetap menjalankan tugas tersebut - meronda di waktu malam hingga ke lubang gelap di Bukit Berapit. Walaupun arahan tegas dikeluarkan - mesti dalam jumlah anggota seramai paling kurang sembilan orang, namun abah tetap berkeras - mereka bertiga pun sudah memadai!

Yeah, kalau mati diserang dek gerila komunis pun mereka akan dapat jadi 'hero' tercatat sebagai pahlawan negara. Dogma Inggeris terhadap anak-anak Melayu yang perasan megah dengan sepucuk senapang, rifel atau pistol sambil dikenakan uniform yang keras penuh kanji tepung ubi itu!

Abah... abah... teman selalu tersenyum sendirian setiap kali mendengarnya bercerita tentang keberaniannya itu; keberanian yang tidak membawa makna apa-apa kepada penjajah? Jadi pecacai, selayaknya hanya bermain dengan dogma semata-mata - hero negara!

Apa yang dia dapat sehingga kini? Walaupun geng komunis tidak mempengapakan landasan di sepanjang kawalannya dan rakan-rakan, namun faedahnya diraih oleh penjajah. Ia menjamin kelancaran mereka untuk mengaut segala khazanah yang ada melalui pengangkutan kereta api - dibawa ke pelabuhan dan diangkut ke luar, ke persada Queen di UK sana.

Kononnya, selepas merdeka ada ribuan pound kerajaan British peruntukkan sagu hati buat bekas anggota pasukan keselamatan - yang disampaikan kepada kerajaan. Namun ia hanya sekadar berita momokkan; sagu hatinya ada, tetapi tercicir entah di mana? Daftar nama entah sudah berapa kali?

Abah... selepas menyedari akan kepalsuan dogma Inggeris - 1957


(Ermm... nanti panjang pula ceritanya. Kemudian la kita sambung).




Abah yang ada sekarang... di usia 82 tahun; masih cergas -
mampu memandu kereta untuk perjalanan jarak jauh;  
ikon penduduk setempat dalam menilai erti kepalsuan kerajaan dan parti pemerintah.

**Konon diberitakan ada imbuhan/pampasan buat anggota pasukan keselamatan zaman penjajah; di mana beberapa ratus juta pound telah dibayar oleh kerajaan British.
Namun apa yang abah dapat?

Kini, dia penggerak di belakang tabir parti PAS di Beruas, Perak. Di PRU12,  
kerusi parlimen telah disapu dek Pengerusi DAP Perak sementara DUN Pengkalan Baru -
masih dipegang oleh Umno yang menang menipu sekadar 14 undi.
YB Umno itupun anak saudaranya sendiri!




6 Perkara yang Allah swt Sembunyikan!

Ibunya adalah dari sini...

Mencari Nur Illahi.

Allah swt menciptakan Jibrail as dengan bentuk yang cantik, dan Allah menciptakan pula baginya 600 sayap yang panjang, sayap itu antara timur dan barat (ada pendapat lain menyatakan 124,000 sayap). Setelah itu Jibrail as memandang dirinya sendiri dan berkata;
'Wahai Tuhanku, adakah engkau menciptakan makhluk yang lebih baik daripada aku?'

Lalu Allah swt berfirman yang bermaksud;
'Tidak.'

Kemudian Jibrail as berdiri serta solat dua rakaat kerana syukur kepada Allah swt. dan pada tiap-tiap rakaat itu lamanya 20,000 tahun.

Setelah selesai Jibrail as solat, maka Allah swt berfirman yang bermaksud;
'Wahai Jibrail, kamu telah menyembah Aku dengan ibadah yang bersungguh-sungguh, dan tidak ada seorang pun yang menyembahKu sama seperti ibadat kamu, akan tetapi di akhir zaman nanti akan datang seorang nabi mulia yang paling Aku cintai, namanya Muhammad.'

'Dia mempunyai umat yang lemah dan sentiasa berdosa, sekiranya mereka itu mengerjakan solat dua rakaat yang hanya sebentar sahaja, dan mereka dalam keadaan lupa serta serba kurang, fikiran mereka melayang bermacam-macam dan dosa mereka pun besar juga. Maka demi kemuliaannKu dan ketinggianKu, sesungguhnya solat mereka itu Aku lebih sukai dari solatmu itu. Kerana mereka mengerjakan solat atas perintahKu, sedangkan kamu mengerjakan solat bukan atas perintahKu.'

Kemudian Jibrail a.s berkata;
'Ya Tuhanku, apakah yang Engkau hadiahkan kepada mereka sebagai imbalan ibadat mereka?'

Lalu Allah berfirman yang bermaksud;
'Ya Jibrail, akan Aku berikan syurga Ma'waa sebagai tempat tinggal.'

Kemudian Jibrail a.s meminta izin kepada Allah untuk melihat syurga Ma'waa itu.Setelah Jibrail a.s mendapat izin dari Allah swt maka pergilah Jibrail a.s dengan mengembangkan sayapnya dan terbang - setiap dia mengembangkan dua sayapnya dia boleh menempuh jarak perjalanan 3000 tahun, terbanglah malaikat jibrail a.s selama 300 tahun sehingga ia merasa letih serta lemah dan akhirnya ia turun singgah berteduh di bawah bayangan sebuah pohon dan ia sujud kepada Allah swt lalu ia berkata dalam sujudnya itu;

'Ya Tuhanku apakah sudah aku menempuh jarak perjalanan setengahnya, atau sepertiganya, atau seperempatnya? '

Kemudian Allah swt berfirman yang bermaksud;
'Wahai Jibrail, kalau kamu dapat terbang selama 3,000 tahun dan meskipun Aku memberikan kekuatan kepadamu seperti kekuatan yang engkau miliki, lalu kamu terbang seperti yang telah kamu lakukan, nescaya kamu tidak akan sampai kepada sepersepuluh dari beberapa perpuluhan yang telah kuberikan kepada umat Muhammad terhadap imbalan solat dua rakaat yang mereka kerjakan.'

Oleh itu marilah sama-sama kita fikirkan dan berusaha untuk melakukannya. Sesungguhnya Allah swt telah menyembunyikan enam perkara daripada pengetahuan sekelian umat Muhammad saw, iaitu;
*  redha-Nya dalam taat;
*  murka-Nya di dalam maksiat;
*  nama-Nya yang Maha Agung dalam Al-Quran;
*  Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan;
*  solat yang paling utama di dalam solat (yang lima waktu); dan
*  (tarikh terjadinya) hari kiamat dalam kesemua hari.

Jadi kepada sekelian rakan-rakan yang dikasihi sekalian, sebarlah ilmu ini, agar kesemua kawan dan sahabat-handai kita yang di luar sana agar kembali ke pangkal jalan, mengikut jalan Islam yang sebenar-benarnya. Sesungguhnya, barangsiapa yang mengajak kepada kebaikan, di mana pahala seseorang yang diajak kepada kebaikan itu dapat kepadanya tanpa dikurangkan sedikitpun, insyaAllah.

Wednesday, 22 August 2012

Peristiwa Sebenar di sebalik 13 Mei, 1969!


【Punca Sebenar 13 Mei: Rampasan Kuasa oleh Tun Razak】

"Ketika orang ramai masih berhimpun untuk perbarisan tersebut, pergaduhan berlaku di Kampung Baru berhampiran, di mana dua lori orang Cina telah dibakar.

Pada jam 7.15 petang, kita dapat melihat satu gerombolan berkumpul seperti lebah di persimpangan Jalan Raja Muda dan Jalan Batu. Lebih banyak kenderaan dipecahkan dan rumah kedai orang-orang Cina dibakar.
Pekedai Cina dan India di Jalan Batu telah bergabung membentuk satu 'pasukan pertahanan kawasan' dengan bersenjatakan apa sahaja yang sempat dicapai - parang, kayu, batang besi dan botol...

Apabila kumpulan orang Melayu beredar, maka penduduk terbabit mengambil tindak balas. Bahagian depan kedai dan kereta yang disyaki milik orang Melayu telah dipecahkan atau dibakar!

Polis tiba kira-kira jam 9 malam, tetapi mereka tidak berkawal di situ. Kemudian, trak yang membawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (pasukan pencegah rusuhan) dan Regimen Askar Melayu beredar dari situ.

(Petikan daripada catatan wartawan Far Eastern Economic Review, Bob Reece, mengenai apa yang disaksikan dengan matanya sendiri berlaku pada 13 Mei 1969 selepas sekumpulan pemuda Melayu berkumpul di luar rumah Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris lewat petang hari berkenaan).

Sudah hampir empat dekad berlalu selepas tercetusnya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969

Bagaimanapun, apakah yang mencetuskan rusuhan paling buruk dalam sejarah 50 tahun Malaysia, yang mengorbankan 196 nyawa (mengikut rekod rasmi), masih menjadi rahsia, dan sehingga ini terdapat pelbagai versi mengenainya.
'Versi rasmi' menyebut rusuhan tersebut berpunca daripada tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi oleh kaum Cina, yang merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti Perikatan kalah teruk.

Semuanya karut

Bagaimanapun, pihak pembangkang telah menyangkal akan kebenaran versi tersebut. Terdapat teori-teori lain yang mendakwa rusuhan itu telah dirancang dalam usaha untuk menggulingkan Perdana Menteri waktu itu, Tunku Abdul Rahman.

Kekurangan maklumat awam mengenainya menjadi batu penghalang bagi mereka yang ingin mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi satu set dokumen yang baru dideklasifikasikan di London telah membuka peluang kepada ahli sosiologi, Dr Kua Kia Soong untuk mencari kebenarannya.

Pada akhir tahun lalu, Pengetua Kolej New Era itu telah mengambil cuti belajar selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan dideklasifikasi sebagai rahsia.
Hasil kajian ke atas dokumen yang dideklafisikasikan itu - yang telah dikompilasikan dalam buku terbaru Dr Kua - mendapati rusuhan 13 Mei itu bukanlah berpunca daripada keganasan kaum, sepertimana yang telah digambarkan kepada rakyat Malaysia.

"Sejarah (rasmi peristiwa) 13 Mei penuh dengan karut-marut, ia tidak mendedahkan apa-apa. Ia meletakkan kesalahan itu ke atas parti pembangkang yang sebenarnya tidak benar. Mereka itu bukan menjadi puncanya.

Pihak yang telah mencetuskan peristiwa berkenaan adalah golongan kapitalis (dalam Umno), elemen-elemen dalaman yang merancang dan melaksanakan pelan ini. Ada rancangannya berdasarkan kepada mereka yang berkumpul di kediaman Menteri Besar Selangor waktu itu.

Ada dokumen dan laporan risikan yang menunjukkan kebenaran perkara itu. Sejarah rasmi perlu mendedahkan kebenaran dan bukannya meletakkan kesalahan kepada setiap orang yang sepatutnya tidak harus dipersalahkan.

Peristiwa 13 Mei merupakan satu 'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu yang muncul ketika itu - yang disokong oleh polis dan tentera - untuk merampas kuasa daripada aristokrat lama bagi melaksanakan agenda baru Melayu.

Plot menumbangkan Tunku

Rusuhan itu sebenarnya adalah perbuatan 'samseng Melayu' yang disokong oleh ahli-ahli politik Melayu yang ada di belakang rancangan rampasan kuasa tersebut.

Sebagai contohnya, sekumpulan samseng tiba-tiba muncul dari semua penjuru pada hari 13 Mei untuk berkumpul di kediaman Datuk Harun. Malah tindak-tanduk pihak polis dan tentera sendiri boleh dipersoalkan - di mana mereka hanya berdiri tercegat dan memerhatikan sahaja apa yang sedang berlaku - pembakaran harta benda n pembunuhan.

Dokumen itu juga menunjukkan, kurang daripada seminggu selepas rusuhan tersebut, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdul Razak yang mempengerusikan Majlis Operasi Negara, diberi kuasa penuh untuk mentadbir negara - satu petanda tentang wujudnya komplot mengenainya.

Manakala perbincangan mengenai perancangan masa depan telahpun dijalankan sebelumnya, termasuk Dasar Kebudayaan Negara (yang diumumkan pada tahun 1971).

Satu dokumen rahsia dari pejabat kabinet Britain yang dimuat dalam buku tersebut, menunjukkan, tidak sampai seminggu selepas rusuhan tersebut Agensi Perisikan Pusat (CIA) telah dapat mengesan apa yang sedang dirancang oleh Tun Razak - 'untuk memperkukuhkan ketuanan Melayu, sambil meminggirkan kaum Cina dan mengenepikan Tunku'.

Peranan anggota pasukan keselamatan dalam peristiwa berdarah 13 Mei itu turut dipersoalkan di mana kalangan diplomatik (juga tertanya-tanya) mengapakah, pada hari rusuhan itu berlaku, Tun Razak ada bertemu dengan pegawai tertinggi polis dan tentera, tetapi pihak keselamatan itu tidak berbuat apa-apa?

Lebih menarik lagi, pasukan keselamatan Malaysia merupakan sebuah pasukan yang berpengalaman luas sewaktu melancarkan peperangan terhadap pengganas komunis antara tahun 1948 dan 1960 dengan memiliki reputasi yang tinggi. Mereka telah berjaya menghapuskan penentangan komunis yang membabitkan operasi yang lebih sukar daripada mengawal rusuhan, tetapi mereka tidak dapat mengawal (rusuhan) pada tahun 1969 itu selama berhari-hari, malah berminggu-minggu!

Pada dasarnya peristiwa 13 Mei itu adalah satu helah bagi tindakan untuk merampas kuasa. Ia adalah satu rampasan kuasa siap dengan dokumennya sekali yang menunjukkan bahawa ia adalah rampasan kuasa.
Jumlah korban tidak diketahui
Dokumen yang telah dideklafisikasikan itu termasuk laporan yang dibuat oleh wartawan asing yang berada di Kuala Lumpur pada masa itu. Ia termasuk laporan oleh kakitangan Pesuruhjaya Tinggi British yang memantau insiden tersebut dan pelbagai lagi laporan sulit dari kalangan diplomat.

Ini semua dianggap buat pertama kali satu catatan lengkap mengenai tragedi tersebut baru dapat ditatapi oleh rakyat Malaysia, di mana sebelumnya banyak laporan wartawan asing yang telah diharamkan di samping tiada akses terhadap dokumen tempatan.

Namun satu perkara yang cukup tersimpan sebagai satu lagi rahsia, iaitu jumlah sebenar korban tragedi tersebut.

Angka rasmi korban rusuhan 13 Mei yang dicatatkan adalah 196 orang; di mana 180 cedera akibat senjatapi dan 259 lagi cedera kerana senjata lain. Seramai 9,143 orang ditangkap dan 5,561 daripadanya telah didakwa di mahkamah. Sejumlah 6,000 orang kehilangan tempat tinggal, dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan dan 753 bangunan telah musnah atau mengalami kerosakan.

Dokumen yang telah dideklasifikasikan dan dokumen pihak antarabangsa yang lain pada masa itu menganggarkan jumlah korban yang jauh lebih tinggi, tetapi angka sebenarnya tidak diketahui. Namun majoriti korban tersebut adalah dari kalangan orang Cina!

Perlu juga diketahui akan satu hakikat, iaitu rusuhan kaum akan berlaku apabila orang Melayu tidak merasa senang atau selesa, di mana satu Dasar Ekonomi Baru, iaitu polisi tindakan afirmatif dan yang lain-lainnya perlu ada, jika tidak mahu orang-orang Melayu berasa gelisah dan dengan mudah rusuhan akan meletus.

Inilah mitos pertama yang perlu dihuraikan kerana dokumen-dokumen menunjukkan sesetengah mereka yang mencetuskan tragedi 13 Mei itu bersubahat dengan pihak polis dan tentera. Ia sudah bukan rahsia lagi.

Mitos kedua ialah membabitkan pandangan bahawa rusuhan akan berlaku secara semulajadi dalam negara yang rakyatnya terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Sedangkan hakikat sebenarnya, orang Melayu, Cina dan India tidak akan secara tiba-tiba sahaja mengambil keputusan untuk bergaduh sesame mereka!

Soalnya, adakah pihak berkuasa akan bertindak terhadap pernyataan-pernyataan sepertimana yang berlaku tentang pergaduhan di Kampung Medan.

"Dalam zaman internet, tiada apa pun yang dapat diharamkan di mana maklumat dapat diakses dari lamanweb, dan dari apa jua sumber?

Sunday, 12 August 2012

Pesanan Sang Salik

Nota:  Posted by Schanizan at 8:32 pm on Thursday, 19 January, 2012. Copy & paste dari blog TIAFl; Terlalu penting untuk dilalaikan... untuk mudah merujuk di belakang hari.

Assalammualaikum WMT dan salam hormat,
Rahmat dan redha Allah swt buat sekalian amal dan perbuatan, DIA yang tiada selain DIA yang wajib disembah, DIA yang tiada selain DIA bagi segala pujian, DIA yang tiada selain DIA tempat memohon segala hajat, DIA yang tiada selain DIA sebagai tempat meletak harapan bagi setiap amal dan ibadah, DIA, DIA ALLAH, Zat yang Maha Hebat lagi Berkuasa atas segala sesuatu yang telah telah terjadi, sedang terjadi dan akan terjadi. ALLAHu Akbar, ALLAHu Akbar, ALLAHu Akbar Wa lILLAHil Hamd.

Bergemerlapan alam menyambut hadirNya, membawa sinar harapan dan cahaya kebenaran bagi mereka yang sentiasa menantikan kebenaran dan kejayaan yang hakiki. Insan digelar Rasulullah S.A.W, yang tanpa asbab hadirNya, maka teruslah gelap bagi mereka yang dalam kegelapan, terus teraba-raba bagi mereka yang sudah sedia meraba-raba dalam mencari kebenaran. Seluruh selawat dan salam penuh mahabbah ke sisi Junjungan Rasulullah S.A.W, keluarga Baginda dan sahabat-sahabat Baginda sekelian. Semoga dibangkitkan kita di akhirat kelak dalam keadaan disyafaatkan Rasulullah S.A.W, begitu juga dengan kehidupan dan amal di dunia ini beserta syafaat dari Baginda S.A.W. Amin Amin Amin. ALLAHumma Solli Ala Sayyidina Muhammad wa ala alihi wa sohbihil kiram.

Para Pembaca dan saudara/ri yang dirahmati ALLAH sekalian,
Hidup kita, mati kita di bawah satu bumbung, di atas satu landasan, dikeliling dengan satu dinding yang sama, iaitu Islam, iman dan ihsan.

Begitulah jua kita dalam setiap perkara yang kita lakukan, selagi bergelar Islam, Al-Quran dan Sunnah adalah cara hidup, cara hidup yang selamat, di mana berbahagialah mereka yang tetap berada di dalamnya.

Dalam setiap perbuatan dan amal, semuanya berasaskan dari ilmu, ilmu beriringan dengan adab dan akhlak, adab dan akhlak beserta dengan displin, disiplin berturutan dengan akal yang disulami oleh jiwa penuh tunduk dan tawadhuk.

Sehubungan dengan itu, perkara di atas cukup kerap diulang sebut berkali-kali. Tambah lagi, pesan guru, sehingga sekarang tergiang-giang di lubuk hati; ‘Tamak bukan pakaian ahli salik'.
Kerap kali dahulu sang faqir terfikir-fikir, apakah yang dimaksudkan dengan tamak oleh guru nan tersayang.

Sampai suatu ketika, guru bersuara;
"Kita beramal hari ini, semalam, hendakpun esok, bukan kederat kita, tapi kederat ALLAH, tanpa DIA, tanpa Rahmat DIA, nak sebut nama DIA pun tak boleh, tapi bila DIA izinkan, bukan juga bermakna DIA anugerah, tapi juga ujian, nak uji, hang ni beriman pada DIA atau pada amalan hang!"

Dari situ, tersentak sang faqir yang sewaktu itu berada dalam kubuk ‘gila beramal’, asal dapat saja, buat sehingga ditanya pada satu masa yang sama, "Hang beramal banyak-banyak la nie untuk apa sebenaqnya?"

Apa yang dapat terkeluar dari mulut sang faqir di masa itu, hanya 'uk ak uk ak…'

Sehingga guru tersayang berkata, "Ingat! Tamak bukan pakaian ahli salik."

Para Saudara sekalian,
Hanya kerana orang itu hebat, selepas beramal itu dengan kekaguman tersebut kita ingin mengikut jejak langkahnya, maka renungkan semula sebelum beramal, benarkah langkah kaki tersebut?

Sedarlah, apabila memasuki alam amal, di dalamnya penuh dengan hasutan, penuh dengan putar belit, penuh dengan manis-manisan yang boleh merosakkan HATI, yang apabila rosak hati, maka punah jua QALBU; dengan punahnya QALBU, ranap jua QALBI, dari ranap QALBI, maka AIB ROH, roh yang sekian lama mengabdikan diri kepada ALLAH, akan tetapi dek kerana tekanan dari nafsu, kecundang seluruhnya. NauzubILLAH.

Dalam beramal, keseronokan untuk beramal digelar Warid Ittiba’, iaitu rasa gejolak untuk ingin dan terus ingin. Di tahap ini, sang salik boleh jadi selamat dan mungkin juga dalam bahaya yang teramat.

Selamat dengan adanya seliaan guru dan sentiasa adanya muraqabah. Bahaya apabila ada perasaan 'syok sendiri’. Merasakan kagum pada amal, diri dan kedudukan; tambah bahaya apabila tiada seliaan guru dan jauh dari muraqabah dengan guru.

Dari warid ittiba’ ini, melangkah sang salik pada warid kauni, di dalam warid inilah berlakunya berbagai-bagai ‘syok’ kerana berlakunya pembukaan, berlakunya hal-hal khirqul adah (mencarik adat). Dengan tiadanya seliaan guru, maka sang salik pasti akan kecundang kerana tipu-daya syaitan yang teramat dashyat di warid kauni ini. Hal ini berikutan Alam Malakut tempat tinggal asal semua makhluk ghaib, termasuk malaikat (malakut atasan), berada di sini.

Namun, yang sering berlaku kecundang itu adalah pada mereka yang dari awal-awal lagi sudah kecundang di alam malakut bawahan ini, tempat yang penuh tipu-daya. Inilah yang terjadi kepada Ayah Pin dan lain-lain ajaran yang diwartakan sesat. NauzubILLAH.

Adapun warid kauni inilah yang paling dibimbangi oleh para ahli sufi kerana pada warid ini penuh dengan perhiasan, kekaguman, ketakjuban yang dari sini boleh membuatkan sang salik itu kecundang. Begitulah yang terjadi kepada murid kepada Syeikh Junaid Al Baghdadi; yang merasakan hebat dari gurunya, sehingga meninggalkan muraqabah dengan guru, ramai pengikut dan kesudahan, rupa-rupanya telah ditipu oleh syaitan akibat terpesona dengan pembukaan-pembukaan tanpa ada rujukan itu.

Ketahuilah bahawa warid yang ingin dituju adalah warid wisal, iaitu sampai, sampai ke hadrat ALLAH S.W.T dalam keadaan dirahmati dan diredhai, serta yang paling utama bebas dari syirik, baik syirik jali, khafi atau mukhafi.

Para Saudara yang dirahmati sekalian,
Tiada guru atau sahabat yang inginkan keburukan pada sahabat yang lain, semata-mata kerana ingin sama-sama berjalan di landasan yang jauh daripada noda sang iblis.

Seringkali sang faqir berkata, elakkan diri daripada melakukan kaedah yang pelik lagi mendatangkan fitnah di hadapan pesakit, apatah lagi mengeluarkan dakwaan yang boleh mengharukan lagi amalan pesakit.

Tidak bermaksud menghalang kaedah-kaedah, cuma demi untuk mengelakkan fitnah. Lihat saja, guru-guru tua terdahulu, jika ada keperluan untuk membuat sesuatu yang pelik di mata pesakit, maka mereka akan berseorangan di dalam bilik, tanpa dilihat pesakit. Ini yang sebaiknya.

Harus diingat, tugas seorang perawat (pendoa) adalah semata-mata mendoakan dan yang paling utama adalah sedaya upaya membawa pesakit kembali semula kepada fitrah asal hamba ALLAH, bukan hamba scan, bukan hamba amalan dan bukan hamba kepada penyakit yang sedang dihadapi, tidak kira sakit jasmani atau rohani.

Perlu kita maklum bahawa, fenomena akhir zaman bukan fenomena Harry Potter, fenomena ombak rindu, fenomena hantu dan sebagainya.

Akan tetapi ia merupakan fenomena pembahagi haq dan bathil itu seumpama senipis kulit bawang, belum tentu yang dilihat haq itu sebenar haq, yang dilihat bathil itu sebenar-benar bathil!

Maka, oleh itu, apa sahaja yang boleh mendatangkan fitnah wajar kita elak, bukan sahaja yang boleh menjadikan amalan pesakit semakin bermasalah, malahan akan menjadikan amalan pendoa semakin bercelaru. Elakkan memberi sangkaan atau dakwaan yang boleh mendatang fitnah, fitnah kepada amal diri.

Kenapa?

Kerana merasakan lebih banyak amal, lebih ampuh kaedah rawatan, lebih ampuh doa, lebih jauh dari segala serangan.

Kita beramal, kita bertariqat, kita merawat, kita sakit, kita sembuh, kita tunduk, kita tegak, kita sujud, tiada yang lain melainkan untuk menjadikan kita hambaNYA yang makin bertaqwa, makin rapat kepadaNYA dan sedar hakikat sebenar kejadian siapa kita.

Para Saudara sekalian,

Tugas sang faqir ini, dari awal lagi sang faqir kerap kali ulangi, sang faqir bukan seorang guru, apatah lagi seorang pembentuk jalan; tidak layak langsung dengan kedudukan sebagai seorang yang jahil dan baharu tetapi sang faqir hanya sekadar penurap jalan, yang cuba sedaya mungkin menurap jalan berlubang, yang bermasalah, untuk saudara-saudara lain mudah berjalan dan selamat tiba ke destinasi.

Pernah diungkap guru tersayang;

"Kita nak teguq benda, cukup sekali dua, teguq benda yang betul, kalau ketagaq, tak mau dengaq, cukuplah, sebut saja; "Ya ALLAH, aku sudah menjalankan apa yang sepatutnya - dari awal hingga akhir, Engkau jua ya Allah yang menentukan segalanya."

Kepada saudara-saudaraku di luar sana, ketahuilah, bahawa sang faqir sentiasa ingin seiringan berjalan, tiada sesiapa yang kurang, tiada siapa pula yang berlebih.

Sama-sama di atas satu landasan yang semoga dengannya dapat kita meraih rahmat dan redha ALLAH pada setiap amal dan perbuatan dalam sedar dan jaga, hidup dan mati, dunia dan akhirat.

Andai ada yang tidak senang, tidak dapat ikut cara sang faqir, maaf seribu maaf didahulukan.

Adapun DIA Yang Awal, DIA Yang Akhir, DIA yang Zahir, DIA jua yang batin. Maka segalanya dariNYA, kembali kepadaNYA.

Cadangan Amalan di Malam Lailatul-Qadr

http://a5.sphotos.ak.fbcdn.net/hphotos-ak-ash4/386845_433069436736088_458011914_n.jpg





Saturday, 11 August 2012

Lailatul-Qadr: Tandanya.

Tanda di waktu malamnya;


1. Langit kelihatan suci bersih;

2. Malam bercahaya segar terang benderang (walaupun bulan tidak
kelihatan.

3. Udara amat nyaman tidak sejuk dan tidak panas

4. Langit tidak diganggu bintang (tiada bintang)

5. Suasana yang amat syahdu dan hening.


Tanda di waktu siangnya;

1. Cahaya matahari yang kelam yang seimbang dari pagi sampai ke
petang dan hawanya tidak panas.

2. Cahaya matahari tidak terlalu terang (bukan mendung disebabkan
(awan) dan ada yang mentafsirkan seperti cahaya bulan purnama.

3. Molekul2 udara seperti mengeluarkan cahaya (bercahaya)

4. Udaramya sejuk (boleh dirasa bila angin menyentuh tubuh)

Perhatikanlah sebahagian atau kesemua tanda2 tersebut. Mudah2an kita semua mendapat rahmat Allah s.w.t. dan sentiasa berada dalam perlindungannya.

Thursday, 9 August 2012

Syarah Hikam 36

36:  BATINIAH MEMPENGARUHI LAHIRIAH



"Apa yang tersimpan dalam keghaiban rahsia hati berbekas nyata pada zahirnya."


Allah s.w.t mengurniakan kepada hati hamba-hamba-Nya yang bahagia dengan Nur Zikir, Nur Kalbu, Nur Akal, Nur Iman dan Nur Makrifat. Kurniaan Allah s.w.t yang demikian itu merupakan rahsia-rahsia yang tidak diketahui oleh makhluk. Setiap hamba yang dibawa ke Hadrat-Nya mempunyai rahsia sendiri dan tidak diketahui oleh hamba-hamba yang lain, walaupun mereka berada pada tingkatan yang sama.

Seorang guru pun tidak tahu rahsia muridnya dengan Tuhannya.

Apa yang Allah s.w.t kurniakan kepada seorang hamba pilihan-Nya tidak serupa dengan yang dikurniakan kepada hamba pilihan yang lain. Kurniaan Allah s.w.t kepada seorang nabi berbeza daripada kurniaan terhadap nabi-nabi yang lain. Kurniaan Allah s.w.t yang tersimpan dalam keghaiban rahsia hati itu menjadi penggerak kepada pembentukan diri seseorang, hingga dia dapat dikenal dan dibezakan daripada orang lain.

Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Isa a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Roh Allah. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Musa a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Kalim Allah. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Ibrahim a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Khalil Allah. Kurniaan Rahsia Allah kepada Muhammad s.a.w menyebabkan baginda s.a.w dikenali sebagai Habiballah.

Aulia Allah s.w.t juga menerima kurniaan Rahsia Allah s.w.t dan masing-masing memiliki keperibadian yang tersendiri

Nur Ilahi yang menyinari hati seseorang akan mengubah suasana hati itu dan sekaligus perwatakan dan perawakan orang itu. Perubahan pada perwatakan dapat dilihat pada tingkah-laku dan perbuatan.

**Sinaran Nur Zikir akan melahirkan seorang yang gemar berzikir, mengingati Allah s.w.t semasa duduk, berdiri, ketika sendirian dan juga ketika berada dalam perkumpulan. Lidahnya sentiasa basah dengan sebutan nama-nama Allah s.w.t.

**Sinaran Nur Kalbu akan membuat seseorang berlapang dada, tidak cemas menghadapi ujian dan gemar mendekati Allah s.w.t.

**Sinaran Nur Akal akan melahirkan sikap suka bertafakur sehingga terbukalah kepadanya Rahsia-rahsia ketuhanan yang menjadi penggerak kepada perjalanan alam maya ini. Muncullah dari lidahnya Kalam Hikmat yang mempesonakan sesiapa sahaja yang mendengarnya.

**Sinaran Nur Iman mengwujudkan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada perkara ghaib yang dialaminya sekalipun fikiran tidak dapat menerimanya. Kepercayaan dan keyakinannya tidak bergoncang lantaran mendapat bantahan dan sindiran.
**Sinaran Nur Makrifat menerangi mata hati untuk mengenal Allah s.w.t, melihat-Nya pada semua kejadian. Tidak kabur pandangan mata hatinya lantaran kekeruhan-kekeruhan yang berlaku di dalam dunia ini. Tidak terbalik pandangan mata hatinya lantaran mendapat kemuliaan dan kekeramatan.
Nur Ilahi bukan sahaja mengubah perwatakan tetapi juga mengubah perawakan. Bukan rupa-bentuk muka yang berubah tetapi cahaya pada wajahnya yang berubah, menyebabkan siapa sahaja yang melihatnya akan berasa senang.

Misalnya, cahaya Nur Ilahi yang gilang gemilang menyinari wajah Yusuf a.s telah mempesonakan wanita-wanita Mesir sehingga mereka tidak sedar menghiris jari sendiri dan tidak merasai sakitnya akibat terpukau memandang keindahan wajah Yusuf a.s. Begitulah kuatnya kesan sinaran Nur Ilahi yang tersembunyi secara ghaib di dalam hati rohani hamba-hamba Allah s.w.t yang dipilih untuk memperolehinya.

Anugerah Allah s.w.t, iaitu nur-nur, kepada hati hamba-hamba-Nya yang beriman menjadi daya dan upaya bagi hati untuk berpegang kuat kepada tauhid, mencintai segala yang bersesuaian dengan Islam dan membenci segala bentuk kekufuran. Daya dan upaya nur yang pada hati ternyata melalui perbuatan dan juga wajah orang berkenaan.

Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang salih) terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). ( Ayat 29 : Surah al-Fath )

Tanda nyata pada sifat pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w adalah mereka tidak bertolak-ansur pada perkara yang merosakkan akidah. Iman tidak boleh ditukar-ganti dengan harta, pangkat atau kemuliaan. Iman adalah cahaya dan kekufuran pula adalah kegelapan. Cahaya dan gelap tidak boleh bersepakat.


Mereka yang sangat keras menentang kekufuran itu sangat berlemah-lembut apabila bersama-sama dengan orang yang beriman. Hubungan hati-hati yang beriman adalah kasih sayang dan kerinduan.

Orang yang beriman inginkan kebaikan kepada saudaranya yang beriman. Mereka tidak merosakkan atau menjatuhkan sesama mereka. Kebaikan yang Allah s.w.t kurniakan digunakan untuk meringankan beban saudara-saudaranya yang beriman.

Mereka mengutamakan orang yang beriman daripada orang yang tidak nyata imannya atau yang nyata kekufuran dan kemunafikannya. Keselamatan iman adalah apabila ia dipertahankan daripada dicerobohi oleh kekufuran dan kemunafikan.

Akal mengenali kekufuran melalui tanda-tanda yang diceritakan oleh ayat-ayat al-Quran. Hati mengenali kekufuran melalui Nur Ilahi yang membuka kekufuran dan kemunafikan itu kepadanya.

Nur kurniaan Allah s.w.t yang menjadi daya dan upaya hati seterusnya mempunyai kekuatan untuk mengawal pancaindera orang yang beriman itu. Setiap anggota digunakan untuk berbakti kepada Allah s.w.t, enggan ia berbuat maksiat. Orang yang beriman tekun berbuat ibadat, mencari kurniaan dan keredhaan-Nya.

Nur yang dalam Rahsia hati itu juga memancarkan sinarnya sehingga kelihatan pada wajah orang yang berkenaan. Jika perasaan yang bersembunyi dalam hati, seperti marah dan riak, boleh ketara pada wajah, sinaran cahaya nur lebih kuat lagi berbekas pada wajah.

Barangsiapa yang jernih dalam batinnya, akan diperbaiki Allah apa yang nyata pada wajahnya. ( Ucapan Umar al-Khattab )

Kesucian hati seseorang memancarkan cahaya yang dapat ditangkap oleh cermin hati orang lain yang bersih. Apabila cahaya iman berjumpa dengan cermin hati orang yang beriman akan lahirlah rasa persaudaraan muslim yang sejati. Persaudaraan yang begini tidak ada kepentingan diri dan tidak ada perlumbaan untuk menduduki tempat yang lebih tinggi. Mereka saling bantu membantu dalam melakukan pengabdian kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t menentukan bahawa yang tersembunyi dalam hati mengeluarkan tanda pada zahir. Dalam banyak perkara Allah s.w.t menjelaskan tanda-tanda tersebut melalui wahyu-Nya.

Tuhan Yang Maha Pemurah berbuat demikian agar orang yang beriman tidak tertipu oleh kemanisan bahasa kemunafikan dan kekufuran. Mempertahankan iman daripada kemunafikan dan kekufuran adalah satu jihad yang besar.

Manusia tidak berdaya berbuat demikian tanpa pertolongan Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t memberi pertolongan dengan menunjukkan tanda-tanda sesuatu, ambillah manfaat daripadanya

Syarah Hikam 34 - 35

34 & 35:  PERMULAAN DAN KESUDAHAN



"Tanda akan berjaya pada akhir perjuangan adalah kuat menyerah diri kepada Allah swt pada awal perjuangan."

"Barangsiapa cemerlang permulaannya, akan cemerlanglah juga kesudahannya."

Hikmat 34 merumuskan intisari kesemua Kalam Hikmat yang dihuraikan terlebih dahulu.
Berserah diri kepada Allah s.w.t, bertawakal kepada-Nya dan mengembalikan segala urusan kepada-Nya adalah jalan untuk mendekati Allah s.w.t.

Kesemua ini boleh diibaratkan sebagai kenderaan, sementara ilmu dan amal diibaratkan sebagai roda. Sesiapa yang hanya membina roda tetapi tidak membina kenderaan maka dia akan memikul roda bukan menaiki kenderaan. Dia akan keletihan dan berhenti di tengah jalan sambil asyik bermain-main dengan roda seperti kanak-kanak.

Persoalan menyerah diri sering menimbulkan kekeliruan kepada orang yang berlarutan membincangkan mengenainya. Suasana hati dan darjat akal mengeluarkan berbagai-bagai huraian tentang berserah diri kepada Allah s.w.t.

Ada orang beranggapan berserah diri adalah berpeluk tubuh, tidak melakukan apa-apa. Ada pula berpendapat orang yang berserah diri itu hidup dalam ibadat semata-mata, tidak memperdulikan kehidupan harian. Banyak lagi anggapan dan pendapat yang dikemukakan dalam menjelaskan mengenai berserah diri.

Sifat orang yang berserah diri adalah merujuk sesuatu perkara yang diperselisihkan kepada Allah s.w.t. Mereka tidak taasub memegang sesuatu fahaman yang diperolehi melalui fikirannya atau pendapat orang lain. Mereka bersedia melepaskan fahaman dan pendapat peribadi sekiranya ia bercanggah dengan peraturan dan hukum Tuhan.

Sewaktu hidup di dalam dunia ini lagi mereka mengembalikan segala urusan kepada Allah s.w.t kerana mereka yakin bahawa diri mereka dan urusan mereka akan kembali juga kepada Allah s.w.t di akhirat kelak. Perjumpaan dengan Allah s.w.t di akhirat menguasai tindakan mereka sewaktu hidup di dunia ini.

"Dan (katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaan-Nya ialah Allah Tuhanku; kepada-Nya jualah aku berserah diri dan kepada-Nya jualah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan)”. ( Ayat 10 : Surah asy-Syura )
Orang yang berserah diri kepada Allah s.w.t, mengembalikan urusan mereka kepada-Nya, meyakini bahawa golongan manusia yang benar-benar mengerti kehendak Allah s.w.t adalah golongan nabi-nabi. Oleh itu pegangan dan tindakan para anbia mesti dijadikan sandaran dalam membentuk pegangan peribadi dan juga dalam melakukan tindakan.

"Dan ia (Yaakub) berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlain-lain. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. Kepada-Nya jualah aku berserah diri, dan kepada-Nya jualah hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah diri”. ( Ayat 67 : Surah Yusuf )
Ayat di atas menceritakan sifat berserah diri yang ada pada Nabi Yaakub a.s. Beliau a.s menasihatkan anak-anaknya yang sebelas orang itu memasuki kota Mesir melalui pintu-pintu yang berlainan.

Ia menunjukkan Nabi Yaakub a.s mengakui tuntutan berikhtiar sebagaimana kedudukan mereka sebagai manusia. Walaupun begitu Nabi Yaakub a.s mengingatkan pula anak-anaknya bahawa mengikuti nasihat beliau a.s bukanlah jaminan yang anak-anaknya akan selamat dan mendapatkan apa yang mereka cari. Ikhtiar pada zahir mesti disertai dengan iman pada batin.

Orang yang beriman meyakini bahawa Allah s.w.t sahaja yang mempunyai kuasa penentuan.

Oleh yang demikian orang yang beriman dituntut agar berserah diri kepada Allah s.w.t sahaja, tidak berserah diri kepada yang lain, sekalipun yang lain itu adalah malaikat, wali-wali ataupun ayat-ayat Allah s.w.t.

Allah s.w.t yang menguasai malaikat, wali-wali dan ayat-ayat-Nya. Penyerahan bulat kepada Allah s.w.t bukan kepada sesuatu yang dinisbahkan kepada-Nya. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi Hud a.s sebagaimana yang diceritakan oleh ayat berikut:

“Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus”. ( Ayat 56 : Surah Hud )


Tuhan berada di atas jalan yang lurus. Tuhan tidak mengantuk, tidak lalai, tidak keliru dan tidak melakukan kesilapan. Apa sahaja yang Tuhan lakukan adalah benar dan tepat. Tuhan berbuat sesuatu atas dasar ketuhanan dan dengan sifat ketuhanan, tidak ada pilih kasih. Dia adalah Tuhan Yang Maha Adil. Pekerjaan-Nya adalah adil. Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengerti dan Maha Bijaksana. Pekerjaan-Nya adalah sempurna, teratur dan rapi. Dia adalah Tuhan Pemurah dan Penyayang. Pekerjaan-Nya tidak ada yang zalim.

Tuhan yang memiliki sifat-sifat ketuhanan yang baik-baik itu mengadakan peraturan untuk diikuti. Mengikuti peraturan-Nya itulah penyerahan kepada-Nya. Nabi-nabi dan orang-orang yang beriman diperintahkan supaya menyampaikan kepada umat manusia apa yang datang daripada Allah s.w.t.

Pekerjaan manusia adalah menyampaikan. Jika apa yang disampaikan itu tidak diterima, maka serahkannya kepada Allah s.w.t.

Dia memiliki Arasy yang besar, yang memagari sekalian makhluk. Tidak ada makhluk yang dapat menembusi Arasy-Nya. Arasy-Nya adalah pagar Qadar. Apa yang dia ciptakan dan tentukan untuk makhluk-Nya dipagari oleh Arasy.

"Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri, dan Dia jualah yang mempunyai Arasy yang besar”. ( Ayat 129 : Surah at-Taubah )

Tauhid adalah kesudahan pencapaian.
Pada peringkat ini, syirik tidak ada lagi walaupun sebesar zarah. Dalam proses mencapai tauhid perlu ada pengasingan dan perbezaan antara Tuhan dengan yang selain Tuhan. Tidak boleh diadakan sekutu bagi Tuhan.

Tidak boleh meletakkan anasir alam, amal, doa dan sebagainya pada kedudukan yang boleh menyebabkan timbul anggapan yang selain Tuhan itu mampu mencabar kekuasaan Tuhan. Tidak boleh terjadi ketaatan dan penyayangan terhadap sesuatu melebihi ketaatan dan penyayangan terhadap Allah s.w.t.

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah )

Perlu difahamkan bahawa sekalipun hamba telah berserah diri kepada Allah s.w.t, tanpa Allah s.w.t menerimanya tidak mungkin tercapai tujuannya. Penerimaan Allah s.w.t yang benar-benar membawa hamba kepada-Nya.
Tanda Allah s.w.t menerima hamba-Nya ialah terdapat kecemerlangannya dimasa permulaan.

Berlaku perubahan-perubahan kepada diri si hamba itu. Sifat buruknya terbuang dan sifat terpuji menghiasinya. Dia menjadi gemar beribadat dan berbuat taat. Semakin jauh perjalanannya semakin cemerlang hatinya. Dia diterangi oleh Nur Ilahi dan dikurniakan ilmu laduni, iaitu ilmu mengenal Allah s.w.t. Nur Makrifat menyinarinya, maka kenallah dia pada Tuhannya.

Syarah Hikam - 33

33:  SANDARKAN NIAT KEPADA ALLAH S.W.T


"Tidak sia-sia sesuatu maksud apabila disandarkan kepada Allah swt dan tidak mudah tercapai tujuan jika disandarkan kepada diri sendiri."
Hikmat yang lalu menggambarkan keadaan hamba Allah s.w.t yang mempunyai maksud yang baik iaitu mahu mengubah dunia supaya menjadi tempat kehidupan yang sentosa, tetapi ternyata gagal melaksanakan maksudnya apabila dia bersandar kepada kekuatan dirinya sendiri.

Allah s.w.t menyifatkan dunia sebagai tempat huru-hara dan kekeruhan. Sesiapa yang memasukinya pasti berjumpa dengan keadaan tersebut. Kekuatan huru-hara dan kekeruhan yang ada pada dunia sangatlah kuat kerana Allah s.w.t yang meletakkan hukum kekuatan itu padanya.

Percubaan untuk mengubah apa yang Allah s.w.t tentukan akan menjadi sia-sia. Allah s.w.t yang menetapkan sesuatu perkara, hanya Dia sahaja yang dapat mengubahnya.

Segala kekuatan, baik dan buruk, semuanya datang daripada-Nya. Oleh yang demikian jika mahu menghadapi sesuatu kekuatan yang datang dari-Nya mestilah juga dengan kekuatan-Nya.

Kekuatan yang paling kuat bagi menghadapi kekuatan yang dipunyai oleh dunia ialah kekuatan berserah diri kepada Allah s.w.t. Kembalikan semua urusan kepada-Nya.

Rasulullah s.a.w telah memberi pengajaran dalam menghadapi bencana dengan ucapan dan penghayatan:

Kami datang dari Allah. Dan kepada Allah kami kembali.

Semua perkara datangnya dari Allah s.w.t dan akan kembali kepada Allah s.w.t juga. Misalnya, api yang dinyalakan, dari mana datangnya jika tidak dari Allah s.w.t dan ke mana perginya bila dipadamkan jika tidak kepada Allah s.w.t.

Apabila sesuatu maksud disandarkan kepada Allah s.w.t maka menjadi hak Allah s.w.t untuk melaksanakannya.
Nabi Adam a.s mempunyai maksud yang baik iaitu mahu menyebarkan agama Allah s.w.t di atas muka bumi ini dan menyandarkan maksud yang baik itu kepada Allah s.w.t dan Allah s.w.t menerima maksud tersebut. Setelah Nabi Adam a.s wafat, maksud dan tujuan beliau a.s diteruskan. Allah s.w.t memerintahkan maksud tersebut dipikul oleh nabi-nabi yang lain sehingga kepada nabi terakhir iaitu Nabi Muhammad s.a.w.

Setelah Nabi Muhammad s.a.w wafat ia dipikul pula oleh para ulama yang menjadi pewaris nabi-nabi. Ia tidak akan berhenti selama ada orang yang menyeru kepada jalan Allah s.w.t. Jika dipandang dari segi perjalanan pahala maka boleh dikatakan pahala yang diterima oleh Nabi Adam a.s kerana maksud baiknya berjalan terus selama agama Allah s.w.t berkembang dan selagi ada orang yang mewarisi dan meneruskan perjuangannya ini.

Maksud menyerah diri kepada Allah s.w.t, bersandar kepada-Nya dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya mesti difahami dengan mendalam.

Kita hendaklah memasang niat yang baik, dan beramal bersesuaian dengan makam kita.

Allah s.w.t yang menggerakkan niat itu dan melaksanakan amal yang berkenaan. Cara pelaksanaannya adalah hak mutlak Allah s.w.t.

Kemungkinan kita tidak sempat melihat asas yang kita bina siap menjadi bangunan namun, kita yakin bangunan itu akan siap kerana Allah s.w.t mengambil hak pelaksanaannya.

Maksud dan tujuan kita tetap akan menjadi kenyataan walaupun kita sudah memasuki liang lahad. Pada masa kita masih hidup kita hanya sempat meletakkan batu asas, namun pada ketika itu mata hati kita sudah dapat melihat bangunan yang akan siap.

Rasulullah s.a.w sudah dapat melihat perkara yang akan berlaku sesudah baginda s.a.w wafat, diantaranya ialah kejatuhan kerajaan Rum dan Parsi ke tangan orang Islam semasa pemerintahan khalifah ar-rasyidin. Sekalian nabi-nabi mursalin yang dibangkitan sebelum Nabi Muhammad s.a.w sudah dapat melihat kedatangan baginda s.a.w sebagai penutup dan pelengkap kenabian. Begitulah tajamnya pandangan mata hati mereka yang bersandar kepada Allah s.w.t dan menyerahkan kepada-Nya tugas mengurus.

Tidak ada jalan bagi seseorang hamba kecuali berserah diri kepada Tuannya.

::Semua Hikmat dari yang pertama hinggalah kepada yang ke 33 ini, sekiranya disambungkan akan membentuk satu landasan yang menuju satu arah iaitu berserah diri kepada Allah s.w.t.::

Hikmat-hikmat yang telah dipaparkan membicarakan soal pokok yang sama, disuluh dari berbagai-bagai sudut dan aspek supaya lebih jelas dan nyata bahawa hubungan sebenar seorang hamba dengan Tuhan ialah berserah diri, reda dengan lakuan-Nya.

Rasulullah s.a.w telah mewasiatkan kepada Ibnu Abbas r.a:

Apabila kamu bermohon, maka bermohonlah kepada Allah s.w.t. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah s.w.t. Dan, ketahuilah bahawa sekiranya sekalian makhluk saling bantu membantu kamu untuk memperolehi sesuatu yang tidak ditulis Allah s.w.t untuk kamu, pasti mereka tidak akan sanggup mengadakannya. Dan, sekiranya sekalian makhluk mahu memudaratkan kamu dengan sesuatu yang tidak ditulis Allah s.w.t buat kamu, nescaya mereka tidak sanggup berbuat demikian. Segala buku telah terlipat dan segala pena telah kering.

Syarah Hikam - 32

32:  SIFAT KEHIDUPAN DUNIAWI



"Jangan menghairankan kamu lantaran terjadi kekeruhan ketika kamu berada di dalam dunia kerana sesungguhnya kekeruhan itu tidak terjadi melainkan kerana begitulah yang patut terjadi dan itulah sifatnya (Dunia) yang asli."

Hikmat yang lalu menyingkap halangan secara umum dan Hikmat 32 ini pula mengkhususkan kepada dunia sebagai hijab yang menutupi pandangan hati terhadap Allah s.w.t. Halangan inilah yang banyak dihadapi oleh manusia.

Manusia menghadapi peristiwa yang berlaku di dalam dunia dengan salah satu dari dua sikap iaitu sama ada mereka melihat apa yang terjadi adalah akibat perbuatan makhluk ataupun mereka memandangnya sebagai perbuatan Tuhan.
Hikmat 32 ini menjuruskan kepada golongan yang melihat peristiwa yang berlaku dalam dunia sebagai perbuatan Tuhan tetapi mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Tuhan dalam perbuatan-Nya.

Manusia yang telah memperolehi keinsafan dan hatinya sudah beransur bersih, dia akan cenderung untuk mencari kesempurnaan. Dia sangat ingin untuk melihat syariat Allah s.w.t menjadi yang termulia di atas muka bumi ini. Dia sangat ingin melihat umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi pemimpin kepada sekalian umat manusia. Dia ingin melihat semua umat manusia hidup rukun damai. Dia inginkan segala yang baik-baik dan sanggup berkorban untuk mendatangkan kebaikan kepada dunia.

Begitulah sebahagian daripada keinginan yang lahir di dalam hati orang yang hatinya sudah beransur bersih. Tetapi, apa yang terjadi adalah kebalikan daripada apa yang menjadi hasrat murni si hamba Allah s.w.t yang insaf itu.

Huru hara berlaku di mana-mana. Pembunuhan berlaku di sana sini. Umat Islam ditindas di merata tempat. Kezaliman dan ketidak-adilan berlaku dengan berleluasa. Seruan kepada kebaikan tidak diendahkan. Ajakan kepada perdamaian tidak dipedulikan. Perbuatan maksiat terus juga dilakukan tanpa segan-silu.
Si hamba tadi melihat kekeruhan yang terjadi di dalam dunia dan merasakan seperti mata tombak menikam ke dalam hatinya.

Hatinya merintih, “Agama-Mu dipermainkan, di manakah pembelaan dari-Mu wahai Tuhan! Umat Islam ditindas, di manakah pertolongan-Mu Wahai Tuhan! Seruan kepada jalanMu tidak disambut, apakah Engkau hanya berdiam diri wahai Tuhan! Manusia melakukan kezaliman, kemaksiatan dan kemungkaran, apakah Engkau hanya membiarkan wahai Tuhan?” Beginilah keadaan hati orang yang berasa hairan melihat kekeruhan kehidupan dunia ini dan dia tidak berkuasa menjernihkannya. Allah s.w.t menjawab keluhan hamba-Nya dengan firmanNya:
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih memuji-Mu dan mensucikan-Mu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kamu tidak mengetahuinya”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )

Para malaikat sudah dapat membayangkan tentang kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk berbangsa manusia sebelum lagi manusia pertama diciptakan. Sifat dunia yang dinyatakan oleh malaikat ialah huru-hara dan pertumpahan darah.

Dunia adalah ibu, sementara huru-hara dan pertumpahan darah adalah anaknya. Ibu tidak melahirkan kecuali anak dari jenisnya juga.

Kelahiran huru-hara, peperangan, pembunuhan dan sebagainya di dalam dunia adalah sesuatu yang seharusnya terjadi di dalam dunia, maka tidak perlu dihairankan. Jika terdapat kedamaian dan keharmonian di sana sini di dalam dunia, itu adalah sagu-hati atau kelahiran yang tidak mengikut sifat ibunya.

Seterusnya Allah s.w.t menceritakan tentang dunia:

Allah berfirman, “Turunlah kamu semuanya, dengan keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan juga diberi kesenangan hingga ke suatu ketika (mati)”. ( Ayat 24 : Surah al-A’raaf )

Syarah Hikam - 31

31:  PELUANG MENDEKATI ALLAH S.W.T



"Jangan menantikan selesai segala halangan kerana yang demikian itu akan menghalang kamu daripada mendekati Allah swt, melalui sesuatu yang engkau didudukkan di dalamnya."

Setelah merenung Hikmat yang lalu kita telah dapat melihat dan menghayati persoalan Qadar secara terperinci hingga kepada batas hembusan satu nafas. Pada setiap ketika kita didudukkan di dalam medan Qadar. Qadar membawa kepada kita kejadian, suasana, rupa bentuk, nama-nama dan lain-lain. Masing-masing menarik hati kita kepadanya.

Apa sahaja yang bertindak menarik hati menjadi penghalang untuk kita mendekati Allah s.w.t. Oleh sebab perjalanan Qadar tidak akan berhenti maka kewujudan halangan-halangan juga tidak akan habis.

Jika kita lemas di dalam lautan Qadar, pandangan kita disilaukan oleh warna-warnanya dan kita dimabukkan oleh gelombangnya, maka selama-lamanya kita akan terhijab dari Allah s.w.t.

Tujuan kita beriman kepada Qadak dan Qadar bukanlah untuk kita lemas di dalam lautannya. Kita hendaklah tahu mengikuti rentak ombaknya dan tiupan anginnya sambil perhatian kita tertuju kepada daratan, bukan membiarkan diri kita terkubur di dasar laut.

perahu asbab atau tajrid?

Ketika menghadapi ombak Qadar kita hendaklah menjaga perahu yang kita naiki. Perahu tersebut ialah sama ada perahu asbab atau perahu tajrid. Jika kita menaiki perahu asbab kita perlu berdayung dan menjaga kemudinya sesuai mengikut perjalanan sebab musabab. Jika kita berada dalam perahu tajrid kita akan ditolak oleh kuasa enjin tajrid tetapi kita masih perlu mengawal kemudinya agar tidak lari dari daratan yang dituju.

Setiap Qadar yang sampai kepada kita membawa kita memasuki ruang dan waktu. Pada setiap ruang dan waktu yang kita ditempatkan itu ada kewajipan yang perlu kita laksanakan. Ia merupakan amanah yang dipertaruhkan oleh Allah s.w.t kepada kita.

Qadar adalah utusan yang mengajak kita memerhatikan perbuatan Allah s.w.t, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan Zat-Nya Yang Maha Suci, Maha Mulia dan Maha Tinggi. Tidak ada satu Qadar, tidak ada satu ruang dan waktu yang padanya tidak terdapat ayat-ayat atau tanda-tanda yang menceritakan tentang Allah s.w.t.

Kegagalan untuk melihat kepada ayat-ayat Allah s.w.t itu adalah kerana perhatian hanya tertumpu kepada makhluk dan kejadian yang menjadi sebab musabab yang dibawa oleh Qadar yang menempati sesuatu ruang dan waktu itu.

Apabila perhatian tertumpu kepada makhluk dan kejadian maka makhluk dan kejadian itu menjadi hijab antara hamba dengan Allah s.w.t. Hamba akan melihat makhluk dan kejadian mempunyai kesan terhadap sesuatu dan dia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t yang mengawal segala sesuatu itu.

Kewajipan si hamba ialah menghapuskan hijab tersebut agar apa juga Qadar, ruang dan waktu yang dia berada di dalamnya, dia tetap melihat kepada ayat-ayat Allah s.w.t. Hatinya tidak putus bergantung kepada Allah s.w.t. Ingatannya tidak luput dari mengingati Allah s.w.t. Mata hatinya tidak lepas dari memerhatikan sesuatu tentang Allah s.w.t. Ingatan dan perasaannya sentiasa bersama Allah s.w.t.

Setiap Qadar, ruang dan waktu adalah kesempatan baginya mendekati Allah s.w.t.


Hati kita boleh mengarah kepada dunia atau kepada akhirat ketika menerima kedatangan sesuatu Qadar. Biasanya tarikan kepada dunia kita anggapkan sebagai halangan sementara tarikan kepada akhirat kita anggap sebagai jalan yang menyampaikan. Sebenarnya kedua-duanya adalah halangan kerana kedua-duanya adalah alam atau makhluk yang Tuhan ciptakan. Syurga, bidadari, Kursi dan Arasy adalah makhluk yang Tuhan ciptakan.

Alam ini kesemuanya adalah gelap gelita, yang meneranginya adalah kerana nampaknya Allah s.w.t padanya (Hikmat 14).

Alam adalah cermin yang memperlihatkan cahaya Allah s.w.t yang padanya ada kenyataan Allah s.w.t.

Oleh yang demikian walau di dalam Qadar apa sekali pun kita berada, kesempatan untuk melihat Allah s.w.t dan mendekat kepada-Nya tetap ada. Kesempatan ini adalah hak Allah s.w.t terhadap hamba-Nya. Hak ini wajib ditunaikan pada waktu itu juga, tidak boleh ditunda kepada waktu yang lain, kerana pada waktu yang lain ada pula hak Allah s.w.t yang lain

Setengah ulama memfatwakan bahawa sembahyang yang terlepas dari waktunya boleh dilakukan semula secara qada.

Sekali pun sembahyang boleh dibuat secara qada tetapi hak Allah s.w.t yang telah terlepas tidak boleh diqada.

Hamba yang benar-benar menyempurnakan kewajipannya terhadap hak Allah s.w.t ialah yang tidak berkelip mata hatinya memandang kepada Allah s.w.t, tidak kira didudukkan dalam suasana atau Qadar apa sekalipun. Setiap waktu dan ruang yang dimasukinya adalah jambatan yang menghubungkannya dengan Tuhannya.

Syarah Hikam - 30

30:  QADAR YANG LEBIH HALUS



"Tiada satu nafas terlepas daripada kamu melainkan di situ pula ada qadar yang berlaku di atas kamu."
Persoalan Qadar telah disentuh pada Hikmat 3 dan kembali disentuh oleh Hikmat 30 ini. Persoalan Qadar dibangkit semula setelah disinggung tentang permintaan atau doa yang bermaksud tuntutan terhadap Allah s.w.t.

Tuntutan-tuntutan timbul lantaran kurang menghayati tentang Qadar.

Kini kita diajak merenung perkara Qadar kepada yang sangat halus iaitu satu nafas yang terjadi kepada kita.

Kita kurang memerhatikan tentang nafas kerana ia terjadi secara spontan, tanpa bersusah payah dan kita anggap remeh untuk diperhatikan.

Sekarang perkara yang kita anggap remeh inilah yang hendak kita perhatikan dengan saksama. Apakah berbeza perkara yang dianggap remeh dengan perkara yang dianggap besar dalam perkaitannya dengan perjalanan Qadar.

Kita perlu bertanya kepada diri kita sendiri adakah setiap nafas yang kita hembuskan itu berlaku secara percuma, tanpa perkiraan, tidak mengikut sukatan yang Allah s.w.t tentukan? Adakah apabila kita hembuskan satu nafas hanya nafas sahaja yang berlaku atau pada masa yang sama berbagai-bagai lagi Qadar yang terjadi? Perkara yang dianggap kecil ini haruslah direnung dengan mendalam agar kita mendapat pengertian tentang Qadar secara terperinci.

Nafas ialah udara yang keluar masuk pada badan kita melalui mulut dan hidung. Satu hembusan udara yang keluar dari badan kita dipanggil satu nafas. Nafas ini penting bagi jasmani kita. Nafas menjadi nyawa kepada diri kita yang zahir. Penghidupan diri yang zahir diukur dengan perjalanan nafas. Kita biasanya menyukat umur kita dengan kiraan tahun. Kita tidak menyukat umur kita dengan kiraan bulan, apa lagi kiraan hari dan jam.

Sebenarnya sukatan yang tepat tentang umur ialah nafas. Berapa jutaan hembusan nafas itulah umur kita.

Kita melihat Qadar sebagai ketentuan Ilahi yang berlaku kepada kita dalam skop yang luas.

Sikap memandang Qadar secara meluas menyebabkan kita terlindung untuk melihatnya pada setiap detik dan setiap kejadian. Sebab itu kita sering terkeluar daripada berpegang kepada Qadar.

Andainya kita memandang hidup secara tepat iaitu dengan hitungan nafas nescaya kita akan melihat Qadar secara halus sebagaimana halusnya kiraan nafas.

Dapatlah kita menghayati benar-benar bahawa pada setiap hembusan nafas itu berlaku Qadar menurut ketentuan Ilahi.

Jumlah udara yang keluar masuk pada badan kita bagi setiap perjalanan nafas adalah menurut sukatan yang Allah s.w.t tentukan. Jumlah nafas yang akan kita hembuskan juga telah ditentukan oleh Allah s.w.t dan apabila jumlah nafas yang telah disediakan untuk kita itu habis maka kita akan mati.

Jika kita dapat melihat perjalanan Qadar hingga kepada peringkat yang halus ini, nescaya pandangan mata hati kita tidak akan terlepas daripada melihat Qadar pada setiap detik dan pada setiap kejadian.


Kita akan melihat bahawa jumlah air hujan yang bertitik di atas bumbung rumah kita adalah mengikut sukatan yang telah ditentukan Allah s.w.t. Bilangan debu yang berterbangan juga ditentukan Allah s.w.t. Helaian rambut yang gugur dari kepala kita juga ditentukan Allah s.w.t. Panjang, lebar dan dalam luka yang kita alami ketika berlaku kemalangan juga ditentukan Allah s.w.t.
Tidak ada satu pun yang menyimpang dari Qadar menurut ketentuan Ilahi.

Sesungguhnya Allah s.w.t, al-Latif, Maha Halus, tidak ada sesuatu yang terkeluar daripada perkiraan dan pentadbiran-Nya.

Tidak ada sesuatu yang terlepas daripada sukatan dan timbangan-Nya. Semua makhluk berjalan di atas landasan Qadar yang diaturkan-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak sekali-kali lalai, tidur atau keliru. Apa yang Dia tentukan itulah yang berlaku. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, tidak ada yang sumbang pada penciptaan dan perjalanan penciptaan-Nya.

"Tiada sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus."  ( Ayat 56 : Surah Hud )

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.( Ayat 22 : Surah al-Hadiid )

Allah s.w.t mengadakan ketentuan sejak azali. Tidak ada sesiapa yang tahu tentang ketentuan Allah s.w.t. Malaikat hanya menjalankan perintah-Nya. Apa yang pada sisi malaikat boleh diubah oleh-Nya, tetapi apa yang pada sisi-Nya tidak pernah berubah.

Malaikat menjalankan tugas dan manusia melakukan kewajipan. Tuhan yang memiliki ketentuan yang mutlak.

Doa dan amal manusia mungkin menjadi asbab kepada berlakunya perubahan pada apa yang berada dengan malaikat yang menjalankan tugas, jika Tuhan izinkan, tetapi ia tidak mengubah apa yang pada sisi Tuhan.

Ilmu Tuhan meliputi yang awal dan yang akhir. Segala sesuatu telah ada pada Ilmu-Nya sebelum ia berlaku lagi. Urusan yang demikian sangat mudah bagi Allah s.w.t. Malaikat dan manusia tidak memiliki ilmu yang demikian. Malaikat semata-mata patuh kepada apa yang Allah s.w.t perintahkan. Manusia pula perlu bergerak pada makamnya dan berusaha meningkatkan perkembangan kerohaniannya sehingga dia menjadi sesuai dengan kehendak Allah s.w.t.

Wednesday, 8 August 2012

Syarah Hikam - 29

29:  PERMINTAAN DAN KEDUDUKAN




"Permintaan daripadaNya menunjukkan kurang percayamu kepadaNya. Permintaan kepadaNya menunjukkan kamu tidak melihatNya. Permintaan kepada lainnya menunjukkan sedikit malu terhadapNya. Permintaan daripada lainnya menunjukkan jauhnya kamu daripadaNya."

Hikmat 29 ini adalah umpama alat untuk menilai diri sendiri. Perhatikan kecenderungan kita dalam mengajukan permintaan.
Jika kita cenderung meminta dari lain-Nya, kita ajukan permintaan kepada sesama makhluk, itu tanda hati kita berpaling jauh daripada Allah s.w.t. Hati kita merasakan seolah-olah makhluk memiliki kuasa penentu sehingga hati kita tidak dapat melihat kepada kekuasaan Tuhan. Cermin hati kita dibaluti oleh awan gelap yang mengandungi gambar-gambar benda alam, tuntutan syahwat, permainan hawa nafsu yang melalaikan dan tumpukan dosa yang tidak dibersihkan dengan taubat. Hati yang mengalami keadaan begini dinamakan nafsu ammarah.

Ammarah bukan sahaja menyerang orang jahil, orang alim dan ahli ibadat juga boleh menerima serangannya dan mungkin tewas kepadanya. Agar orang alim tidak terpedaya oleh ilmunya dan ahli ibadat tidak terpedaya oleh amalnya, perhatikan tempat jatuh permintaan. Jika warna-warni keduniaan seperti harta, pangkat dan kemuliaan yang menjadi tuntutannya dan kesungguhan usaha dan ikhtiarnya ditujukan semata-mata kepada manusia dan alat dalam mendapatkan keperluannya, itu menjadi tanda bahawa hatinya berpaling jauh dari Allah s.w.t.

Perbetulkan wajah hati agar ia menghadap kepada Allah s.w.t. Bila wajah hati menghadap kepada Wajah Allah s.w.t dapatlah mata hati melihat bahawa Allah s.w.t sahaja yang berkuasa sementara makhluk hanyalah bekas tempat zahir kesan kekuasaan-Nya.

Golongan kedua pula meminta kepada lain-Nya, iaitu walaupun dia memohon kepada Allah s.w.t tetapi yang dipinta adalah sesuatu selain Allah s.w.t. Dia mungkin meminta agar Allah s.w.t mengurniakan kepadanya harta, pangkat dan kemuliaan di sisi makhluk.

Permintaannya sama seperti golongan yang pertama cuma dia meminta kepada Allah s.w.t tidak kepada makhluk. Orang yang dari golongan ini yang lebih baik sedikit ialah yang memohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan faedah-faedah akhirat seperti pahala, syurga dan juga keberkatan.

Permintaan yang berupa faedah duniawi dan ukhrawi menunjukkan sikap kurang malunya seseorang hamba itu terhadap Allah s.w.t. Orang yang seperti ini hanya melihat kepada nikmat tetapi tidak mahu mengenali Pemberi nikmat.

Perhatikan kepada diri kita, apakah kita asyik merenget meminta itu dan ini daripada Allah s.w.t. Jika sifat demikian ada pada kita, itu tandanya hati kita masih keras dan perlu dilembutkan dengan zikrullah dan amal ibadat agar lahirlah sifat malu terhadap Allah s.w.t Yang Maha Lemah-lembut dan Maha Bersopan Santun.

Ada pula orang yang membuat permintaan kepada-Nya, iaitu meminta agar dia didekatkan kepada-Nya. Dia merasakan dirinya jauh dari Allah s.w.t. Inilah orang yang mata hatinya tertutup, tidak dapat melihat bahawa Allah s.w.t lebih hampir kepadanya daripada urat lehernya sendiri, Allah s.w.t sentiasa bersama-samanya walau di mana dia berada.

Bagaimana melihat Allah s.w.t lebih hampir dari urat leher dan Allah s.w.t sentiasa bersama walau di mana kita berada, tidak dapat dihuraikan. Ia bukanlah penglihatan mata tetapi penglihatan rasa atau penglihatan mata hati.

Perhatikanlah, andainya kita cenderung meminta agar didekatkan kepada Allah s.w.t itu tandanya mata hati kita masih kelabu, maka sucikanlah hati dengan sembahyang, berzikir dan ibadat-ibadat lain.

Golongan keempat adalah yang mengajukan permintaan daripada-Nya. Orang ini mengakui bahawa Allah s.w.t sahaja yang memiliki segala-galanya. Hanya Allah s.w.t yang berhak memberi apa yang dimiliki-Nya. Permintaan seperti ini menunjukkan kurang percayanya kepada Allah ar-Rahman, Yang Maha Pemurah dan al-Karim, Yang Memberi tanpa diminta.
Bukankah ketika kita di dalam kandungan ibu kita belum pandai meminta tetapi Allah s.w.t telah memberi yang sebaik-baiknya kepada kita.


Allah s.w.t yang telah memberi ketika kita belum pandai meminta itu jugalah Tuhan kita sekarang ini dan sifat murah-Nya yang sekarang ini seperti yang dahulu itu juga.

Ketika kita belum pandai meminta kita mempercayai-Nya sepenuh hati mengapa pula bila kita sudah pandai meminta kita menjadi ragu-ragu terhadap kemurahan-Nya.
Perhatikanlah, jika kita masih meminta-minta itu tandanya belum bulat penyerahan kita kepada-Nya. Penting bagi orang yang melatihkan dirinya untuk dipersiapkan menemui Tuhan membulatkan penyerahan kepada-Nya tanpa keraguan sedikit pun.
Ketika membincangkan Hikmat 28 telah dihuraikan keadaan orang yang telah memperolehi perkaitan dengan hakikat. Kesempatan mengalami hakikat bukanlah akhir pencapaian.

Seseorang haruslah mencapai makam keteguhan hati sebelum mencapai makam kewalian. Pada makam kewalian si hamba dikurniakan penjagaan dan perlindungan-Nya.

Orang yang belum sampai kepada keteguhan hati tidak lepas dari mengajukan permintaan kepada Allah s.w.t. Permintaannya bukan lagi berbentuk duniawi atau ukhrawi tetapi yang dimintanya ialah keteguhan hati, penjagaan dan pelindungan-Nya. Permintaan orang yang berada pada peringkat ini menunjukkan dia belum bebas sepenuhnya dari sifat-sifat kemanusiaan iaitu dia belum mencapai fana hakiki.

Orang yang berada pada peringkat ini haruslah berhati-hati dengan pencapaiannya. Janganlah terpedaya dengan perolehan makrifat kerana makrifat itu juga merupakan ujian.

Ketahuilah jika seseorang mendatangi Allah s.w.t berbekalkan amal maka Allah s.w.t menyambutnya dengan perhitungan. Jika amalnya dihisab dengan teliti nescaya tidak ada satu pun yang layak dipersembahkan kepada Allah s.w.t. Jika dia mendatangi-Nya dengan ilmu pengetahuan maka Allah s.w.t menyambutnya dengan tuntutan. Ilmunya tidak mampu menyatakan kebenaran yang hakiki. Jika dia mendatangi-Nya dengan makrifat maka Allah s.w.t menyambutnya dengan hujah. Dia tidak akan dapat memperkenalkan Allah s.w.t.

Oleh itu singkirkan tuntutan dan pilihan agar Allah s.w.t tidak membuat tuntutan kepada kita.

Lepaskan ilmu kita, amal kita, makrifat kita, sifat kita, nama kita dan segala-galanya agar kita menemui Allah s.w.t seorang diri tanpa sebarang bekal.

Jika mahu mencapai keadaan ini ikhlaskan hati untuk semua amal perbuatan kita. Baikkan niat dan bersabar tanpa mengeluh atau membuat tuntutan. Kemudian naik kepada redha dengan hukum-Nya. Insya’ Allah kita akan menemui-Nya, iaitu pertemuan ubudiyah dengan Rububiah.

Suasana yang disebutkan di atas telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Tidak ada amalan anak Adam yang melepaskan dirinya dari azab Allah s.w.t melebihi amalan berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla”.
Baginda s.a.w juga bersabda yang bermaksud: “Berfirman Allah ‘Azza wa Jalla: ‘Barangsiapa menghabiskan waktunya berzikir kepada-Ku, tanpa meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya yang lebih utama daripada apa yang Aku berikan kepada mereka yang meminta’”.

'Aku adalah perbendaharaan yang tersembunyi. Aku suka dikenali, lalu Aku ciptakan makhluk supaya Aku dikenali”..meliputi jin dan manusia...Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku”.  (Surah Dzaariyat, ayat 56).

Zikir yang sebenar adalah penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t dalam segala perkara agama baik yang mengenai dunia mahupun yang mengenai akhirat.

Sembahyangnya, ibadatnya, hidupnya dan matinya hanya kerana Allah s.w.t semata-mata. Dia bersembahyang, beribadat dan melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan kerana mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Sekiranya Allah s.w.t tidak menjadikan syurga dan neraka, juga tidak mengadakan dosa dan pahala, maka sembahyangnya, ibadatnya, pekerjaannya dan perbuatannya tetap juga serupa.

Mutu kerja yang dia menerima upah dan kerja yang dia tidak menerima upah adalah serupa. Hatinya tidak cenderung untuk memerhatikan upah kerana apa sahaja yang dia lakukan adalah kerana Allah s.w.t. Hatinya bukan sahaja tidak memerhatikan upah daripada manusia, bahkan ia juga tidak mengharapkan apa-apa balasan dari Allah s.w.t.

Kekuatan untuk mengingati Allah s.w.t dan berserah diri kepada-Nya merupakan ‘upah’ yang sangat besar, tidak perlu lagi menuntut upah yang lain.

Hamba yang zikirnya sudah larut ke dalam penyerahan, segala urusan hidupnya diuruskan oleh Tuhannya.

Dia adalah umpama bayi yang baharu lahir, sentiasa dipelihara, dijaga dan dilindungi oleh ibunya. Pemeliharaan, penjagaan dan perlindungan Allah s.w.t melebihi apa juga yang mampu dikeluarkan oleh makhluk.

Hamba yang Allah s.w.t masukkan ke dalam daerah pemeliharaan, penjagaan dan perlindungan-Nya itu dipanggil wali Allah, iaitu hamba yang dipelihara, dijaga dan dilindungi oleh Allah s.w.t daripada lupa kepada-Nya, derhaka kepada-Nya, hilang pergantungan kepada-Nya dan juga daripada gangguan makhluk-Nya.

Syarah Hikam - 28

28:  PEMBIMBING JALAN HAKIKI



"Tidak bercita-cita seorang salik untuk berhenti ketika terjadi kasyaf (terbuka perkara ghaib) melainkan suara hakiki yang berseru kepadanya, "Apa yang kamu cari masih jauh di hadapan (oleh itu jangan kamu berhenti)". Dan tidak terbuka baginya alam maya melainkan diperingatkan oleh hakikat alam itu: "Sesungguhnya Kami adalah ujian, kerana itu janganlah kamu kufur."
Latihan penyucian hati membawa rohani si salik meningkat dari satu peringkat kepada peringkat yang lebih tinggi.

Kekuatan rohaninya bertambah dan pada masa yang sama juga pengaruh serta kesedaran inderawinya berkurangan. Dalam keadaan seperti ini rohaninya mampu menjadi penasihat kepada dirinya sendiri. Bila terlintas dalam hatinya untuk melakukan kesalahan akan tercetuslah perasaan membantah perbuatan tersebut, seolah-olah ada orang yang menasihatinya.

Apabila sampai kepada satu peringkat kesucian hati akan terbuanglah dari hatinya lintasan-lintasan yang bersifat duniawi, syaitani dan nafsi.

**Lintasan duniawi mengheret kepada kelalaian, keseronokan dan kesenangan harta benda.

**Lintasan syaitani mengheret kepada melakukan syirik dan bidaah yang bertentangan dengan Sunah Rasulullah s.a.w.

**Lintasan nafsi pula mendorong kepada maksiat dan kemungkaran.

Bila hati sudah terdinding daripada lintasan-lintasan jahat maka hati akan didatangi oleh lintasan malaki (malaikat) dan Rahmani (Tuhan).

**Lintasan malaki mengajak kepada berbuat taat kepada Allah s.w.t dan meninggalkan tegahan-Nya.

**Lintasan Rahmani pula adalah tarikan langsung daripada Tuhan.

Dalam lintasan-lintasan duniawi, syaitani, nafsi dan malaki, manusia mempunyai pilihan untuk menerima ataupun menolak cetusan atau rangsangan yang diterimanya itu.

Akal dan imannya boleh memikir dan menimbang akan sebab dan akibat jika dia mengikuti sesuatu rangsangan itu.

Tetapi, dalam lintasan Rahmani hamba tidak ada pilihan, tidak ada hukum sebab musabab yang boleh mencegahnya dan tidak ada hukum logik yang boleh menghuraikannya.

Misalnya, seorang yang tidak pernah turun ke laut, tiba-tiba pada satu hari tanpa boleh ditahan-tahan dia pergi ke laut dan mandi, lalu mati lemas. Soalnya, tidak dapat diterangkan mengapa dengan tiba-tiba dia mahu mandi di laut dan dia tidak dapat melawan keinginan yang timbul dalam hatinya itu. Kuasa yang menariknya ke laut dan mandi lalu mati di situ dinamakan lintasan Rahmani atau tarikan ketuhanan.

Dalam perjalanan kerohanian mungkin seorang salik itu menerima lintasan Rahmani yang mengheretnya melakukan sesuatu yang kelihatan aneh, tidak masuk akal dan dia sendiri tidak dapat memberi penjelasan tentang tindak tanduknya walaupun dia masih dapat melihat perbuatan yang dilakukan oleh dirinya sendiri itu.

Semasa pengembaraannya ke dalam alam kerohanian si salik mungkin memperolehi kasyaf iaitu terbuka keghaiban kepadanya. Dia dapat melihat apa yang tersembunyi. Dia mungkin dapat melihat kepada peristiwa yang akan berlaku, dan yang telah berlaku. Mungkin juga dia dikurniakan kekeramatan seperti ‘mulut masin’, berjalan di atas air, menyembuhkan penyakit dan lain-lain.

Dia juga mungkin dapat melihat dengan mata hatinya keadaan Alam Barzakh, syurga dan neraka.

Penemuan perkara-perkara yang ganjil, ajaib dan indah-indah boleh mempesonakan si salik dan boleh menyebabkan dia menjadi keliru dengan merasakan dia sudah sampai ke puncak, lalu dia berhenti di situ.

Lebih membahayakan lagi jika si salik tidak mendapat bimbingan guru atau guru yang membimbingnya tidak memahami tentang selok-belok alam kerohanian. Si guru tidak dapat menjelaskan pengalaman aneh yang dialami oleh murid lalu si murid tidak ada pilihan kecuali membuat tafsirannya sendiri.

Oleh sebab pengalaman tersebut adalah berkenaan perkara ghaib maka murid tadi mudah menyangkakan segala yang ghaib itu adalah aspek ketuhanan.

Di sini timbullah berbagai-bagai anggapan tentang Tuhan, kerana dia menyangkakan yang dia telah melihat zat Tuhan.

Timbullah sangkaan yang Tuhan adalah nur dengan warna yang tertentu. Ada pula yang beranggapan Tuhan itu rupanya tegak seperti huruf alif. Ada pula yang mengatakan Tuhan adalah cahaya yang sangat halus. Bermacam-macam lagi anggapan tentang Tuhan muncul akibat kejahilan mengenai alam ghaib.

Prasangka yang meletakkan Zat Allah s.w.t di dalam ruang dan berbentuk adalah kekufuran.
Bahaya penyelewengan akidah kepada orang yang belajar ilmu hakikat kepada yang bukan mursyid adalah besar. Orang yang belajar ilmu hakikat cara demikian membahaskan zat Ilahiat dengan menggunakan akalnya sedangkan akal tidak ada pengetahuan tentang zat.

Murid atau salik yang mendapat bimbingan daripada guru yang mursyid dan beroleh rahmat, taufik dan hidayat daripada Allah s.w.t akan dapat melalui fitnah yang tersebut di atas dengan selamat.

Salik yang masuk ke dalam Tarikan ketuhanan akan berjalan terus walau apa pun yang ditemuinya di tengah jalan, sekalipun dia ditawarkan dengan syurga.

Tarikan ketuhanan yang memimpin salik itu dinamakan Petunjuk Ilmu, Perintah Batin, Petunjuk Laduni atau Suara Hakiki atau Pembimbing Hakiki.

Ia adalah tarikan langsung daripada Allah s.w.t agar hamba yang Allah s.w.t mahu temui itu selamat sampai kepada-Nya. Salik menafikan semua yang ditemuinya. Selagi boleh disaksikan ia adalah sifat bukan zat.

Sepanjang perjalanannya salik melihat bekas gubahan Tuhan, pengungkapan hikmat kebijaksanaan-Nya dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia.

Zat Ilahiat tetap tinggal tertutup rapat oleh nur di balik nur dan tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun dan penglihatan yang bagaimana pun. Jika nur yang disaksikan, maka nur adalah salah satu daripada tanda-tanda-Nya dan juga salah satu daripada Nama-nama-Nya.

Setelah habis yang dinafikan, salik sampai kepada puncak kedunguannya iaitu pengakuan tentang kelemahannya mengenai Zat Ilahiat. Inilah puncak pencapaian dan orang yang sampai kepada hakikat ini dinamakan orang yang bermakrifat atau orang yang mengenal Allah s.w.t.

Dia mencapai hakikat maksud:
Tidak ada sesuatu apa pun menyerupai-Nya.

Tidak ada yang menyerupai-Nya dan menyamai-Nya, mana mungkin ada gambaran tentang-Nya yang boleh ditangkap oleh penglihatan?

Kebodohan dan kedunguan adalah hijab yang asli dan tidak mungkin tersingkap ditentang zat Ilahiat kecuali pada hari akhirat apabila seseorang hamba diizinkan memandang dengan pandangan mata. Sebelum itu tidak mungkin melihat Allah s.w.t dengan terang-terang.

Apa yang diistilahkan sebagai melihat Allah s.w.t ialah menyaksikan Allah s.w.t pada sesuatu yang didalamnya terdapat bekas penciptaan-Nya, tanda-tanda-Nya, hikmat-Nya dan tadbir-Nya. Ia merupakan penglihatan akal serta mata hati atau melihat Nur-Nya iaitu melihat Rahsia Allah s.w.t yang tersembunyi pada sekalian kejadian-Nya. Zat Ilahiat tetap tinggal tertutup oleh keghaiban yang mutlak (Ghaibul Ghuyub).

Orang sufi selalu mengatakan mereka melihat Allah s.w.t. Apa yang mereka maksudkan ialah penglihatan ilmu dan penglihatan hati nurani, penglihatan yang mengandungi rasa kecintaan yang sangat mendalam terhadap Allah s.w.t, dan kerinduan yang membara di dalam hati mereka. Itulah penglihatan mereka yang gilakan Allah s.w.t. Jangan ditafsirkan ucapan mereka secara lafaz tetapi selami hati mereka untuk memahami keasyikan dan kemabukan yang mereka alami.

Syarah Hikam - 27

27:  BERPEGANG KEPADA MAKAM




"Jangan meminta kepada Allah swt supaya dipindahkan dari satu hal kepada hal yang lain, sebab jika Allah swt menghendaki dipindahkan kamu tanpa merobah keadaan kamu yang lama."
Hal adalah pengalaman hati tentang hakikat. Hal tidak boleh didapati melalui amal dan juga ilmu.

Tidak boleh dikatakan bahawa amalan menurut tarekat tasauf menjamin seseorang murid memperolehi hal.

Latihan secara tarekat tasauf hanya menyucikan hati agar hati itu menjadi bekas yang sesuai bagi menerima kedatangan hal-hal (ahwal). Hal hanya diperolehi kerana anugerah Allah s.w.t.

Mungkin timbul pertanyaan mengapa ditekankan soal amal seperti yang dinyatakan dalam Hikmat yang lalu sedangkan amal itu sendiri tidak menyampaikan kepada Tuhan?

Perlu difahami bahawa seseorang hamba tidak mungkin berjumpa dengan Tuhan jika Tuhan tidak mahu bertemu dengannya.

Tetapi, jika Tuhan mahu menemui seseorang hamba maka dia akan dipersiapkan agar layak berhadapan dengan Tuhan pada pertemuan yang sangat suci dan mulia.

Jika seorang hamba didatangi kecenderungan untuk menyucikan dirinya, itu adalah tanda bahawa dia diberi kesempatan untuk dipersiapkan agar layak dibawa berjumpa dengan Tuhan.

Hamba yang bijaksana adalah yang tidak melepaskan kesempatan tersebut, tidak menunda-nunda kepada waktu yang lain. Dia tahu bahawa dia menerima undangan dari Tuhan Yang Maha Mulia, lalu dia menyerahkan dirinya untuk dipersiapkan sehingga kepada tahap dia layak menghadap Tuhan sekalian alam.

Makam di mana hamba dipersiapkan ini dinamakan aslim atau menyerah diri sepenuhnya kepada Tuhan. Tuhan yang tahu bagaimana mahu mempersiapkan hamba yang Dia mahu temui.

Tujuan amalan tarekat tasauf ialah mempersiapkan para hamba agar berkeadaan bersiap sedia dan layak untuk dibawa berjumpa dengan Tuhan (memperolehi makrifat Allah s.w.t).

Walaupun hal merupakan anugerah Allah s.w.t semata-mata, tetapi hal hanya mendatangi hati para hamba yang bersedia menerimanya.


Murid atau salik yang memperolehi hal akan meningkatkan ibadatnya sehingga suasana yang dicetuskan oleh hal itu sebati dengannya dan membentuk keperibadian yang sesuai dengan cetusan hal tersebut.
Hal yang menetap itu dinamakan makam. Hal yang diperolehi dengan anugerah bila diusahakan akan menjadi makam.
Misalnya, Allah s.w.t mengizinkan seorang salik mendapat hal di mana dia merasai bahawa dia sentiasa berhadapan dengan Allah s.w.t, Allah s.w.t melihatnya zahir dan batin, mendengar ucapan lidahnya dan bisikan hatinya. Salik memperteguhkan daya rasa tersebut dengan cara memperkuatkan amal ibadat yang sedang dilakukannya sewaktu hal tersebut datang kepadanya, sama ada ianya sembahyang, puasa atau zikir, sehingga daya rasa tadi menjadi sebati dengannya. Dengan demikian dia mencapai makam ihsan.

Satu sifat semula-jadi manusia adalah tergesa-gesa, bukan sahaja dalam perkara duniawi malah dalam perkara ukhrawi juga. Salik yang rohaninya belum mantap masih dibaluti oleh sifat-sifat kemanusiaan. Apabila dia mengalami satu hal dia akan merasai nikmatnya. Rindulah dia untuk menikmati hal yang lain pula. Lalu dia memohon kepada Allah s.w.t supaya ditukarkan halnya. Sekiranya hal yang datang tidak diperteguhkan ia tidak menjadi makam.

Bila hal berlalu ia menjadi kenangan, tidak menjadi keperibadian.
Meminta perubahan kepada hal yang lain adalah tanda kekeliruan dan boleh membantut perkembangan kerohanian.

Kekuatan yang paling utama adalah berserah kepada Allah s.w.t, redha dengan segala lakuan-Nya. Biarkan Allah Yang Maha Mengerti menguruskan kehidupan kita.

Sebaik-baik perbuatan adalah menjaga makam yang kita sedang berada di dalamnya. Jangan meminta makam yang lebih tinggi atau lebih rendah.
Semakin hampir dengan Allah s.w.t semakin hampir dengan bahaya yang besar, iaitu dicampak keluar dari majlis-Nya sesiapa yang tidak tahu menjaga kesopanan bermajlis dengan Tuhan Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi.

Oleh yang demikian, tunduklah kepada kemuliaan-Nya dan berserahlah kepada kebijaksanaan-Nya, nescaya Dia akan menguruskan keselamatan dan kesejahteraan para hamba-Nya.